UEC Tidak Perlu Diterima

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) tidak bersetuju sama sekali dengan cadangan pihak tertentu supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) anjuran Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebagai pengganti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kemasukan ke universiti awam atau perkhidmatan kerajaan.

Dalam hubungan ini, tindakan mana-mana ahli politik, khususnya daripada UMNO untuk membawa perkara ini ke Parlimen juga tidak wajar dipertimbangkan. Cadangan Tan Sri Annuar Musa, Ketua Penerangan UMNO dan Ahli Parlimen Ketereh untuk berbuat demikian sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar The Star dan NSTP pada 11 Mac 2017 merupakan tindakan yang akan menggoncang maruah bahasa Melayu.

Sekiranya hal ini dibincangkan di Parlimen, akan timbul situasi yang memudahkan pelbagai pihak untuk menuntut supaya UEC diiktiraf oleh kerajaan sedangkan hal itu tidak sepatutnya ditimbulkan lagi. PENA berpendapat, sokongan terhadap cadangan pengiktirafan UEC itu sebagai tindakan yang boleh menggugat status bangsa dan bahasa Melayu.

Sekiranya ahli politik yang mempunyai kuasa turut merendahkan taraf bahasa Melayu secara perlahan-lahan, apakah yang boleh diharapkan daripada mereka untuk membela nasib bahasa Melayu dan identiti kebangsaan. Sebenarnya UMNO perlu menjadi benteng bagi mempertahankan maruah bangsa dan bahasa Melayu kerana itulah yang menjadi asas penubuhannya.

Pendirian PENA adalah tegas, iaitu pengiktirafan ke atas peperiksaan UEC bagi kemasukan ke universiti awam adalah tidak wajar sama sekali kerana ini bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara. Apabila UEC diterima nanti, kedudukan Bahasa Melayu dan mata pelajaran Sejarah yang diwajibkan dalam SPM dengan sendirinya akan tergugat.

Sekurang-kurangnya dengan adanya SPM semua pelajar universiti awam dan kakitangan awam di negara ini sudah melalui proses pembelajaran dalam kedua-dua mata pelajaran yang penting itu. Sebagaimana yang dimaklumi, Bahasa Melayu ialah alat yang membentuk identiti bangsa bagi sesebuah negara bangsa, manakala mata pelajaran Sejarah sangat penting bagi membentuk sahsiah warganegara.

PENA ingin mengingatkan semua pihak termasuk ahli politik supaya tidak mengeksploitasi isu UEC ini demi kepentingan peribadi dan politik sempit. Agenda pembentukan negara bangsa tidak wajar dirosakkan oleh kejahilan ahli politik dalam memahami aspirasi nasional.

Dr Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
14 Mac 2017