Sisi romantis lelaki dan majlis baca puisi yang membosankan

Oleh: Abdullah Jones Disiarkan 8 Mac 2024

Sendu is, you know,like, boring. You know, like, unvibe

SEMASA duduk makan pagi di Telok Intan tempoh hari, kami terdengar perbualan dari meja sebelah. Beberapa orang wartawan tempatan cuba menerangkan makna perkataan ‘sendu’ kepada rakan mereka dari Jepun.

Melalui buku ‘Masihkah Kauingat Jalan ke Sini, Siti,’ kita akan dapati Mohamad Saleeh adalah lelaki yang romantis.

Dalam kepala, kami bertanya kepada diri sendiri apakah ‘sendu’ itu perkataan sebenar atau sekadar slanga. Dan melalui pencarian di internet kami dapati bahawa ianya adalah perkataan yang direkod dan membawa  makna yang  sama dengan sedih, pilu, duka murung dan sebagainya.

Kenangan mengenai perbualan diatas datang kembali apabila kami bertemu dengan Sinaganaga Azalan Benhusain baru-baru ini.

Bendahari PENA itu mengatakan bahawa acara-cara baca puisi di mana-mana pun adalah sendu. Penyair yang naik kepentas tidak ada usaha langsung untuk menjadikan pembacaan mereka itu lebih menarik. Semuanya sekadar mahu naik kepentas dan melontarkan suara dalam nada yang sama. “Macam baca puisi merdeka blake. Tegak dan keras kejung dan kadang-kadang menjerit sebab marah kerajaan tak naikkan pencen,” kata dia lagi.

Kami sangat setuju dengan pernyataan tersebut. Majlis baca puisi di mana pun adalah mandom.  Ianya menjadi majlis berjumpa kawan-kawan. Yang membaca puisi pun kawan dan yang mendengarnya juga adalah kawan. Jadi semacam majlis reunion para penyair sambil bergosip siapa layak atau tidak untuk memenangi hadiah SEA Write Award tahun ini padahal Naga dan kami bersetuju sangat jika kami berdua yang dicalonkan.

Naga yang juga kurator bagi satu siri acara baca puisi yang terbesar yang akan diadakan pada tahun ini  memuji persembahan pelakon, kartunis, penulis pojok dan juga model iklan Ronasina baru-baru ini.

Persembahan Ronasina dalam acara baca puisi di Melaka itu menurut Naga, walaupun hanya diiringi oleh beberapa orang kanak-kanak yang meniup buih sabun sekurang-kurangnya memberikan sedikit nyawa bagi acara tersebut.

“Tapi, kalau  dia baca saja je dan tak nyanyi lagi ok,” kata Naga lagi.

Dia juga memberikan contoh persembahan penyair yang jarang menulis puisi, Omorq Iwan. Penyair yang sering datang dengan sesuatu yang tak disangka itu katanya berjaya menarik penonton untuk menumpukan perhatian.

Omorq pernah menyapu sampah dan juga memasak di pentas ketika menyampaikan puisinya. Tahniah kepada Omorq yang katanya baru beroleh cahayamata pertama itu.

Seorang lagi penyair yang mendapat pujian dari Naga ialah Ali Adenan yang gemar membuka baju dan merokok ketika beraksi di pentas.

“Sebab dia bukak baju tu yang dapat kawin model” kata Naga mengenai Ali Adenan.

Untuk menumpang megah nama mereka kami ingin memaklumkan bahawa Ali dan Omorq adalah anggota kumpulan Rajawali Art Groupe Internationale. Selain Acai, apa saja yang kami sentuh menjadi emas untuk kebangkitan seni negara.

Bukan semua penulis dilahirkan untuk menjadi pendeklamator yang baik. Kami ini walaupun sering mempersonakan dunia dengan puisi-puisi yang merobek jiwa akan sentiasa menolak untuk naik ke pentas-pentas puisi. Kami tahu suara kami tak sedap.

Dan puisi-puisi kami biasanya dilagukan oleh si Airmas SZ. Dia mendakwa sebagai bekas penyanyi yang tak jadi untuk kumpulan SYJ tetapi dari suara kepitnya itu kita tahu dia tidak berkata benar.

Sementara si Hamzah Yazid di Lumut sana juga sering membacakan puisi-puisi kami dan dirakam. Terima kasih kami ucapkan kepada mereka berdua. Nyanyian Airmas dan juga bacaan Hamzah boleh ditemui di saluran You Tube.

Penyair-penyair lain juga harus begitu. Jika kamu malas tiup buih sabun atau memasak sambil buka baju dan menyampaikan puisi, cari budak-budak yang sanggup. nanti bila bendahari hulur seratus setelah tamat persembahan, kamu hulurlah  RM25 kepada budak-budak itu. Sama-sama merasa.

Puisi kamu pula akan sentiasa diingat dan tidak mati sejurus kami turun dari pentas.

Mohamad Saleeh Rahamad sedikit beruntung.

Audiens akan segera menjeritan nama Siti setiap kali dia naik kepentas. Puisinya yang berjudul Siti itu sentiasa menjamin penyertaan penonton. Pun begitu dia tidak seharusnya bergantung hanya pada puisi yang satu itu. Bimbang ianya akan menjadi seperti lagu ‘Permata Buat Isteri’ untuk kumpulan Kopratasa. Diulang-ulang selamanya setiap kali kumpulan tersebut beraksi di pentas.

Melalui buku ‘Masihkah Kauingat Jalan ke Sini, Siti,’ kita akan dapati Mohamad Saleeh adalah lelaki yang romantis. Dan mungkin juga sedikit biang. Atau sebenarnya bukan biang tetapi agak nakal bila datang kepada menulis puisi.

Biang lelaki sangat diperlukan apabila kamu mahu masuk kepada menulis puisi. Menurut Saleeh pada buka bicara buku ini, ‘kadang-kadang,sajak disempurnakan dengan “pendustaan”. Dan dalam berdusta menjadi biang tua, Saleeh berjaya memikat pembaca dengan segala macam romantikanya.

Puisi cinta dan kemalangannya, bila ditulis oleh seorang lelaki akan menjadi kumpulan kata yang kuat dan kadangkala sedikit birah dan main-main berbanding bila ianya ditulis oleh seorang wanita.

Ini gambaran hidup bahawa lelaki adalah insan menawan.

Perempuan bila menulis, setelah berkeluh-kesah akan segera kembali kepada depressed-nya, bipolar-nya dan juga senggugut yang tidak tenteram itu. Kita seperti dipaksa sama sakit dengan mereka padahal kita tidak mahu.

Ini pula gambaran bahawa perempuan hanya menulis apabila mereka mempunyai masalah. Mereka sentiasa dan suka duduk dalam sendu.

Penulis perempuan sepatutnya setelah menguruskan rumahtangga menumpukan perhatian dalam menulis mengenai cerita-cerita hantu dan fantasi kerana mereka bukan saja menakutkan malah sering menjadi impian yang tidak kesampaian sesetengah lelaki.

Mereka boleh menjadikan kejayaan Mary Shelley dan J.K Rowling sebagai teladan.

Kami sertakan sebahagian puisi Siti yang terkenal itu. Semasa kamu membaca bait-baitnya, bayangkan nama Siti itu dijerit oleh ramai orang untuk lebih menghargainya. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Saleeh dan Siti, kamu perlu mendapatkan buku ini.

Secara peribadi kami sukakan kelembutan seorang lelaki yang dipersembahkan di dalam buku ini.

Siti

kerana aku menyukai

wanita yang bernama itu

kunamai engkau siti

walau tak aku tahu

asal usul dan keturunanmu.

Siti

Kupilih siti kerana sebutannya ringkas

dan bunyinya penuh kelembutan

memberi ketenangan

mencairkan ketegangan.

Siti

kubawa engkau merentas malam

mencermati jalan yang samar

mengelak duri yang menjulur di tepian

belajar tentang makna cahaya di saat kegelapan

belajar tentang gelap yang sarat jangkaan.


Artikel asal: Senimalaya