Isu UEC dan Pendirian Menteri Pendidikan

Disiarkan: 8 Julai 2018

Kenyataan Media PENA Tentang Isu UEC

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyokong pendirian Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk tidak sewenang-wenangnya mengiktiraf UEC sebagai tiket untuk memasuki perkhidmatan awam dan universiti awam.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik

Malahan PENA berpendapat, tuntutan pihak yang mahu UEC diterima tidak perlu dilayan sama sekali demi memelihara sistem pendidikan negara yang dibentuk untuk perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa. Negara bangsa memerlukan satu nilai sepunya yang didaulatkan.

Untuk makluman, taraf subjek Bahasa Melayu dalam UEC sangat rendah jika dibandingkan dengan SPM. Semua subjek lain pula diajarkan dalam bahasa Cina.

Bayangkan sekiranya UEC diterima, kelak tidak mustahil akan timbul tuntutan daripada kaum lain untuk sijil daripada sekolah vernakular mereka diterima. UEC dikeluarkan oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang mengikut sukatan pelajaran dari Taiwan. Apa akan jadi sekiranya nanti akan berkembang pula Sekolah Menengah Persendirian Tamil, Iban, Punjabi bagi mengangkat agenda kaum masing-masing, dan akhirnya negara bangsa yang diimpikan Malaysia akan hancur.

Bahasa Melayu perlu terus dipertahankan, dan sijil peperiksaan yang sedia ada mesti kekal sebagai syarat untuk memasuki perkhidmatan awam dan universiti awam. Kajian atau referendum pun tidak perlu dibuat kerana pembentukan negara sejak awal dahulu sudah pun melalui kajian yang mendalam dan akhirnya diperakukan bahawa sistem pendidikan kita mesti menggunakan bahasa Melayu.

Tuntutan dan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang mahu memastikan UEC diterima menjelang hujung tahun ini tidak perlu dilayan. Walaupun manifesto PH dalam buku Harapan ada menyebut hal ini, tidak semestinya perkara itu diteruskan. Pengundi PH yang terdiri daripada pencinta perpaduan tanpa me gira kaum tentu tidak bersetuju isi manifesto ini dilaksanakan. Mereka mengundi PH hanya untuk memastikan negara ini ditadbir dengan lebih baik, bukannya ditadbir untuk kehancuran, atau dalam kata lain mereka tidak menyokong UEC diterima bagi menggantikan SPM. Selain itu, banyak lagi manifesto yang tidak dilaksanakan, dan oleh itu, soal UEC juga tidak wajib dilaksanakan bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar. Jangan sampai ketegangan antara kaum berulang lagi. Mari kita bina negara yang indah, harmoni dan rakyatnya bersikap patriotik serta nasionalistik.

Nampaknya UEC bukan sahaja diperjuangkan oleh DAP, malahan MCA dan Gerakan juga membawa isu ini daripada suara Dong Zhong sebagaimana pengakuan mereka dalam pertemuan dengan Gapena tidak lama dulu sebelum PRU. Parti politik telah memperjudikan nasib sistem pendidikan demi undi. Apakah yang dicari mereka sebenarnya? Kuasa atau kedaulatan negara?

Dr Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia