Sejarah PENA

Oleh: Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (Presiden PENA)

Pendahuluan

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) merupakan persatuan penulis yang bertaraf nasional. Sejarah panjang PENA tidak mungkin dapat dihuraikan dengan lengkap tetapi dengan membentangkan perkembangan semasa dan dengan menyentuh peristiwa yang signifikan dalam sejarah perjuangan bahasa, kewujudan PENA sebagai organisasi yang penting dapat dijelaskan. Oleh itu, makalah ini akan membataskan perbincangan dan huraiannya pada beberapa peristiwa yang dianggap ikonik pada imej perjuangannya kini.

Sejarah dan Latar Belakang PENA

Menurut Baha Zain, penubuhan Persatuan Penulis Nasional (PENA) pada awal 60-an ada kaitan dengan peristiwa politik sebelumnya dan kegiatan tokoh-tokoh penulis yang menubuhkannya. Pada zaman sebelum merdeka, ramai penulis dari Semenanjung Tanah Melayu berhijrah ke Singapura untuk bekerja dengan penerbit-penerbit di pulau itu. Menjelang merdeka pada tahun 1957, ramai pengarang di Singapura berpindah ke Kuala Lumpur; ada yang bekerja dengan Utusan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan penerbit-penerbit lain. Di Kuala Lumpur, penulis seperti Keris Mas, Usman Awang, Saleh Daud, A. Samad Said, Ahmad Boestamam, Asraf, dan Awam Al-Sarkam tinggal di Petaling Jaya. Petaling Jaya juga menjadi kampus bagi Universiti Malaya mulai 1959. Di sinilah berhimpunnya kelompok akademik dan ilmuwan sastera dan bahasa Melayu. Mohd. Taib Osman, Ismail Hussein, Agus Salim, Syed Husin Ali, Kassim Ahmad, Yusuf Hitam, Norzah, Hassan Ahmad, dan Hassan Ibrahim adalah antara yang aktif dalam penulisan dan pergerakan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) pada zaman awal merdeka itu.

Tinggal serumpun di suatu kawasan yang sedang membangun itu memungkinkan para pengarang Melayu yang terdiri daripada Keris Mas, Usman Awang, Asraf dan A. Samad Ismail (yang berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur bagi menjadi Pengarang Berita Harian) berwacana dengan mahasiswa yang aktif seperti Syed Husin Ali dan Kassim Ahmad. Pertemuan intelektual ini mencetuskan idea untuk menubuhkan sebuah persatuan penulis yang sesuai dengan keadaan politik semasa bagi bergerak dalam negara yang baru merdeka.

Sebuah kertas kerja tentang tujuan persatuan telah disediakan untuk diketengahkan dalam pertemuan pada 12 Februari 1961 kepada Menteri Pelajaran, Abdul Rahman Talib, di Dewan Kuliah A, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Hasilnya terbentuklah jawatankuasa kerja yang terdiri daripada Usman Awang (Ketua I), Yunus Maris (Ketua II), Syed Husin Ali (Setiausaha I) , Yusof Hitam (Setiausaha II), Zain Ariff (Bendahari); ahli jawatankuasanya, Kassim Ahmad, Ali Haji Ahmad, Azah Aziz, Wan A. Hamid; pemeriksa kira-kira: Mustapha Kamal Yassin dan Aishah Ghani. Pendaftaran PENA kemudian disahkan oleh kerajaan pada 2 September 1962 atas nama Persatuan Penulis-Penulis Nasional Persekutuan Tanah Melayu, dan kemudian ditukar namanya kepada Persatuan Penulis Nasional Malaysia pada 30 Oktober 1974.

Dalam Perlembagaan PENA tercatat: “Penubuhan PENA bertunas daripada kesedaran bahawa bahasa dan sastera sebagai pancaran keperibadian masyarakat dan manusia; keperibadian sastera nasional harus dalam penjelmaannya dari bahasa nasional (Malaysia); sesuatu masyarakat itu diikat oleh hukum-hukum ‘bertulis dan tidak bertulis’ dengan persefahaman, tradisi dan moralnya; dan penulis/sasterawan mempunyai peranan dan tanggungjawab baik untuk kepentingan kaum penulis mahupun untuk kepentingan masyarakat yang dianggotainya. Oleh itu, PENA dihidupkan untuk masyarakat Malaysia yang utuh dan bersatu padu dengan maruah dan keperibadian nasionalnya.”

Maka dengan itu bermulalah sejarah PENA dengan berhala tuju: “Menyatukan penulis-penulis tanah air dari semua peringkat dan segala aliran pendapat; dan berusaha seluas-luasnya dalam lapangan bahasa, kesusasteraan dan ilmu pengetahuan, bersesuaian dengan kepentingan-kepentingan nasional dengan tidak terikat kepada dasar politik kepartian dan terkeluar daripada bidang undang-undang negara.” Kata kuncinya ialah keperibadian nasional yang berteraskan sastera dan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu, dan “tidak terikat kepada dasar politik kepartian”. Berasaskan paksi tegar itulah PENA terus menggerakkan keupayaannya dekad demi dekad dengan keragaman corak pentadbiran.

Tokoh-tokoh Kepemimpinan PENA

PENA telah dipimpin oleh ramai tokoh penulis yang dimulai oleh Ketua Satu Usman Awang (1961-1965), dan diikuti oleh Hassan Ahmad (1965-1967), A. Bakar Hamid (1967-1969), Hassan Ibrahim (1969-1972), Mohd Noor Azam (1972-1977 dan 1985-1986), Adam A. Kadir (1977-1982), Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala (1982-1985 dan 1986-1987), Anwar Ridhwan (1987-1988), Yahaya Ismail (1988-1990), Maarof Saad (1990-1992), Ahmad Sebi Bakar (1992-2008), Baharuddin Zainal atau Baha Zain (2008-2020), dan Mohamad Saleeh Rahamad (2010-). Pemilihan ketua satu atau presiden diadakan pada setiap dua tahun dalam mesyuarat agungnya.

SN Dato’ Usman Awang

Di sebalik pentadbiran dan kegiatan PENA, peranan setiausaha amat penting kerana di tangan merekalah perancangan yang dibuat oleh ketuanya diterjemahkan secara konkrit dengan bantuan ahli jawatankuasa. Dalam sejarah PENA, gelaran setiausaha satu digunakan pada peringkat awal yang dijawat oleh Syed Husin Ali (1961-1964), A. Bakar Hamid (1964-1965), Shamsuddin Kassim (1965-1966), Yahya Ismail (1966-1967), Baharudin Zainal (1967-1969), Saleh Daud (1969-1976), Shamsuddin Jaafar (1976-1977), Ainon Muhammad (1977-1978), Hamdan Yahya (1978-1979), Hamzah Hamdani (1979-1982), Zainal Abidin Bakar (1982-1986), Idros Shamsudin (1986-1987), A. Rahim Abdullah (1987-1988), dan A. Ghani Abdullah (1988-94).

Gelaran setiausaha satu kemudian ditukar kepada setiausaha agung yang dijawat oleh A. Ghani Abdullah (1994-1999) Wan Omar Ahamed atau Sutung Umar Rs (1999-2002), Johan Jaaffar (2002-2006), Syed Mohd Zakir Syed Othman (2006-2016), Saifullizan Yahaya (2016-2020), dan yang terkini Dr Shamsudin Othman (2020-). Seyogia difahami bahawa setiap jawatan dipegang selama dua tahun bagi satu penggal; oleh itu, ada penjawat yang memikul tanggungjawab beberapa penggal.

Sepuluh tahun terakhir abad ke-20 merupakan era yang khas bagi PENA. Mulai tahun 1992 Dato’ Ahmad Sebi Bakar yang sudah lama tidak aktif (setelah meninggalkan jawatan Setiausaha I GAPENA) tampil memenangi pemilihan jawatan Ketua I PENA. Sejak itu, beliau tidak putus-putus memimpin PENA sampailah pada tahun 2004. Mulai Mesyuarat ke-32 yang dipimpin oleh Jawatankuasa Kerja 1994-1995, jawatan Ketua I dan II berubah nama menjadi Presiden dan Timbalan Presiden, dan Setiausaha Satu bertukar kepada Setiausaha Agung setelah Perlembagaan PENA dipinda. Akhirnya, pada 2004 Ahmad Sebi Bakar terpaksa melepaskan jawatannya untuk memberikan tumpuan kepada perniagaannya. Jawatan presiden diambil alih oleh Baha Zain dalam mesyuarat agung PENA tanpa pertandingan dan timbalannya Mohamad Saleeh Rahamad. Peralihan tanggungjawab ini berlaku atas dasar perundingan dalaman yang kemudian disahkan dalam mesyuarat agung kerana tiada pertandingan.

Dato’ Ahmad Sebi Bakar telah membawa banyak kemajuan dalam PENA. Selaku tokoh perniagaan yang berjaya dan melalui hubungan eratnya dengan beberapa pemimpin negara, beliau menumpahkan baktinya kepada PENA dari segi kewangan, perubahan, dan kemajuan. Pada era beliau PENA mendapat sebuah rumah kerajaan dalam bentuk pinjaman daripada kerajaan di Bukit Petaling untuk dijadikan pusat kegiatan yang kini dikenali sebagai Rumah PENA. Rumah PENA juga telah dibaik pulih dengan perbelanjaan yang besar hasil daripada usaha beliau. PENA juga telah menubuhkan Akademi Penulis yang diterajui oleh Saifudin Abdullah sebagai entiti perniagaan untuk melatih penulis dalam bentuk kursus, tetapi Akademi Penulis tidak bertahan lama. Entiti akademik tersebut tidak dapat diteruskan atas sebab pengurusan dan kewangan.

Selepas Dato’ Ahmad Sebi melepaskan jawatannya pada tahun 2004, Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain) pula memikul amanah sebagai Presiden dan Mohamad Saleeh Rahamad dipilih sebagai Timbalan Presiden. Perancangan asal para peneraju PENA ketika itu selepas Ahmad Sebi melepaskan jawatannya Baha Zain akan mengambil alih kepemimpinan dan Johan Jaaffar menjadi Timbalan Presiden. Selepas Baha Zain, Johan Jaaffar akan memikul tanggungjawab tersebut. Tetapi hasrat itu terbantut apabila Johan Jaaffar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Johan Jaaffar terpaksa melepaskan jawatan Setiausaha Agung PENA bagi mengelakkan krisis kepentingan peribadi kerana memegang jawatan dalam persatuan penulis dan sekali gus peneraju DBP. Beliau bimbang masyarakat akan membuat penilaian yang berbaur prasangka apabila DBP menyalurkan bantuan kewangan kepada PENA hanya disebabkan pemimpinnya orang yang sama.

Baha Zain memegang jawatan itu selama dua penggal, iaitu sehingga 2010 sebelum diambil alih oleh Mohamad Saleeh Rahamad. Apabila Baha Zain terpilih sebagai Presiden pada 2008 tanpa bertanding, Mohamad Saleeh Rahamad dipilih sebagai Timbalan Presiden juga tanpa pertandingan. Pada mesyuarat agung PENA ke-47 (2010) jawatan Presiden PENA beralih kepada Mohamad Saleeh Rahamad dalam satu pertandingan antara Baha Zain dengan Mohamad Saleeh Rahamad. Peristiwa itu memperlihatkan seolah-olah ada krisis antara pemimpin PENA, namun sebenarnya itu bukanlah suatu krisis melainkan proses demokrasi yang biasa. Tiada krisis peribadi di sebalik perubahan pucuk pimpinan itu kerana kedua-duanya merupakan gandingan yang mesra.

Tokoh-tokoh pemimpin PENA pada peringkat awalnya merupakan nama besar dalam sejarah kesusasteraan tanah air. Beberapa orang daripada mereka telah menerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran sebagai Sasterawan Negara, iaitu Usman Awang (1983), Anwar Ridhwan (2009), Kemala (2012), dan Baha Zain (2013). Anugerah Sastera Negara ialah anugerah tertinggi sastera negara sejak tahun 1982 yang lazimnya disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, tokoh-tokoh kepemimpinan PENA juga telah mengisi barisan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award (Southeast Asian Writers Award). Anugerah berprestij pada peringkat Asia Tenggara ini diberikan kepada seorang penulis bagi setiap negara di ASEAN semenjak 1979 sungguhpun bukan semua negara dalam ASEAN telah diwakili setiap tahun. Anugerah ini dicetuskan oleh pengurusan Hotel Oriental, Bangkok, diuruskan oleh Persatuan Penulis Thailand dan mendapat sokongan lanjut daripada Syarikat Penerbangan Antarabangsa Thai dan syarikat-syarikat lain. Barisan pemimpin PENA yang telah menerima SEA Write Award ialah Baha Zain (1980), Usman Awang (1982), Kemala (1986), Anwar Ridhwan (2002), Syed Mohd Zakir Syed Othman (2011), Malim Ghozali PK selaku Timbalan Pengerusi Tetap PENA (2013), dan Dr Shamsudin Othman (2020).

Dalam barisan jawatankuasa, PENA sentiasa dibarisi penulis yang terkenal di samping pegawai Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) DBP menjadi pusat pentadbiran PENA secara tidak langsung sebelum mendapat bantuan lojistik di pejabat lain hasil usaha Dato’ Ahmad Sebi. Memandangkan barisan pemimpin dan penerajunya terdiri daripada penulis yang penting tanah air, kegiatan kesusasteraan di Malaysia hampir seluruhnya dikuasai oleh PENA terutama program yang besar berimpak tinggi. Lebih penting daripada nama besar ialah kegigihan dan komitmen yang diberikan oleh barisan jawatankuasanya dalam menguruskan segala aktiviti PENA.

Seiring dengan perundingan dan penetapan jawatankuasa penaja PENA, majalah Mastika keluaran Mac 1961 melalui ruangan “Surat dari Pengarang” menulis suatu harapan yang holistik:

“Penubuhan persatuan penulis atau PENA di ibu kota Persekutuan baru-baru ini menampakkan suatu tanda dalam sikap para penulis kita untuk memadukan diri dan tenaga mereka dalam suatu persatuan penulis yang bersifat nasional. Sehingga ini cita-cita yang nyata pada usaha PENA ialah dalam soal penyatuan penulis-penulis seluruhnya dan memelihara serta memperjuangkan kepentingan-kepentingan yang bersangkutan dengan penulis-penulis.

Sebagai suatu persatuan yang besifat nasional maka PENA hendaknya memikirkan serta melaksanakan jalan-jalan serta cara-cara bagaimana sumbangan perseorangan penulis-penulis itu dapat dilakukan dengan lebih luas dan lebih efektif lagi melalui sebuah persatuan. Dan menurut hemat kita dalam jurusan inilah terletak beban berat yang dipikul oleh PENA.

Walaupun nampaknya anggota pimpinan PENA semuanya dari penulis-penulis yang tinggal di Kuala Lumpur namun hal ini ada baiknya mengingat soal-soal pelaksanaan rancangan dan mesyuarat-mesyuarat. Tetapi dalam pada itu janganlah pula dilupakan bahawa penulis-penulis kita berselerak di merata tempat dari Selat Tebrau hingga ke sempadan Siam mereka juga ingin dan harus diberi kesempatan untuk menyertai rancangan yang dianjurkan oleh PENA. Maka itu sebaik-baiknya PENA hendaklah seberapa boleh memikirkan rancangan-rancangan yang dapat disertai dan diikuti bukan saja oleh anggota-anggota dari satu kawasan tetapi juga meliputi semua penulis-penulis dalam semua kawasan. Sebab segala tindak-tanduk PENA hendaknya memberi kesan bukan hanya kepada penulis-penulis satu tempat tetapi meliputi seluruhnya dan tidak terbatas pada yang menjadi anggotanya tetapi juga kepada yang bukan anggota.

Dalam perjuangan PENA diharapkan bukan saja menitikberatkan kepentingan penulis-penulis tetapi juga selari dengan penggalakan dan dorongan sumbangan kepada masyarakatnya. Maka itu, sifat menerima haruslah disertai pula dengan sifat memberi supaya kedua-duanya seimbang dan wujudnya PENA menguntungkan kedua pihak−penulis dan masyarakat.”

Pandangan daripada media massa merupakan pandangan masyarakat kerana ketika itu majalah memainkan peranan penting sebagai “pemimpin pendapat awam” atau public opinion leader. Hal ini sejajar dengan kedudukan Mastika yang diterbitkan oleh Utusan Melayu yang merupakan tempat berkumpulnya penulis sasterawan. Hubungan antara media massa dengan kesusasteraan ibarat isi dengan kuku atau aur dengan tebing, yakni saling memerlukan satu sama lain.

Sumbangan dan Kegiatan PENA

Dalam dekad 60-an dengan berlandaskan semangat serta iltizam baharu, pelbagai ceramah, forum, dan usaha memperjuangkan hak kaum penulis telah dilaksanakan seperti soal hak milik penerbitan, hak cipta pengarang dan bayaran royalti serta honorarium. Draf perjanjian antara penulis dengan penerbit telah diwujudkan untuk menjadi panduan kepada penulis yang selama ini terdedah kepada layanan sesuka hati penerbit sahaja. Selain itu, memoranda tentang penggalakan penulisan serta pengiktirafan terhadap kaum penulis telah juga dikemukakan sehingga pihak kerajaan mengadakan hadiah peraduan mengarang novel dengan hadiah yang cukup lumayan pada waktu itu, yakni RM20,000 melalui Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka.

Bagi memperluas komunikasi dan pengucapan sastera, PENA telah menerbitkan majalah Penulis pada Januari 1964, April 1964, dan Ogos/Disember 1964 dengan harga setiap majalah hanya 75 sen. Majalah yang diisi oleh tulisan pengarang-pengarang Melayu dan bukan Melayu ini tidak berterusan, dan percubaan seterusnya tidak juga bertahan lama. Selain itu, PENA juga secara tidak langsung melalui aktivisnya telah melahirkan puisi protes yang keras melalui antologi Keranda 152 dan Telok Gong pada tahun 1967. Kedua-dua antologi puisi ini menterjemahkan aspirasi sasterawan yang bergerak dalam PENA terhadap sikap pemerintah yang mempermainkan kedudukan bahasa Melayu dan nasib peneroka tanah daripada kalangan orang Melayu.

Dalam dekad ini, antara penulis dengan pemimpin kerajaan terdapat banyak perbezaan pandangan terutama dalam isu bahasa sehingga terasa ada ketegangan perhubungan serta perbalahan ucapan antara kedua-dua pihak. Berpunca daripada ini, maka pada Ogos 1967 PENA mengambil inisiatif menggubal “Manifesto Penulis” sebagai menyatakan kebebasan berucap untuk kaum penulis bagi kepentingan masyarakat, dan keadilan manusia. Manifesto ini seolah-olah mengisytiharkan peranan PENA untuk menjadi jurubicara bagi pihak penulis yang berasa hak dan kebebasannya dipersoalkan.

Krisis 13 Mei 1969 telah membuka mata banyak pihak tentang perlunya perpaduan dan asas kebangsaan yang jelas demi kestabilan negara. Selepas peristiwa malang ini, maka antara intelektual dengan pemimpin politik wujud kebijaksanaan untuk saling mengisi. Tokoh-tokoh penulis dalam PENA memberikan fikiran dan gagasan penting kepada pihak kerajaan dalam rancangan-rancangan kebudayaan seperti penggalakan dan pengiktirafan sastera serta kebudayaan, dasar kebudayaan kebangsaan, dan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia sehingga wujud perhubungan simbiotik antara penulis dengan pemimpin.

Bagi menjadikan gerakan penulis bergerak lebih bersepadu serta berkesan bukan sahaja di ibu kota, malahan di peringkat nasional, PENA telah mengambil inisiatif membincangkan gagasan kerjasama antara badan penulis negeri pada 20 September 1969. Hasilnya, satu kenyataan yang ditandatangani bersama oleh Mohd Yusof Harun, Mohd Taib Osman, Usman Awang, Abu Bakar Hamid, dan Baharuddin Zainal telah dibuat untuk menggabungkan persatuan penulis tanah air. Pada 23 Oktober 1970 persidangan yang dihadiri oleh 13 persatuan penulis telah bersetuju agar GAPENA (Gabungan Persatuan-Persatuan Penulis Nasional) ditubuhkan, dan beberapa tokoh PENA seperti Ismail Hussein, Keris Mas, Ahmad Sebi Bakar, Saleh Daud dan Kemala menjadi ahli jawatankuasa yang pertama ini.

Dekad 70-an ini merupakan dekad yang sangat penting dalam perkembangan politik kenegaraan Malaysia di bawah Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Pada zaman inilah diwujudkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, Rukun Negara, penyeragaman ejaan Malaysia-Indonesia, penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar mulai di sekolah rendah, dan pengiktirafan terhadap kerja kreatif kesusasteraan. Oleh sebab ahli-ahli PENA itu terdiri daripada sasterawan penting, ilmuwan dan birokrat kerajaan, maka tidaklah susah bagi PENA untuk mengumpulkan idea bernas bagi diajukan kepada pihak atasan.

Dekad 80-an ialah dekad pembangunan setelah beberapa dasar ekonomi dan budaya telah diwujudkan bagi membanteras kemiskinan, menyusun semula ekonomi serta masyarakat, dan meletakkan asas bagi membina perpaduan serta jati diri bangsa. Dalam dekad ini perhubungan antara PENA dengan pihak kerajaan lebih produktif terutama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menjadi pusat pembinaan dan penerbitan bahasa dan sastera. Hampir setiap jawatankuasa PENA diduduki oleh pegawai-pegawai daripada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana antara PENA dengan DBP itu boleh dikatakan tidak pernah terputus perhubungannya. Malah pada peringkat awal kewujudan PENA, pejabat urus setia PENA itu ditempatkan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada tahun 1994 telah dianjurkan “Persidangan Penulis Se-Asia 1994” secara besar-besaran dengan membawa tema pokok “Peranan Penulis Dalam Peradaban Asia Masa Depan”. Nama-nama besar daripada golongan cendekiawan, pengarang dan politik Asia diundang untuk berucap dalam persidangan ini. PENA ketika itu, banyak terhutang budi daripada Ahmad Sebi Bakar kerana sumbangannya yang besar dari segi kewangan, pengurusan, dan pentadbiran Persatuan.

Salah satu usaha penting PENA dari segi pendidikan untuk membina keterampilan dan pengetahuan dalam lapangan penulisan ialah menubuhkan Akademi Penulis, sebuah pusat latihan sumber manusia. Akademi ini telah dilancarkan pada 3 Julai 1993 dan diberhentikan setelah beroperasi beberapa tahun disebabkan kesulitan pengurusannya. Satu pengajaran yang dikutip daripada peristiwa ini ialah betapa sukarnya untuk mengekalkan momentum pengurusan yang cekap dan stabil jika sasterawan tidak bekerjasama dengan tenaga birokrat yang berpengalaman. Aspirasi seniman yang tegar untuk membangunkan ilmu tidak mungkin terlaksana dengan jaya jika kesungguhan tidak diiringi pelbagai faktor sokongan yang wajib dalam pentadbiran.

Mulai tahun 1997 PENA diberi sebuah rumah kerajaan yang cukup besar di Jalan Dewan Bahasa. Setelah dibaiki dengan ihsan Presidennya, maka mulailah PENA beroperasi secara tetap di situ. Banyak sekali kegiatan penulisan, ceramah dan malahan latihan-latihan teater serta seni tampak berlangsung di Rumah PENA. Suatu program “Malam Baca Puisi PENA” telah berlangsung pada setiap malam Jumaat pertama setiap bulan sejak tahun 1998 sehingga kini.

Zaman kepemimpinan Dato’ Baharuddin Zainal atau Baha Zain memperlihatkan keterlibatan PENA sebagai penyuara aspirasi pejuang bahasa. Baha Zain yang memiliki ketegasan tanpa kompromi dalam soal kedaulatan bahasa kebangsaan sering menyampaikan pandangannya tentang pelecehan terhadap bahasa kebangsaan dalam pendidikan khususnya.

Tanpa mengikut kronologi perlu dicatatkan bahawa pada dekad 2000-an dengan pelbagai program berimpak tinggi apabila melibatkan penglibatan penulis seluruh negara. Di bawah kendalian Syed Mohd Zakir Syed Othman sebagai Penolong Setiausaha Agung dan kemudian Setiausaha Agung, PENA menganjurkan Dialog Pinggir dan Dialog Orang Muda yang diadakan di Rumah PENA secara berkala pada setiap bulan. Ketika itu kegiatan sastera di Kuala Lumpur sangat kurang; maka gerakan di rumah PENA menjadi tumpuan peminat sastera. Bagaimanapun, isu yang dibincangkan tidak hanya bertumpu kepada hal dan karya sastera malahan meliputi isu sosial, politik dan kebudayaan. Penulis muda khususnya terus diberi perhatian dengan penganjuran Borak Buku yang diadakan di kafe terpilih, atas usaha Muhammad Lutfi Ishak. Konsep Borak Buku ialah perbincangan santai tentang karya terpilih oleh seseorang yang ditentukan sambil khalayak mendengar dan bertukar pendapat. Saifullizan Yahaya juga pernah melaksanakan penganjuran Kata Pengarang Kata Pembaca (K-PAP) di Rumah PENA dengan konsep yang lebih serius. Lazimnya, pembicara terdiri daripada penulis karya yang dibicarakan di samping pembicara jemputan.

Program yang mengutamakan pembinaan penulis muda disemarakkan oleh PENA dengan penganjuran Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) pada 3-6 Jun 2005 di Pontian Johor. Program ini diteruskan dengan PPMN ke-2 di Ayer Keroh, Melaka pada tahun 2009, dan PPMN ke-3 di Kuala Lumpur pada tahun 2011 serentak dengan sambutan 50 tahun PENA. Penganjuran program berskala besar ini diuruskan oleh penulis muda yang bergabung dalam PENA. Antara penggeraknya ketika itu ialah Syed Mohd Zakir Syed Othman, Mohamad Saleeh Rahamad, Amiruddin Md. Ali Hanafiah, Luqman Hakim, Shamsudin Othman, Rahimidin Zahari, Ariff Mohamad, Muhammad Lutfi Ishak, Rebecca Ilham, Hani Salwah Yaakup, Nazmi Yaakob, Nasurry Ibrahim, Siti Jasmina Ibrahim, Ijamala MN, Ahmad Shukri Abdullah, dan lain-lain. Bantuan dan sokongan diterima daripada DBP, Kerajaan Negeri Johor, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, ASWARA, ITBM, Percetakan Nasional, Jabatan Perdana Menteri, Biro Tatanegara, dan beberapa pihak lain. Sempena PPMN dan sambutan 50 tahun itu lahir beberapa buku yang menghimpunkan makalah seminar dan karya kreatif, iaitu Antologi Karya Sasterawan 2005 (2005), Idealisme Penulis Muda (2005), Memartabatkan Persuratan Melayu (penerbitan DBP, 2006), Karya Sasterawan 2011 (2012), dan Takah Lima Puluh: Antologi Puisi Sempena 50 Tahun PENA (2012),

Selain itu, PENA bersama-sama DBP menganjurkan Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional di Port Dickson pada 4-6 Ogos 2006 dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). Kertas ucap utama telah dibentangkan oleh Awang Sariyan dengan judul “Persuratan dan Peradaban Nasional Abad ke-21: Gagasan dan Kerangka Strategi untuk Peradaban Melayu” dan Dr Mohd Yusof Othman denbgan judul “Persuratan dan Peradaban Nasional Penjana Sains dan Teknologi”. Sebanyak 25 makalah lain dibentangkan dalam seminar tersebut dengan pelbagai tema. Kesemua makalah itu telah diterbitkan dalam sebuah buku sempena seminar itu dengan judul Persuratan dan Peradaban dan Peradaban Nasional (2006).

PENA telah menerima suntikan baharu pada 16 Disember 2011 apabila Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan sumbangan RM1 juta kepada PENA bagi tujuan membaik pulih Rumah PENA. Pengumuman itu berlaku dalam semasa beliau merasmikan sambutan Ulang Tahun PENA ke-50 dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-3 di sebuah hotel di ibu kota. Turut diumumkan ialah pemberian dana penerbitan kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sebanyak RM5 juta dan perubahan nama serta fungsi ITNM kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Pada majlis itu juga Baha Zain telah dianugerahi gelaran “Tokoh PENA” sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam PENA. Anugerah ini merupakan pemberian julung kalinya diadakan.

Ekoran daripada perubahan dan sumbangan dana itu PENA bersama-sama ITBM yang diterajui oleh Mohd Khair Ngadiron telah berkolaboratif menyuburkan dunia penerbitan buku sastera di seluruh negara sejak tahun 2012. Bengkel penulisan dan penerbitan dijalankan di seluruh negara; sayembara penulisan novel, cerpen dan puisi dilancarkan dengan kerjasama Berita Harian; penulis muda diberi pendedahan keluar negara; dan penerbitan buku sastera disuburkan. Sekurang-kurangnya kehendak sebilangan penulis telah dapat dipenuhi, terutamanya bagi menampung kelompangan yang berakibat daripada masalah penerbitan pada pihak DBP ketika itu.

Bagi pihak PENA, bukan sahaja peristiwa itu telah menjadikannya sebuah persatuan penulis yang disandari harapan oleh penulis malahan dapat pula membaik pulih Rumah PENA yang telah uzur melalui peruntukan yang diumumkan. Hasil daripada dana yang disalurkan oleh Pejabat Perdana Menteri itu, Rumah PENA telah dibaik pulih di samping pembinaan sebuah dewan serba guna dan sebuah pentas persembahan yang dinamai Panggung Sutung Umar RS bagi menggantikan pentas lama yang sudah uzur. Nama Sutung Umar RS diambil bagi mengenang jasa beliau yang memulakan program Baca Puisi PENA secara bulanan.

Penglibatan PENA dalam pembangunan kesusasteraan ketika itu banyak bergantung pada jalinan kerjasama dengan ITBM. Mohd Khair Ngadiron yang menjadi Pengarah Urusan ITBM memiliki sikap dan kecenderungan untuk membantu penulis. Melalui dana RM5 juta daripada kerajaan, ITBM melaksanakan banyak program demi membangunkan potensi penulis mahupun dalam soal menyelesaikan masalah penulis ketika itu, terutama ketika penerbitan karya sastera tergalang oleh masalah tertentu. Sinergi antara PENA dengan ITBM dikonkritkan dengan sayembara penulisan anjuran ITBM-PENA-Berita Harian; bengkel penulisan dan pembinaan manuskrip yang diadakan di beberapa negeri; Baca Puisi PENA-ITBM-DBP; Sidang Kemuncak Penulis Nasional (SKPM) di Jitra, Kedah pada 24-26 Oktober 2014 dengan kerjasama Bina Darulaman, Institut Wasatiyah Malaysia, DBP, dan Perbadanan Kota Buku; dan pelbagai acara yang memberikan impak besar kepada kemajuan sastera tanah air. PENA juga terlibat bersama-sama ITBM dalam penganjuran Forum Penyair ASEAN pada tahun 2015, 2016 dan 2017 sempena Diversecity KLInternational Arts.

Semasa kerajaan ditadbir oleh Pakatan Harapan, PENA telah menjadi penganjur bersama bagi acara besar, Himpunan Penulis Malaysia pada 16 November 2018. Program yang dianjurkan Bersama-sama ITBM, DBP, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia itu diisi dengan acara seminar, forum, dialog dengan Menteri Pendidikan, dan Baca Puisi. PENA mengambil kesempatan daripada acara itu untuk menyampaikan memorandum yang menuntut perhatian daripada kerajaan tentang beberapa perkara.

SKPM ke-dua telah diadakan pada 10 April 2021 di rumah PENA yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Haji Annuar Musa serentak dengan penyampaian hadiah Sayembara Penulisan KLWBC. Program mendapat kerjasama daripada DBP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terutamanya atas jalinan kerjasama PENA dengan Sekretariat Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC) dalam penganjuran sayembara penulisan KLWBC.

Sayembara tersebut menghasilkan penerbitan enam buah karya pemenang utama, iaitu tiga buah kumpulan puisi dan tiga buah novel. Kumpulan puisi peemnang utama yang diterbitkan ialah Minotaur yang Bijaksana dalam Labirin Pulau Kami (Jasni Matlani, 2021), Dalam Mimpi Yang Bermimpi (Indra Jokina, 2021), dan Ratib Fakir dan Qasidah (Husna Nazri, 2021); tiga novel pemenang utama ialah Selarik Hikayat (Amer Hmzah L. Kadir, 2021), Menunggu Tuan Juragan yang Belum Pulang (Mahizan Husain, 2021), dan Kuala Lumpur di Sebalik Bulan (Hafizah Iszahanid, 2021).

Gabungan Persatuan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) telah mengisytiharkan 12 Julai pada setiap tahun sebagai Hari Puisi Kebangsaan, mengambil sempena tarikh lahir Sasterawan Negara Datuk Usman Awang pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor. Pelancarannya telah dilakukan pada 12 Julai 2022 di Rumah GAPENA, Kuala Lumpur oleh Dr. Tan Awang Besar, Setiusaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), mewakili Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha MOTAC.

Sehubungan dengan itu, sebagai badan gabungan GAPENA, PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia) turut menganjurkan acara sambutan bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 22 Julai 2022 dalam acara bulanan Baca Puisi PENA. Program itu menyaksikan penobatan Pyanhabib sebagai penerima Anugerah Tokoh Puisi Kuala Lumpur 2022 dengan gelaran Penyair Kuala Lumpur.

Selain program di dalam negara, PENA melaksanakan pelbagai program dengan kerjasama pihak di luar negara. Antara program di luar negara yang dilaksanakan oleh PENA ialah Dialog Serantau: Malaysia-Sumatera dengan kerjasama Fakultas Sastra Universitas Sumatera Utara (USU), Medan, pada 24-26 Ogos 2007. Seminar itu membincangkan pelbagai topik dalam bidang persuratan, bahasa, budaya, dan sejarah. Hasilnya ialah penerbitan buku himpunan makalah yang berjudul Dialog Serantau: Malaysia-Sumatera (2008).

Kerjasama dengan pihak universiti dan persatuan Penulis Thailand turut disemarakkan. Pada tahun 2008 PENA bekerjsama dengan Faculty of Liberal Arts, Prince of Songkhla University, Hatyai, menganjurkan seminar Culture, Language, and Literature dan telah menerbitkan sebuah buku himpunan makalah seminar berjudul Culture, Language, and Literature: Papers in Honour of Thailand-Malaysia Cooperation (2008).

Dengan kerjasama daripada Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya dan penajaan sebuah penerbit di India (Kalaignaan Pathipagam), PENA menjalin hubungan dengan golongan sasterawan di India, iaitu di Chennai (2015), Karaikudi (2017), dan Kerala (2020). Kunjungan ke tiga negeri tersebut diisi dengan seminar dan acara baca puisi selain penerbitan karya penulis Malaysia yang diterjemah dalam bahasa Tamil. Program yang dinamai Pertemuan Penulis Indoia-Malaysia (2015) dan Pertemuan Penyair India-ASEAN (2017 dan 2020) itu turut melibatkan penulis negara jiran, iaitu Indonesia dan Singapura.

SUMBANGAN PENA MEMERKASAKAN BAHASA DAN PERSURATAN

Selain pelbagai memoranda tentang hadiah sastera, PENA juga sejak awal usianya mengeluarkan memoranda tentang pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan; tentang Pengajian Melayu di Universiti Malaya, dan tentang percukaian serta royalti. Antara memoranda penting yang dikeluarkan oleh PENA:

  • Memorandum Barisan Bertindak Bosnia Mengenai Konflik Bosnia-Herzegovina (1993);
  • Memorandum Belanjawan 1995 dan Cadangan-cadangan Pena (1994);
  • Ke Arah Memupuk Masyarakat Beretika dan Bermoral Tinggi Diserapi dengan Budaya Penyayang (1996);
  • Memorandum 2000, Cadangan Mewujudkan Dana Terjemahan (2000);
  • Pendirian PENA Tentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains (2000);
  • Pandangan dan Cadangan Tentang Kesenian (2004);
  • Catatan tulus (oleh Presiden Baharuddin Zainal) tentang PPSMI untuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, 15 Mei 2009
  • Memorandum PENA memartabatkan bahasa Melayu (Persidangan Meja Bulat, Kementerian Pelajaran Malaysia, 27 April 2010);
  • Memorandum kepada Menteri Pendidikan sempena Himpunan Penulis Malaysia, 16 November 2018;
  • Kenyataan Media PENA tentang Isu PPSMI dan tulisan jawi (akhbar Sinar Harian, 18 Julai 2020);

Peristiwa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah semasa Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri telah mencetuskan gelora yang hebat di Malaysia. Pejuang bahasa telah menyusun pelbagai strategi untuk menghapuskan sistem pembelajaran yang meminggirkan bahasa Melayu itu. PENA juga turut sama mengambil tindakan sama ada secara kolaboratif dengan pihak-pihak lain mahupun secara bersendirian mengemukakan pandangan bertulisnya kepada pemerintah. Dalam soal memperjuangkan kedudukan Bahasa Kebangsaan, PENA telah mengeluarkan kenyataan tegas pada 12 Jun 2002 bagi menentang PPSMI.

Di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan apabila berlaku perubahan Kabinet yang melantik Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, PENA sekali lagi mengemukakan sejumlah cadangan bagi menyemarakkan kegiatan kesenian dan warisan di peringkat nasional dan antarabangsa.

PENA telah mengeluarkan kenyataan akhbar pada 20 Jun 2002, menentang keputusan kerajaan menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik. Dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) anjuran PENA pada tahun 2005 juga perkara ini dibangkitkan melalui Resolusi PPMN. Penentangan PENA ini dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap sejarah perjuangan kemerdekaan, Dasar Kebudayaan Negara, Perlembagaan Persekutuan, dan demokrasi pendidikan.

Pada 19 Mei 2009, dalam majlis pertemuan antara penulis dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, PENA yang diwakili Presidennya Dato’ Baharuddin Zainal dan Timbalannya, Mohamad Saleeh Rahamad telah menyampaikan satu memorandum kepada Tan Sri Muhyiddin. Memorandum itu menyampaikan pandangan PENA tentang PPSMI yang sudah berlarutan kira-kira enam tahun sejak pelaksanaannya. Dalam memorandum kepada TPM kali ini disampaikan pandangan secara berhemah yang antara lain berbunyi:

Tidaklah perlu dihuraikan di sini betapa dekatnya bahasa Melayu ini dengan hati orang Melayu dalam sejarah perjuangan kebangsaan sehingga Dewan Bahasa dan Pustaka itu sendiri ditubuhkan setahun lebih awal sebelum negara merdeka pada tahun 1957 dengan harapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi akan menjadi landasan pembinaan bangsa dan jati diri negara yang merdeka. Akan tetapi, lebih daripada itu, menjadi visi para pejuang agar bahasa kebangsaan kita menjadi wahana pembangunan fikiran yang saintifik dan pembentukan emosi serta rohani yang mulia dan patriotik dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan budaya. Kepada pemimpin UMNO terutamanya, diberikan kepercayaan besar untuk menjadi pemelihara atau custodian bagi kesejahteraan martabat dan kemajuan bahasa. Malangnya, setelah 47 tahun kita menikmati kemerdekaan dan mencapai kemajuan ekonomi serta kebendaan, bahasa itu dianggap tidak penting lagi dan dengan gopoh serta tergesa-gesa ditolak ke tepi dalam sistem pendidikan negara oleh kerajaan.

PENA menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia tidak memberikan alasan yang kuat, alasan yang meyakinkan di sebalik dasar PPSMI, dan malah dari waktu ke waktu mengeluarkan premis atau hujahan yang berubah-ubah. Semua itu menandakan tidak ada pemikiran yang mendalam, jelas dan teliti untuk menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik yang telah diamalkan sejak 1971, dan telah berjaya melahirkan jutaan graduan, profesional dan ilmuwan.

Sebenarnya PENA tidak menentang penggunaan dan pengajaran bahasa Inggeris bagi tujuan keilmuan, tetapi jangan sampai meminggirkan kedudukan dan fungsi penting bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan menghalang perkembangannya menjadi bahasa ilmu moden pada masa akan datang.

Dalam memorandum itu PENA meminta pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik dikembalikan serta-merta “sebelum berlaku lebih banyak lagi kesan buruk terhadap perkembangan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden dan pendidikan murid-murid, terutama anak-anak Melayu di luar bandar dan di pinggir-pinggir bandar”; dan memperkemas kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, meningkatkan kemahiran guru, dan membaiki kemudahan kepustakaan serta teknologi pendidikan bahasa di sekolah.

Antara memorandum menyeluruh sentuhannya ialah yang diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2012. PENA menyerahkan memorandum yang menyentuh soal pembentukan negara bangsa. Dalam memorandum itu PENA menegaskan bahawa pembinaan negara bangsa tidak hanya memerlukan pembangunan ekonomi dan kemajuan fizikal, tetapi yang lebih penting ialah pembangunan jati diri, semangat patriotisme dan nasionalisme.

PENA menyedari bahawa satu alat kebudayaan yang dapat merapatkan pelbagai kaum ialah bahasa. Sudah termeterai dalam Perlembagaan Persekutuan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, dan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan kedudukan bahasa Melayu tertegak kukuh. Oleh itu, PENA berpandangan, sebarang tuntutan untuk mengubah persefahaman yang bersifat undang-undang ini perlu ditanggapi sebagai usaha untuk memecahkan perpaduan yang sedang dibina, atau sebagai kaedah halus untuk menakluki seluruh sendi kehidupan di negara ini. Dengan leburnya bahasa Melayu atau terpinggirnya dalam sistem pendidikan akibat daripada tuntutan untuk melaksanakan sistem sekolah dua aliran, bangsa Melayu sebagai pemegang hak ke atas negara ini akan lebur dan terhakis.

Menyedari bahaya itu, PENA meminta jaminan dan ketegasan kerajaan untuk memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Penegasan ini perlu dilaksanakan dengan beberapa kaedah, iaitu menyegerakan pemansuhan PPSMI tanpa tunduk kepada desakan pihak yang mahukan PPSMI dikekalkan tanpa mengetepikan kepentingan bahasa Inggeris. PENA menegaskan sokongannya terhadap langkah memperkemas dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan oleh kerajaan ketika itu.

PENA juga menuntut supaya sistem persekolahan satu aliran (beraliran bahasa Melayu) dilaksanakan. Tuntutan ini berasaskan keyakinan bahawa kewujudan sekolah dua aliran akan menyebabkan bahasa Melayu terpinggir kerana masyarakat yang berkemampuan dan memegang tampuk ekonomi akan menggunakan sekolah beraliran Inggeris manakala masyarakat tidak berkemampuan kekal dengan keterpinggirannya di sekolah aliran Melayu. Akhirnya, bukan sahaja bahasa, malahan bangsa Melayu pun akan tenggelam dalam arus besar bahasa Inggeris yang mempunyai nilai ekonomi.

Memandangkan bahasa mempunyai kaitan yang rapat dengan kesusasteraan, dan perkembangan bahasa dapat dijanakan melalui karya kesusasteraan, subjek kesusasteraan Melayu dituntut supaya diperluas penawarannya di sekolah, sama ada di sekolah rendah mahupun menengah dan IPTA. Pada tempat yang munasabah, penggunaan karya sastera Melayu perlu diwajibkan. Dalam hubungan ini, kerajaan dituntut supaya menolak tuntutan pihak cauvinis bahawa hanya guru Cina boleh mengajarkan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina. Tuntutan tersebut dianggap cenderung bersifat perkauman dan bertujuan menghilangkan peranan guru Melayu di sekolah jenis itu.

Di samping itu, PENA menyarankan strategi jangka panjang, iaitu pemartabatan bahasa dan persuratan Melayu perlu disegandingkan kerana kedua-duanya berhubungan secara simbiotik. Oleh itu, perhatian wajar diberikan kepada penyuburan dan pemuliharaan korpus tentang bahasa dan persuratan Melayu. Bagi tujuan tersebut, kerajaan perlu meningkatkan taraf Pusat Dokumentasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi pusat dokumentasi rujukan terbesar di dunia untuk merumahkan korpus yang berikut:

i) Semua terbitan/karya lisan atau tulisan berbahasa Melayu yang terbit di Malaysia dan di dunia;

ii) Semua tulisan dalam bahasa asing yang membicarakan bahasa dan persuratan Melayu;

iii) Semua terjemahan terhadap tulisan dalam bahasa Melayu yang diterjemah dalam bahasa-bahasa asing. [BM termasuk Bahasa Melayu Brunei dan Bahasa Indonesia; Perpustakaan Nasional Jerman di Frankfurt dan Munich mengumpulkan semua khazanah dalam bahasa Jerman atau tentang Jerman.]

Seterusnya, Kerajaan diseru supaya menubuhkan Majlis Bahasa dan Persuratan Nasional sebagai badan kehormat tertinggi yang memberikan pandangan serta nasihat tentang arah perkembangan bahasa kebangsaan dan persuratannya. Anggota majlis ini bertanggungjawab memastikan kedudukan bahasa dan kesusasteraan kebangsaan sentiasa terpelihara dan tersebar dalam kalangan masyarakat berbilang kaum bagi tujuan meneguhkan ideologi perpaduan kebangsaan. Dalam majlis itu juga wajar ditubuhkan sebuah tribunal khas yang menjaga kebajikan sasterawan atau penulis memandangkan nasib mereka selama ini sering diperkotak-katikkan oleh penerbit kapitalis, terutama dalam soal hak cipta.

Secara praktis, Kerajaan juga diminta supaya memperuntukkan dana awal sekurang-kurangnya RM10 juta sebagai bantuan permulaan bagi menerbitkan jurnal ilmiah/saintifik dalam bahasa Melayu tentang sastera/kemanusiaan dan sains kemasyarakatan dua kali setahun yang anggota editorialnya terdiri daripada ilmuwan/akademik berwibawa dari dalam dan luar negara.

Dari semasa ke semasa PENA sering menyampaikan pandangan dalam media terhadap isu bahasa, persuratan, penerbitan, dan malahan isu sosial dan politik yang relevan dengan pembinaan negara bangsa. Prinsip PENA jelas, iaitu tidak terlibat dalam politik kepartian, dan semua pihak boleh bersuara di gelanggang PENA dengan keadaan yang terkawal dan bersantun, tetapi apabila tiba pada peringkat membuat ketetapan dan pendirian, PENA bertegas dengan Perlembagaan Persekutuan yang telah mendukung maruah bahasa, agama dan hak istimewa orang Melayu.

Penutup

Sepanjang sejarah hayat PENA begitu banyak aktiviti dan penyuaraan pandangan dalam bentuk memorandum, resolusi dan kenyataan media dikeluarkan bagi tujuan memelihara keutuhan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, kesusasteraan terus dimajukan, dan kebudayaan kebangsaan tidak diganggu-gugat oleh pemain politik perkauman. Bagaimanapun, pada kesempatan ini, tidak semua perkara itu dapat dimasukkan lantaran ruangannya yang terbatas. Walau bagaimanapun, dalam sejarah pembentukan negara bangsa di Malaysia, PENA masih menjadi pemain penting di pentas politik kebudayaan.