Isu ICERD dan Senator Wayta Moorthy

Disiarkan: 19 November 2018

Kenyataan Media Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) tentang ICERD

Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy memberikan jaminan bahawa ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu dan bumiputera di negara ini, ada persoalan yang wajar dibangkitkan.

Senator P. Wayta Moorthy

Pertama, untuk memberikan jaminan tersebut, jawatannya tidak ada kapasiti untuk bercakap bagi pihak kerajaan. Sebelum ini Perdana Menteri sendiri sudah menyatakan bahawa perundingan dengan pihak yang berkepentingan akan dibuat, serta beliau menjamin keputusannya nanti tidak akan mengetepikan kebimbangan orang Melayu. Maknanya kerajaan belum berbincang tentang hal ini, termasuk perinciannya.

Senator Waytha Moorthy tidak boleh mendahului Perdana Menteri.

Kedua, walau sesiapa pun yang memberikan jaminan seumpama itu, ICERD tetap tidak wajar diratifikasi oleh Malaysia. Ratifikasi hanya akan membuka ruang untuk langkah susulan sehingga Perlembagaan pun boleh dipinda nanti.

Malaysia tidak perlu akan ICERD untuk menjadi negara yang adil kerana dalam keadaan sedia ada pun keistimewaan kepada bangsa bukan Melayu atau bukan bumiputera tetap diberikan, malahan lebih daripada yang dinikmati oleh golongan itu di negara lain.

KUALA LUMPUR 31 OKTOBER 2018. Peserta himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di hadapan bangunan Parlimen. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Kami bagi pihak PENA dan pemegang taruh bahasa Melayu tidak bersetuju dengan ratifikasi ICERD kerana bimbang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 dan dalam sistem pendidikan akan terancam. Apabila ICERD diterima, akan terbukalah ruang untuk mengancam kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan kerana status bahasa Melayu boleh sahaja dituduh sebagai diskriminasi terhadap bahasa lain.

Sedangkan tanpa ICERD pun bahasa Melayu sering dihimpit oleh permainan politik perkauman dan dominasi komersialisme, apatah lagi setelah ICERD diratifikasi. Kelak bahasa Melayu akan menjadi bahan tawar-menawar dalam kancah politik.

Dr Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)