Manisnya Ramadan (2)

Oleh: MOHAMED NASSER MOHAMED

Alhamdulillah. Syukurilah keseronokan menikmati Ramadan. Apatah lagi kita menikmati Ramadan dalam suasana aman damai di negara kita, berbanding suasana bergolak di beberapa buah negara dunia.

Seperti orang lain, semua kita mempunyai pengalaman Ramadan. Sama ada yang manis mahupun yang kurang menyeronokkan. Ada daripada kita yang menjalani Ramadan bersama keluarga tersayang, ada juga yang terpaksa berjauhan. Ramadan pertama berjauhan daripada keluarga juga mencabar. Seingat saya kali pertama saya menjalani ibadah Ramadan berjauhan daripada keluarga ialah ketika saya memilih untuk bersama dua orang lagi rakan saya yang bersama saya di perantauan. Ketika itu kami berkerja di sebuah kilang papan di Buluh Kasap. Lain pula kisahnya ketika di perantauan.

Kisah saya menjalani Ramadan selepas bergelar bapa juga mempunyai nostalgia tersendiri. Saya mendapat anak pertama, delapan hari sebelum menjelangnya Ramadan 1415H. Anak sulong saya lahir pada 21 Januari 1995 manakalah Ramadan pada tahun tersebut bermula 1 Februari 1995. Bayangkan dengan pertambahan ahli keluarga bermakna banyak juga yang perlu dipertimbangkan. Cumanya saya sejak dahulu kurang gemar ke bazar Ramadan. Bukan kerana saya tidak suka juadah yang dijual di sana, tetapi lebih kepada kurang ke tempat-tempat sesak dipenuhi manusia seperti itu. Lagipun saya bukanlah jenis orang yang beriya-iya mencari nasi lemak sedap di bawah jambatan!

GIZA, EGYPT – 13 Mei: Kanak-kanak menghias jalanan dengan kertas sebagai sebahagian sambutan bulan mulia Ramadan di desa al-Beracil, Giza di Egypt pada 13 Mei 2018. (Foto oleh Ahmed Al Sayed/Anadolu Agency/Getty Images)

Seperti saranan Ustaz Dr. Mohd Sabir Jamaludin dalam sesi Cakap Apa Sahaja (CAS), semalam (11 Mac 2024) bahawa peniaga di bazar Ramadan juga ada keluarga untuk disara demi mencari rezeki yang halal. Ke bazar Ramadan tidaklah salah cumanya berpada-pada dan tidak membazir. Bukankah membazir dan boros amalan syaitan.

Statistik pembaziran makanan sangat mengejutkan. Pada tahun 2017, sebanyak 17000 tan metrik dibuang saban hari. Ironinya hampir 20 peratus daripadanya adalah makanan yang masih elok dan sesuai untuk dimakan.

Ingatlah pada surah Al-Isra’ayat 27 yang bermaksud

“Sesungguhnya orang-orang yang boros itu ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.

Kalau selepas ini, anda ingin membuang makanan, fikir-fikirlah bagaimana mereka yang sedang kebuluran kerana ketiadaan makanan. Ramadan yang manis, jadikanlah permulaan untuk kita tidak membazir.

#ManisnyaRamadan
#catatanpascajumaat
#NuhaBooks
#apalagiyanglebihmembahagiakan


MOHAMED NASSER MOHAMED ialah ahli Persatuan Penulis Nasional Malaysia yang juga pemilik Nuha Books.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi PENA Malaysia.