Petaling Jaya, 31 Julai 2024
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), dengan penuh bangga mengumumkan pelaksanaan projek penerbitan buku berskala besar, “Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI”. Sidang media yang berlangsung di Petaling Jaya baru-baru ini dihadiri ahli-ahli PENA, tokoh-tokoh sastera, penulis, dan rakan-rakan media.
Projek penerbitan ini mendapat dukungan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri berdasarkan pelaksanaan daripada Belanjawan 2024 yang bertujuan untuk memajukan industri kreatif, khususnya bidang penulisan di Malaysia. Melalui projek ini, PENA membuka peluang kepada penulis tempatan untuk menerbitkan karya mereka dan menyumbang ke arah memperkaya khazanah sastera bangsa.
Dalam sidang media tersebut, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Seri Anwar dan Kerajaan Malaysia atas sokongan melalui bantuan peruntukan bagi melaksanakan projek tersebut. Tambah beliau, penulis tempatan menyambut baik malah bersemangat untuk menyumbang karya melalui projek Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI.
“Projek Penerbitan PENA-MALAYSIA MADANI ini adalah ‘angin segar’ bagi kami para penulis. Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana meyakini bahawa karya sastera merupakan kaedah terbaik ke arah pembentukan nilai kemanusiaan, memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman budaya, kesedaran sosial, dan pemikiran kreatif dalam kalangan masyarakat,” menurut Dr. Mohamad Saleeh.
Peluang Terbuka Luas
Sebanyak 100 judul buku disasarkan dapat diterbitkan melalui projek ini. PENA membuka pintu bagi pelbagai genre penulisan terutamanya sastera (novel, novel remaja, novel kanak-kanak, cerpen, dan puisi), buku umum, hingga buku bergambar kanak-kanak. Manuskrip boleh mula dihantar mulai 1 Ogos hingga 15 November 2024.
Penulis yang menyertai projek ini akan memperoleh beberapa manfaat, antaranya:1. Royalti yang menguntungkan: Penulis akan diberikan royalti 10 peratus daripada harga jualan buku.2. Proses penerbitan segera: PENA menyasarkan penerbitan buku dalam tempoh enam (6) bulan selepas manuskrip dipilih.3. Edaran buku meluas: Buku yang diterbitkan akan diedarkan secara meluas melalui pelbagai saluran, sama ada secara dalam talian, perpustakaan, dan kedai buku.4. Bimbingan editor profesional: Penulis akan mendapat bimbingan daripada editor profesional bagi meningkatkan kualiti karya.
Komitmen PENA
Sebagai persatuan yang berpengalaman luas dan diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris baru-baru ini, PENA konsisten melestarikan sastera dan budaya membaca di Malaysia. Melalui projek ini, PENA berharap dapat melahirkan generasi penulis baharu yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kami percaya setiap penulis memiliki potensi yang luar biasa. Melalui projek penerbitan ini, kami ingin memberikan mereka peluang dan kesempatan untuk mengembangkan bakat dan berkarya secara maksimum,” ujar Dr. Mohamad Saleeh.
PENA mengajak seluruh penulis di Malaysia untuk turut serta dalam projek penerbitan ini. Dengan mengirimkan karya terbaik sehingga dapat diterbitkan, PENA menganggap ia merupakan salah satu usaha ataupun sumbangan bermakna terhadap kemajuan khazanah sastera bangsa Malaysia.
Manuskrip karya boleh dikirimkan melalui e-mel projekbukupena@gmail.com, ataupun whatsapp 019-5196316. Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Mohd Khairulanuar Manshor di talian 019-2177204, atau e-mel anuarmanshor@gmail.com.
Disairkan: 7 Julai 2021
Kenyataan Media PENA
Tahniah kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri.Tahniah juga Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein sebagai menteri kanan.
Semoga pelantikan ini akan memantapkan pentadbiran negara di samping meredakan suhu politik yang semakin tidak tenteram kebelakangan ini. UMNO perlu meredakan ketidaktentuan itu selepas jawatan nombor dua dimilikinya. Rakyat tidak mahu pertarungan politik menyebabkan negara dan kerajaan tidak stabil. Ketidakstabilan politik hanya akan menyukarkan kehidupan rakyat yang sudah sedia tenat, terutama rakyat yang terjejas akibat PKP yang tidak berkesudahan.
Bersatulah demi rakyat dan negara. Berikan kerjasama dan sokongan kepada YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Hj Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia agar segala urusan dapat disepakati dan lancar. Rakyat memerhatikan sikap dan tingkah laku pemimpin politik dengan teliti.
Dr Mohamad Saleeh RahamadPresiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
Disiarkan: 8 Julai 2018
Kenyataan Media PENA Tentang Isu UEC
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyokong pendirian Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk tidak sewenang-wenangnya mengiktiraf UEC sebagai tiket untuk memasuki perkhidmatan awam dan universiti awam.
Malahan PENA berpendapat, tuntutan pihak yang mahu UEC diterima tidak perlu dilayan sama sekali demi memelihara sistem pendidikan negara yang dibentuk untuk perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa. Negara bangsa memerlukan satu nilai sepunya yang didaulatkan.
Untuk makluman, taraf subjek Bahasa Melayu dalam UEC sangat rendah jika dibandingkan dengan SPM. Semua subjek lain pula diajarkan dalam bahasa Cina.
Bayangkan sekiranya UEC diterima, kelak tidak mustahil akan timbul tuntutan daripada kaum lain untuk sijil daripada sekolah vernakular mereka diterima. UEC dikeluarkan oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang mengikut sukatan pelajaran dari Taiwan. Apa akan jadi sekiranya nanti akan berkembang pula Sekolah Menengah Persendirian Tamil, Iban, Punjabi bagi mengangkat agenda kaum masing-masing, dan akhirnya negara bangsa yang diimpikan Malaysia akan hancur.
Bahasa Melayu perlu terus dipertahankan, dan sijil peperiksaan yang sedia ada mesti kekal sebagai syarat untuk memasuki perkhidmatan awam dan universiti awam. Kajian atau referendum pun tidak perlu dibuat kerana pembentukan negara sejak awal dahulu sudah pun melalui kajian yang mendalam dan akhirnya diperakukan bahawa sistem pendidikan kita mesti menggunakan bahasa Melayu.
Tuntutan dan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang mahu memastikan UEC diterima menjelang hujung tahun ini tidak perlu dilayan. Walaupun manifesto PH dalam buku Harapan ada menyebut hal ini, tidak semestinya perkara itu diteruskan. Pengundi PH yang terdiri daripada pencinta perpaduan tanpa me gira kaum tentu tidak bersetuju isi manifesto ini dilaksanakan. Mereka mengundi PH hanya untuk memastikan negara ini ditadbir dengan lebih baik, bukannya ditadbir untuk kehancuran, atau dalam kata lain mereka tidak menyokong UEC diterima bagi menggantikan SPM. Selain itu, banyak lagi manifesto yang tidak dilaksanakan, dan oleh itu, soal UEC juga tidak wajib dilaksanakan bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar. Jangan sampai ketegangan antara kaum berulang lagi. Mari kita bina negara yang indah, harmoni dan rakyatnya bersikap patriotik serta nasionalistik.
Nampaknya UEC bukan sahaja diperjuangkan oleh DAP, malahan MCA dan Gerakan juga membawa isu ini daripada suara Dong Zhong sebagaimana pengakuan mereka dalam pertemuan dengan Gapena tidak lama dulu sebelum PRU. Parti politik telah memperjudikan nasib sistem pendidikan demi undi. Apakah yang dicari mereka sebenarnya? Kuasa atau kedaulatan negara?
Dr Mohamad Saleeh RahamadPresiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia
Disiarkan: 2 Julai 2017
Kenyataan Media Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) tentang kelonggaran syarat lulus BAHASA MALAYSIA dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan pegawai perubatan UD41 secara kontrak.
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) membantah tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang membenarkan pengambilan pegawai perubatan UD41 secara kontrak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
1.Kelonggaran tidak wajar diberikan langsung kepada semua Siswazah Perubatan warganegara Malaysia kerana bertentangan dengan Fasal 152 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 .
2.Mereka ini mestilah juga mengikut syarat dan prosedur JPA yang standard bagi semua penjawat Perkhidmatan Awam.Kenapa Perkhidmatan Perubatan diberi kekecualian dan kelonggaran?
3.Kami memandang perkara ini dengan penuh prihatin kerana kesannya sangat besar.
4. Secara tidak langsung tindakan itu telah meminggirkan kepentingan bahasa Melayu sedangkan itulah satu-satunya prinsip yang masih ada dalam agenda pembentukan negara bangsa.
5. Jika ini dibenarkan nescaya akan lebih banyak pihak atau sektor perkhidmatan yang lain menuntut kelonggaran yang serupa.
6. Lama-kelamaan jawatan lantikan tetap pula yang akan diberi kelonggaran.
7. Sepatutnya semua warganegara Malaysia memiliki kelulusan Bahasa Malaysia memandangkan itulah unsur yang memanifestasikan ciri identiti dan syarat kewarnegaraan.
8. Jika subjek yang kritikal dalam bidang perubatan mampu dikuasai oleh mereka kenapa pula subjek Bahasa Malaysia tidak mampu dikuasai.
9. Adakah golongan tersebut memang tidak menghormati bahasa kebangsaan?
9. Kami menentang sekeras-kerasnya sebarang kelonggaran atas asas KAUM.
7. Kami menuntut JPA, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) melakukan keadilan dan mematuhi syarat pelantikan yang sama bagi semua sektor perkhidmatan.
Dr Mohamad Saleeh RahamadPresidenPersatuan Penulis Nasional Malaysia ( PENA)