Isu Kelonggaran Syarat Lulus BAHASA MALAYSIA dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Lantikan Pegawai Perubatan UD41 Secara Kontrak

Disiarkan: 2 Julai 2017

Kenyataan Media Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) tentang kelonggaran syarat lulus BAHASA MALAYSIA dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan pegawai perubatan UD41 secara kontrak.

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) membantah tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang membenarkan pengambilan pegawai perubatan UD41 secara kontrak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

1.Kelonggaran tidak wajar diberikan langsung kepada semua Siswazah Perubatan warganegara Malaysia kerana bertentangan dengan Fasal 152 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 .

2.Mereka ini mestilah juga mengikut syarat dan prosedur JPA yang standard bagi semua penjawat Perkhidmatan Awam.Kenapa Perkhidmatan Perubatan diberi kekecualian dan kelonggaran?

3.Kami memandang perkara ini dengan penuh prihatin kerana kesannya sangat besar.

4. Secara tidak langsung tindakan itu telah meminggirkan kepentingan bahasa Melayu sedangkan itulah satu-satunya prinsip yang masih ada dalam agenda pembentukan negara bangsa.

5. Jika ini dibenarkan nescaya akan lebih banyak pihak atau sektor perkhidmatan yang lain menuntut kelonggaran yang serupa.

6. Lama-kelamaan jawatan lantikan tetap pula yang akan diberi kelonggaran.

7. Sepatutnya semua warganegara Malaysia memiliki kelulusan Bahasa Malaysia memandangkan itulah unsur yang memanifestasikan ciri identiti dan syarat kewarnegaraan.

8. Jika subjek yang kritikal dalam bidang perubatan mampu dikuasai oleh mereka kenapa pula subjek Bahasa Malaysia tidak mampu dikuasai.

9. Adakah golongan tersebut memang tidak menghormati bahasa kebangsaan?

9. Kami menentang sekeras-kerasnya sebarang kelonggaran atas asas KAUM.

7. Kami menuntut JPA, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) melakukan keadilan dan mematuhi syarat pelantikan yang sama bagi semua sektor perkhidmatan.

Dr Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia ( PENA)