Penghasilan Karya Besar: Cabaran kepada Wanita

Oleh: Mohamad Saleeh Rahamad

Pengenalan

Membincangkan permasalahan sastera tanah air sebenarnya tidaklah perlu dibuat dalam bentuk demarkasi antara lelaki dengan wanita kerana ini hanya akan menimbulkan rasa kurang enak pada golongan yang terasa diperkatakan, apatah lagi jika dibuat perbandingan antara kedua-duanya. Namun demikian, untuk tujuan memfokuskan perbincangan agar lebih difahami oleh khalayak sasarannya, pembahagian gender ini tidaklah menjadi kesalahan. Matlamat utama perbincangan untuk berkongsi pandangan dengan khalayak yang telah disempitkan. Oleh itu, makalah ini tidak wajar dipandang sebagai suatu lontaran sinikal terhadap golongan sasarannya, iaitu penulis wanita. Berhadapan dengan khalayak wanita menuntut pemusatan perbincangan.

Situasi Penulis Wanita Malaysia

Dalam jagat kesusasteraan tanah air, penulis wanita masih dibayangi penulis lelaki jika dinilai pada pencapaian dalam sayembara dan penghargaan sastera. Kayu ukur itu memang bersifat normatif dan boleh dicabar, tetapi cabarannya mestilah berasaskan pertimbangan yang lebih kukuh, bukan sekadar lampias daripada sentiment dan emosi. Oleh itu, setakat ini rekod pencapaian dalam penilaian rasmi oleh mana-mana pihak yang berwibawa masih dapat digunakan. Maksudnya, rekod pencapaian penulis lelaki dan persepsi umum tentang kekuatan karya penulis lelaki masih mendominasi ranah sastera tanah air.

Persoalannya, adakah ini takdir malang bagi wanita hanya disebabkan komposisi gender? Sebahagian besar masa mereka dihabiskan di ruang domestik, memikirkan kebahagiaan suami, anak-anak, dan tidak berani menjadi pemberani untuk menyanggah status quo dalam masyarakat, sedangkan penciptaan karya agung memerlukan tenaga keberanian yang luar biasa untuk menyanggah status quo. Secara kulturalnya, wanita dipersepsikan sebagai insan subordinat, tidak berkuasa membuat keputusan, tidak wajar berada di ruang publik untuk memikirkan masalah masyarakat. Lalu mereka terpaksa berpuas hati dengan peribahasa yang seolah-olah membela mereka: tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang dunia. Mereka pun akur pada tuntutan budaya itu, dan mengakui tugas hakiki mereka hanya di peringkat domestik; mereka pun menghayun buaian anak dengan impian agar anak yang dibuai nanti akan menggoncang dunia; mereka juga bergembira dengan ungkapan yang seksis: dalam setiap kejayaan lelaki, ada wanita yang menyokongnya di belakang. Lalu mereka pun kekal berada di belakang lelaki, memantau keperluan suami masing-masing yang perlu bergerak di ruang publik.

Secara biologikal wanita sememangnya lemah, dan disebabkan kelemahan fizikal itulah maka mereka sukar untuk mendepani sebarang risiko atau petaka yang membabitkan kesan fizikal. Dalam dunia fizikal, sememangnya tenaga lelaki dicipta Allah SWT lebih kuat daripada wanita walaupun wanita juga boleh mempertingkatkan kekuatannya dengan latihan yang keras. Lantaran itu, wanita terpaksa berhati-hati untuk menyanggah dunia realiti yang keras dan kasar agar mereka tidak terpaksa bergelut dengan kekasaran dan kekerasan itu dengan tenaga yang terbatas.

Keterbatasan dari segi kultural dan biologi itu menyebabkan penulis wanita tidak sempat memperluas horizon pemikiran, tidak berdaya menjengah ke arena yang bersifat filosikal, tidak berasa terdesak memikirkan permasalahan masyarakat dalam skala yang besar, lalu kesannya mereka hanya berfikir dalam skala kecil dan menghasilkan karya yang ekspresif, terlingkar di sekeliling kehidupan, pengetahuan, dan keberanian mereka. Ruang domestik menjadi medan dialektikal bagi sebahagian besar penulis wanita.

Jika ada penulis wanita yang melangkah ke ruang publik pun, mereka tetap berlegar di sekitar perjuangan menampilkan kedirian wanita bagi menyedarkan lelaki tentang kewujudan mereka. Perjuangan membela gender tergambar dalam karya-karya monumental seperti novel Badai Semalam (Khadijah Hashim), Jalur Sinar di Celah Daun, Hujan Sudah Teduh dan Haruman Kencana (Zaharah Nawawi), Syumul, Lara (Azmah Nordin), Ombak Bukan Biru (Fatimah Busu), Perempuan di Lereng Bukit (Siti Hawa Mohd. Hassan), Dominasi Tebrau (Aminah Mokhtar), dan novel-novel lain yang tidak termasuk dalam lingkungan cereka popular sekalipun.

Selebihnya, genre novel yang mementingkan selera popular lebih menyempitkan perspektif tentang kehidupan, iaitu dengan melegari permasalahan di sekitar diri. Genre yang diminati ramai itu berusaha mengekalkan tempo yang sama seperti pola dalam cerita hikayat yang stereotaip. Genre sedemikian tidak perlu diganggu sebenarnya kerana khalayaknya sedia ada, tetapi tidaklah sampai karya sedemikian menjadi ukurtara ketinggian mutu sastera.

Begitupun, persoalan yang lebih keras dalam karya penulis wanita masih dapat dilihat melalui novel Panglima Salleh Selempang Merah (Zaharah Nawawi) atau lebih tegar idealismenya dalam novel remaja Bukan Legasi Lalang dan Bimasakti Menari (Sri Rahayu Mohd Yusof) atau Mencari locus Standi (Nisah Haron). Novel sejarah Panglima Salleh Selempang Merah misalnya tidak lagi berlegar dalam permasalahan wanita atau tentang pergelutan untuk merebut imej dengan golongan lelaki yang dominatif. Kisahnya adalah tentang konflik komunis dengan orang Melayu di Batu Pahat, Johor dengan mengunggulkan watak wira tempatan, Kiyai Salleh. Unsur melodrama dan emosi berlarutan tidak lagi disuburkan tetapi tumpuannya ke arah mengobarkan semangat keperwiraan Melayu untuk menghadapi ancaman komunis. Jarang-jarang sekali penulis wanita tempatan mampu menulis karya sedemikian keras. Dua novel lagi itu memperlihatkan bukti nyata bahawa penulisnya boleh melangkah jauh dan menghasilkan karya yang berwajah dewasa dengan selera kesasteraan yang lebih tinggi.

Selain itu, timbul juga persepsi yang meragui sebab musabab situasi ini. Dalam soal memberikan pengiktirafan dan membuat pemetaan sastera, mungkinkah penulis wanita disubordinatkan secara bias? Mungkinkah takdir itu hanya berupa kesan timbal balik: disebabkan penilai dan pengkritik sastera banyak diungguli lelaki maka persepsi mereka juga terarah untuk mengunggulkan lelaki. Barangkali pengkritik dan penilai lelaki tidak dapat mencungkil kekuatan dalam karya penulis wanita kerana mereka tidak memahami cara berfikir wanita. Lalu karya wanita dilihat sebagai the Other, karya orang lain yang seharusnya dicurigai dan disepelekan. Ego pengkritik lelaki tanpa disedari telah mempengaruhi cara mereka melihat dan menilai karya wanita, yakni menilai dengan kayu ukur yang salah. Jika karya wanita dinilai dengan kayu ukur yang betul, iaitu selaras dengan pemikiran wanita maka karya tersebut akan diunggulkan.

Tanggapan itu boleh jadi betul dan boleh jadi tidak betul. Dalam barisan pengkritik yang sering juga menjadi panel penilai sayembara dan hadiah penghargaan, jumlah wanita sangat kecil berbanding lelaki. Antara nama yang sering berulang dilantik sebagai pengkritik jemputan mahupun penilai ialah Dr. Rosnah Baharudin, Dr. Solehah Ishak, Mahaya Mohd Yassin, Dr. Amida Abdulhamid, Dr. Wong Soak Koon, Dr. Norhayati Abdul Rahman, Dr. Tengku Intan Marlina Mohd Ali, Siti Aisah Murad, Salmiah Ismail, Dr. Faridah Abdul Manaf, Dr. Fatimah Busu, dan Dr. Siti Hajar Che Man. Walaupun tidak melebihi pengkritik dan penilai lelaki, suara mereka tidaklah tenggelam dalam perbincangan atau dalam sesi membuat keputusan. Maksudnya, karya penulis wanita turut dilihat dan ditanggapi oleh wanita juga; maka tidaklah berlaku sebarang bentuk nepotisme.

Keadaan sudah jelas bahawa karya penulis wanita tidak mengalami proses pengadilan yang berat sebelah atau bias gender. Kedudukan karya penulis wanita yang berada di bawah dominasi karya penulis lelaki memang telah diwajarkan melalu proses yang adil. Oleh itu, sekarang penulis wanita perlu melakukan introspeksi bagi mencari kekuatan secara kendiri demi mempertingkatkan mutu karya mereka. Aspek mutu yang difokuskan dalam perbincangan ini berasaskan nilai teks, bukan berdasarkan populariti. Unsur populariti terlalu subjektif dan relatif, bergantung pada tahap selera khalayaknya; dan selera khalayak akan berubah mengikut zaman sedangkan mutu sesebuah teks akan teruji sepanjang zaman. Karya yang agung sentiasa diperhatikan dan diberi tanggapan, dinilai dan dibongkar estetika dan pemikirannya dengan pelbagai kaedah. Hayatnya panjang merentas zaman dan benua. Inilah sifat dan mutu karya sastera yang wajar diberi perhatian oleh penulis wanita walaupun dalam masa yang sama populariti juga beriringan dengan mutu karya. Untuk mencapai matlamat itu, penulis wanita yang lemah fizikal dan berteduh di bawah bumbung lelaki dan berkurung dalam lingkungan budaya itu sebenarnya memiliki potensi untuk melahirkan karya yang besar.

Potensi yang Perlu Digilap

Beranggapan bahawa keterbatasan kebebasan dan kelemahan fizikal menyempitkan pergerakan dan mengekang keupayaan mereka menghasilkan karya besar hanya merupakan mekanisme bela diri yang palsu. Kekuatan karya sastera terletak pada muatannya yang sarat dengan pemikiran besar, dan keluasan pemikiran tidak tertakluk pada ruang fizikal. Jika penulis wanita tidak memiliki pengalaman kelautan seperti Arena Wati, pengalaman kemasyarakatan seperti Shahnon Ahmad dan Azizi Haji Abdullah, pengalaman perang dan kenusantaraan seperti Abdullah Hussain dan A. Samad Said lantaran kesempitan medan kembara hidup mereka, masih ada jalan lain yang memungkinkan karya mereka diunggulkan.

Perlu diyakini bahawa ketinggian aras karya sastera atau persuratan ditandai substance yang menjangkau aras filosofi, menegak ke jurus vertikal. Karya besar dan agung dalam tamadun manusia ialah karya yang menjengah sfera kerohanian, manakala aras yang lebih rendah ialah sfera faedah dan aras di bawah ialah sfera keindahan. Demikian dikatakan oleh Braginsky apabila dia menelaah persuratan Melayu Islami yang sarat dengan muatan batiniahnya. Untuk menyelami jagat kerohanian dan ilmu kalam tidak perlu pengembaraan fizikal yang keras dan lasak, tetapi cukup dengan menadah ilmu daripada mursyid dan buku. Memahami konsep karya Islam, karya berunsur Islam dan karya Islami misalnya akan memandu seseorang dalam belantara ilmu. Yang penting ialah kesedaran untuk mencari kebenaran dan menyebarkannya dengan kaedah sastera yang subtle. Fariduddin Attar mencipta Persidangan Burung-Burung (Confenrence of Birds) atau Ibnu Tufail membuat alegori sufisme melalui Hayy ibn Yakzan dan Hamzah Fansuri dengan Syair Perahu misalnya, menyaratkan karya mereka dengan ketulusan niat dan kebenaran ilmu dengan busana sastera. Tidak perlu ada pengalaman menempuh perang seperti A. Samad Said mengisahkan derita Nahidah dan Salina di Kampung Kambing dalam Salina atau pengalaman Shahnon bersaudara dengan penduduk di Patani untuk menulis al-Syiqaq mahupun kerajinan Azizi Haji Abdullah menyelidik dunia hutan dan orang tua dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung.

Pengalaman kerohanian Islam membuka ruang yang lebar untuk penulis wanita menumpahkan ideanya ke dalam karya. Cuma yang perlu difahami ialah kaedah penyampaian ilmu dalam bentuk yang halus dan alegorikal, tidaklah karya menjadi khutbah polos yang kontang rasa dan estetika. Barangkali pencarian Fatimah Busu menjelang usia emasnya telah memungkinkan beliau menjengah ke dunia ilmu melalui Salam Maria yang bercorak alegori itu meskipun tidak sekompleks novel Panrita oleh Arena Wati. Cerpennya “al-Isra’’ juga wajar diperhatikan sebagai bukti kebolehan penulis wanita keluar dari kepompong kewanitaan yang berasa disubordinatkan.

Selain sfera kerohanian, sfera faedah yang mengambil corak realisme juga tidak wajar disisihkan. Karya dalam sfera faedah bermakna karya yang tidak menjengah alam ketuhanan dan sufisme tetapi berada di latar horizontal, berhubung dengan manusia dan menyampaikan faedah. Dalam konteks ini, makna faedah itu perlu diperluas ufuknya supaya tidak belegar dalam kepompong diri yang berunsur megalomania, mengagumi diri sendiri sahaja tanpa peduli pada dunia orang lain. Penulis perlu melihat faedah yang lebih luas cakupannya, bukan hannya golongan wanita dan keluarga kecil tetapi untuk bangsa. Sekadar contoh, cerpen “Mem Bercoker Emas” karya Rahimah Muda membawa nilai nasionalisme yang ideologikal. Kemampuannya mengadunkan idea mewirakan wanita (peribumi) bagi mengenyahkan kekaguman terhadap kolonial (atau neokolonial dalam skala yang lebih besar) dengan teknik naratif yang berseni membuahkan hasil yang besar manfaatnya. Tanpa bermain dengan emosi dan sentimentaliti, Rahimah Muda juga menghasilkan novel-novel sejarah yang sarat maklumat dan teguh ideologinya. Sekiranya perjalanan seni Rahimah Muda tidak dihalang oleh dirinya sendiri, nescaya beliau akan mampu muncul sebagai penulis wanita yang penting. Bagi penulis wanita Sarawak, ikon sastera wanita seperti ini wajar diperhatikan.

Sehubungan dengan itu, penulis wanita tidak wajar melupakan keupayaan sastera sebagai tenaga hegemoni yang mampu mengubah paradigma masyarakat. Secara kultural, kesusasteraan telah lama menjadi alat pembudayaan dan penjinakan masyarakat, terutama dalam proses “ketamadunan” oleh Barat dalam dunia Timur. Kolonialisme Barat di Benua Amerika latin, Afrika dan Asia tidak berlangsung dengan peperangan dan kekerasan semata-mata tetapi digandingkan dengan tenaga budayanya. Penjajah dari Eropah menghantar pegawai ekspatriatnya yang memiliki kemahiran dan kepintaran memanipulasi fakta ke tanah jajahannya untuk mendalami budaya dan etos masyarakat peribumi lalu kemudian menulisnya dalam perspektif kolonialisme dan wacana Orientalisme.

Di Tanah Melayu, R.O. Winsted, C. Hooykas, Joseph Conrad, Anthony Burgess, dan Somerset Maugham misalnya telah menjalankan peranan sebagai pembentuk pemikiran peribumi melalui karya Orientalisme yang halus dan bersepuhkan ilmu serta kepintaran artistik demi menyebarkan ideologi kolonialisme mereka. Peristiwa ini berlangsung dengan aman tanpa pemberontakan daripada peribumi berbanding dengan penjajahan yang menggunakan kekerasan. Itulah wajar difahami dan dinilai semula oleh penulis tanah air. Dalam era pascamerdeka dan globalisasi sekarang tugas penulis menjadi semakin besar untuk mendepani serangan budaya yang menggunakan taktik glokalisasi. Maksudnya serangan hegemoni Barat ke atas masyarakat kita adalah bentuk yang sangat halus, yakni menakluk pemikiran generasi muda supaya menjadi hamba kepada budaya mereka secara rela (rule by consent).

Menyedari situasi ini, penulis perlu bangkit membongkar agenda Barat itu dan menyerangnya semula dengan peralatan budaya juga sebagaimana kata Leela Ghandi (1998:142), “Texts, more than any other social and political product…are the most significant instigators and purveyors of colonial power and its double, postcolonial resistance.” Tiffin dan Lawson (1994:10) juga menyatakan, perlawanan budaya antara karya kolonial dengan karya pascakolonial adalah dalam bentuk pertandingan representasi atau dalam konteks sasteranya, teks sastera dilawan dengan teks sastera. Dengan muncul kesedaran pascakolonial penulis perlu bergerak dengan agenda yang strategik, iaitu menghapuskan karya kanun Barat dengan melahirkan karya kanun sendiri. Begitupun, karya kanun yang perlu dihapuskan itu bukan hanya berbentuk tekstual malahan lebih luas cakupannya iaitu merangkumi kaedah membuat tanggapan terhadap karya Barat dengan kesedaran pascakolonial:

So the subversion of a canon involves the bringing-to-consciousness and articulation of these practices and institutions, and will result not only in the replacement of some texts by others, or the redeployment of some hierarchy of value within them, but equally crucially by the reconstruction of the so-called canonical texts through alternative reading practices. (Ashcroft, Griffiths dan Tiffin, 1989:189)

Penulis yang mahu melahirkan karya besar perlu mengubah cara berfikir, memilih aspek yang penting dan berskala luas dan universal, bukannya dengan menyempitkan diri dalam dunia parokial. Dunia parokial atau kedaerahan atau domestik yang terasing tidak dapat berdialog dengan dunia luar yang pelbagai corak bangsanya. Dionysius Cassius Longinus (210-273M) dari Yunani menulis “On the Sublime” (Tentang Keagungan) bahawa karya yang baik lahir daripada yang berikut: pemikiran yang agung (bakat alam), emosi yang intense, figura bahasa yang tepat, diksi yang mulia, iaitu kata-kata metafora yang cocok, komposisi yang mulia/adab. Bagi Longinus, ujaran yang agung seringkali adalah kumandang jiwa yang agung. Oleh itu, seseorang yang mahu mencapai ujaran yang agung haruslah memikirkan hal-hal yang agung sahaja dan membaca sastera yang agung. Sesiapa yang dalam kehidupannya hanya memikirkan pemikiran remeh dan kebudak-budakan pula, tentulah tidak dapat melahirkan sesuatu yang mengagumkan dan abadi. Kita hanya dapat mengharapkan ucapan yang agung daripada orang yang konsepsinya agung dan berat. Oleh itu, ujaran yang agung adalah pancaran daripada orang yang berjiwa agung.

Sastera dalam pembinaan budaya mempunyai peranan yang besar baik pada tahap intra mahupun inter. Pada tahap intra, dalam masyarakat sendiri, karya sastera berperanan menerapkan nilai (agama, pendidikan, budaya, moral, dsb) dan ideologi (yang menjadi aspirasi nasional atau negara). Jika sastera untuk kanak-kanak dan remaja, nilai didaktik ke arah pembentukan peribadi yang baik menjadi keutamaan; bagi sastera dewasa, nilai dan ideologinya sudah berubah kepada bentuk yang lebih besar, yakni nasionalisme, patriotisme, agama, dan etnisiti.

Nilai yang wajar diterapkan tentunya yang sesuai dan serasi dengan budaya kita. Soalnya siapakah ”kita”? Ini juga telah menimbulkan kekeliruan kerana konsep ”kita” mungkin sudah berubah. Kita kini bukan lagi terhad pada etnik dan ras yang eksklusif dan yang difahami secara tradisional. Mahu atau tidak, kita terpaksa mengakui hakikat kepelbagaian dalam masyarakat. Sinkretisme (kepelbagaian unsur) sudah menjadi satu pola wajib dalam mana-mana masyarakat globalisasi. Namun begitu, setiap pengarang berhak mempunyai pendirian tersendiri dalam soal ini. Jika dia mahu menegakkan nilai etniknya sahaja, dia berhak berbuat demikian. Cuma perlu diakui bahawa kita tidak hidup sendirian dan karya kita tidak wajar menjadi begitu eksklusif dengan meminggirkan aspirasi bersama. Karya kita tidak harus bersifat berpusat kepada diri (self centredness). Kita perlu memikirkan nilai bersama atau sekurang-kurangnya nilai yang kita tegakkan itu tidak cuba menggulingkan nilai etnik lain secara hina. Kita tidak mahu dalam konteks hubungan intra, berlakunya pertembungan tamadun (clash of civilizations), tetapi kita mahu mewujudkan dialog tamadun.

Oleh itu, nilai atau pandangan budaya yang dibawa seharusnya bersifat neutral kepada nilai etnik lain. Jika egosentrik ini terkawal, karya itu dapat menjadi cermin budaya yang akan dilihat dan dicerna oleh masyarakat lain. Sekurang-kurangnya pada peringkat intra kita jangan bercita-cita menjadikan karya sastera sebagai alat dominasi kerana kesannya tidak akan menjadi baik. Pasti akan muncul wacana balas daripada pihak yang bertentangan, atau jika tidak pun, mungkin akan timbul penentangan secara subversif. Perlu diingat bahawa dalam perang budaya pelbagai senjata rahsia dan halus boleh digunakan oleh semua pihak, bukan hanya kita.

Dalam merencanakan corak karya pelbagai aliran telah muncul dan kadangkala membingungkan penulis: apakah aliran yang bagus untuk dicontohi? Timbul anggapan bahawa aliran mimesis, iaitu karya realisme tidak lagi mencerminkan ketinggian mutu sastera. Cerita yang mengikut pola kehidupan lazim dianggap sudah klise dan ketinggalan zaman lalu ada penulis yang berusaha menggubah karya absurd, keluar daripada nahu naratif realisme. Bentuk yang bermuara daripada falsafah pascamoden ini tidak lagi mencari kesepaduan dan keharmonian bentuk tetapi memilih bentuk yang kalut (chaos). Maksud dan makna, idea dan moral tidak lagi menjadi keutamaan kerana semua nilai menjadi nisbi. Akhirnya sastera kita menjadi kain senteng, ke atas tak sampai, ke tanah tak jejak.

Tanggapan begitu perlu diluruskan semula. Pertama, falsafah pascamoden yang lahir akibat daripada hilangnya kepercayaan ahli falsafah Eropah terhadap agama dan Tuhan serta kebenaran mutlak mendorong mereka mengunggulkan karya yang ekspresif dan tidak lagi bercorak realisme. Hilangnya kepercayaan mereka terhadap undang-undang dan agama apabila melihat keruntuhan nilai kemanusiaan semasa Perang Dunia Pertama menyebabkan mereka kehilangan kepercayaan terhadap Tuhan. Lalu lahirlah aliran dadaisme, eksistensialisme, surealisme, dan absurdisme. Aliran ini bersifat nihil dan menyimpang daripada agama.

Bagaimanapun, penolakan kita terhadap isme-isme nihilisme seperti itu tidak pula menghalang kita menghasilkan karya yang nonrealisme. Dari segi bentuk, pelanggaran nahu realisme masih dibenarkan selagi kita tidak menghilangkan kepercayaan terhadap Tuhan. Kita hanya meminjam bentuk absurd misalnya, tetapi tidak menggunakan falsafah absurdisme.

Tulislah cereka yang bercorak absurd atau realisme magis jika cara begitu dapat meninggikan mutu karya, membezakan karya kita daripada konvensi. Tetapi harus juga diingat bahawa karya realisme juga tidak mati dalam selera khalayak dan tanda aras karya bermutu. Karya realisme masih relevan, malahan lebih baik berbanding karya absurd atau realisme magis yang sukar ditebak makna dan ideanya. Yang perlu diperhatikan ialah sejauh mana kadar realisme itu bermain.

Cereka realisme menjadi lebih bermutu apabila unsur simbolisme dimanfaatkan. Simbolisme dalam cereka khususnya akan menjadikan sebuah cerita yang kecil ruang lingkup, sedikit wataknya, dan terbatas latarnya mencapai taraf universal apabila semua elemen yang membangunkan cerita difahami sebagai simbol sahaja. Jika dibaca oleh khalayak di negara lain dan di benua lain pun mereka akan dapat menghayati dan menikmatinya berbanding dengan cerita yang hanya berlegar dalam kepompong parokialiti. Sebagai contoh (sekali lagi karya penulis lelaki), cerpen ”Kelapa Nan Sebatang” karya Shahnon Ahmad menjadi hidup dan bertaraf sejagat kerana menghidupkan simbolisme. Cerpen ini barangkali berprototaipkan novelet Ernest Hemingway, The Old Man and The Sea. Kemudian Azizi Haji Abdullah juga menghasilkan klon yang berpola sama melalui novel Seorang Tua di kaki Gunung. Walau apa pun, ketiga-tiga karya ini memperoleh kedudukan sebagai karya besar lantaran penggunaan simbolisme.

Oleh itu, penulis wanita juga boleh memanfaatkan kaedah yang sama. Bercerita tentang kisah kecil di suatu tempat tetapi berpaksikan pemikiran yang sejagat sifatnya akan mendorong kita menulis dengan berhemah. Berhemah dalam penulisan bermaksud kitatidak sewenang-wenangnya memasukkan sekian banyak watak, peristiwa, dialog dan latar ke dalam ruang naratif. Sebaliknya, kita akan membuat pemilihan elemen untuk dimampatkan kerana simbolisme sememangnya bermain dengan elemen yang kecil tetapi membawa maksud yang berlapis.

Penutup

Pembinaan sastera yang besar dan agung tidak bermain dengan idea ringan dan berpaksikan diri sendiri. Tetapi sebelum menemui idea besar dan menjejak ke ruang publik yang universal perlulah dilatih dan diasah bakat serta tenaga pengkaryaan. Melihat dunia yang lebih luas dan mencuba untuk mengubah dunia merupakan perangsang yang ampuh untuk menjadi penulis besar dan menghasilkan karya agung. Hanya karya yang dapat mengubah dunia atau masyarakat layak diangkat sebagai karya agung. Oleh itu, gerakan mencari makna keagungan itu perlu dimulakan sekarang.

Read More