Sidang Kemuncak Penulis Malaysia & Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2024 Bakal Berlangsung Disember Ini

BANGI, 27 November 2024 – Penulis-penulis tanah air kini berpeluang untuk menyertai acara literasi terbesar tahun ini, Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) 2024, yang akan diadakan di Hotel Royal Park, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi, Selangor, dari 18 hingga 20 Disember 2024.

Acara ini menjadi platform istimewa untuk penulis mapan dan penulis muda berkumpul, bertukar pandangan, dan mengembangkan potensi dalam dunia penulisan. Para peserta akan menikmati pelbagai aktiviti menarik, termasuk:

  • Sesi perkongsian ilmu bersama penulis-penulis terkemuka dari seluruh Malaysia.
  • Perbincangan kreatif untuk mengasah bakat bersama penulis berpengalaman.
  • Malam Baca Puisi anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Dengan yuran penyertaan hanya RM50, peserta akan mendapat pengalaman lengkap termasuk penginapan selama tiga hari dua malam (3H2M), makanan dan minuman, serta kertas kerja.

Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dalam kenyataannya, menggalakkan semua penggiat seni dan penulisan untuk merebut peluang keemasan ini. “Acara ini bukan sahaja mengukuhkan jaringan penulis di Malaysia, tetapi juga menginspirasi generasi muda untuk terus berkarya.”

Pendaftaran kini dibuka dan boleh dilakukan melalui pautan berikut:👉 https://forms.gle/RUeV5ReFYnV5VSLN8

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan memartabatkan seni penulisan negara!

Read More

PENA Perluas Jaringan Antarabangsa di Persidangan Warisan Budaya Tidak Ketara

SELANGOR, 21 November 2024 – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) terus melebarkan sayapnya di peringkat antarabangsa apabila diwakili oleh Timbalan Presidennya, Mohd Khair Ngadiron dan ahli jawatankuasa, Rosman Md Shah, ke International Conference on Intangible Cultural Heritage yang berlangsung di Hotel Avante, Bandar Utama, pagi ini.

Satu sesi khas, Special Networking NGOs Session, anjuran ICHCAP UNESCO pada sebelah petang menyaksikan Timbalan Presiden PENA memperkenalkan visi dan usaha PENA kepada delegasi dari 14 negara. Dalam sesi tersebut, beliau mengetengahkan inisiatif PENA untuk menerbitkan 100 judul buku dalam tempoh enam bulan menerusi Projek Buku PENA Malaysia Madani.

“Kami mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada delegasi antarabangsa. Mrs. Bouyong dari Korea Selatan, yang turut mewakili ICHCAP, terkejut dengan skala besar penerbitan kami dan menyifatkannya sebagai ‘massive figure’,” kata Rosman.

Ketika ditanya tentang cabaran dalam era digital dan teknologi e-book, Rosman dengan penuh yakin menjawab, “If love never die from human hearts, books also never die from book lovers.” Jawapan itu menarik perhatian delegasi Korea Selatan, dan perbincangan lanjut diadakan untuk membincangkan mekanisme pengedaran buku-buku tersebut.

Menurut Rosman, sesi seperti ini amat penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama global. “Nilai sepunya yang terhasil melalui jaringan ini bukan sahaja bermanfaat untuk negara kita, malah turut menyumbang kepada pembangunan budaya dunia,” tambah beliau.

Persidangan ini membuka peluang baharu untuk PENA, termasuk jemputan rasmi dari ICHCAP ke Jeonju, Korea Selatan, pada tahun hadapan. Rosman optimis bahawa usaha dan visi PENA akan terus memberi impak yang besar, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pentas global.

Projek Buku PENA Malaysia Madani kini menjadi mercu tanda PENA dalam memartabatkan sastera Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Read More

PENA Lancar Koleksi “Buku PENA-Malaysia Madani” di Selangor International Book Fair 2024

Shah Alam, 27 November 2024 – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sekali lagi mencipta sejarah dengan pelancaran koleksi buku terbaharu bertajuk “Buku PENA-Malaysia Madani”, menampilkan 32 judul yang mencerminkan keunikan dan kekayaan budaya, pemikiran, serta sastera tanah air. Koleksi ini boleh didapati di reruai Tulus Kata @ PENA sempena Selangor International Book Fair 2024 yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre dari 27 November hingga 3 Disember 2024.

Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, ketika ditemu bual tentang projek tersebut, menyifatkan penerbitan koleksi ini sebagai satu usaha menyemarakkan agenda Malaysia Madani melalui sastera dan ilmu.

“Koleksi ini bukan sekadar buku, ia adalah cerminan nilai budaya, aspirasi kebangsaan, dan kesinambungan warisan Projek penerbitan ini mengisi misi perjuangan PENA seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PENA yang antara lainnya “mengusahakan penerbitan hasil karya penulis dari semasa ke semasa; mempertinggi bakat penulis dengan jalan mengadakan latihan-latihan tersusun kepada mereka.”

Koleksi “Buku PENA-Malaysia Madani” merangkumi pelbagai genre, termasuk puisi, cerpen, buku berilustrasi, dan novel. Di reruai Tulus Kata @ PENA, pengunjung juga berpeluang bertemu dengan penulis terkemuka, menghadiri sesi bual bicara, serta mendapatkan buku-buku dengan tandatangan eksklusif. Reruai ini menjadi tumpuan pengunjung yang teruja dengan pelbagai aktiviti interaktif, termasuk Malam Baca Puisi yang dianjurkan oleh PENA.

Menurut Pengarah Projek Penerbitan Buku PENA – Malaysia MADANI, Mohd Khair Ngadiron:

Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani hadir sebagai sebuah inisiatif yang signifikan dalam upaya memartabatkan sastera tempatan. Melalui projek ini, ia membuka peluang bagi penulis-penulis tanah air untuk melihat karya mereka diterbitkan. Dengan demikian, suara dan perspektif dalam dunia sastera Malaysia menjadi semakin kaya dan beragam.

Selangor International Book Fair 2024 dijangka menarik puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negara. Dengan penyertaan lebih 500 penerbit dan reruai pameran, acara ini menyediakan platform terbaik untuk memperkenalkan koleksi “Buku PENA-Malaysia Madani” kepada khalayak yang lebih luas.

PENA mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi reruai Tulus Kata @ PENA di P50 dan P60 Setia City Convention Centre sepanjang pameran. Buku-buku dalam koleksi ini juga boleh didapati dalam talian melalui Shopee untuk memudahkan akses kepada pembaca di seluruh Malaysia.

Read More

PENA terima sumbangan untuk baik pulih fasiliti rumah persatuan

Baru-baru ini, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Malaysia, saudara Farhan Fauzi telah bertemu pihak Persatuan Penulis Nasional (PENA) mewakili Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bagi membincangkan usaha memartabat dunia penulisan dan kesusateraan negara.

Pertemuan ini adalah lanjutan daripada sesi dialog antara beliau bersama tujuh Sasterawan Negara pada Jun lalu, yang telah mencetuskan pelbagai idea bernas terkait usaha pemerkasaan seni, budaya dan sastera negara.

Usai perbincangan dengan pihak PENA, Saudara Farhan telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi pihak Perdana Menteri bertujuan membaik pulih fasiliti rumah persatuan dan tanda sokongan Kerajaan terhadap usaha memartabat dunia penulisan dan kesusasteraan negara.

Semoga hasil perbincangan dan sumbangan ini dapat membantu PENA terus memainkan peranan penting mengembangkan bakat, memelihara intelektual serta memperkasa suara penulis tempatan.

Ini juga sebahagian usaha menjadikan Rumah PENA sebagai pusat tumpuan dan pertembungan kegiatan pengkaryaan sastera, bahasa dan kebudayaan.

Facebook: Anwar Ibrahim

Read More