Politik Jangan Sampai Jadi Pemecah

UCAPAN PRESIDEN PENA, DR MOHAMAD SALEEH RAHAMAD DALAM MESYUARAT AGUNG PENA KE-59 DI RUMAH PENA PADA 3 DISEMBER 2022

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikumwarahmatullahhiwabarokatuh.

Yang Berbahagia Datuk Zainal Abidin Borhan, Presiden GAPENA

Yang Berusaha Dr Mohd Hanafi Ibrahim, Timbalan Presiden PENA

Yang dikasihi Barisan Ahli jawatankuasa PENA 2020/2022

Yang dimuliakan hadirin, ahli PENA yang sudi hadir dari seluruh negara ke Rumah PENA pada hari ini.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan kehadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya yang berterusan, memberi kita kesihatan, kewarasan, keamanan, dan kesempatan untuk bertemu dalam mesyuarat agung PENA ke-59 ini. Dalam kesibukan masing-masing atas kapasiti tersendiri, kita masih sempat mencuri masa di hujung tahun untuk menunaikan tanggungjawab mengadakan mesyuarat agung ini. Terima kasih setinggi-tingginya atas pengorbanan tuan puan.

Jika batang padi yang rebah,
Tegakkan tumang di ujung tanjung;
Jika datang `kan kami sembah,
Yang tak datang `kan kami junjung.

Kami pun sangat berbahagia menerima kedatangan semua ahli pada hari ini, dan oleh itulah berkali-kali kami sampaikan undangan dengan penuh pengharapan kerana kami percaya bahawa:

Limau purut dan limau manis,
Tumbuh sebatang di tepi rawa;
Kalau menjemput dengan manis,
Orang pun datang dengan tertawa.

Mesyuarat agung merupakan kewajipan organisasi yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Kegagalan mengadakan mesyuarat dalam tahun ini, dan seterusnya kegagalan menghantar laporan kepada Pendaftar Pertubuhan, akan menyebabkan tindakan pembatalan pertubuhan. Inilah antara punca beberapa persatuan penulis lain ditamatkan pendaftarannya. Oleh itu, mesyuarat agung adalah amat penting bagi memastikan persatuan terus hidup.

Dalam konteks ini, saya berterima kasih kepada barisan ahli jawatankuasa PENA yang telah melaksanakan tugas menyediakan laporan dengan baik dan menghantarnya kepada Pendaftar Pertubuhan. Biarpun tampak mudah, kerana kini semuanya dilakukan secara dalam talian, jika tidak diusahakan menurut tatacaranya, perkara itu akan terkandas juga.

Ribuan terima kasih kepada AJK yang telah menyediakan semua laporan untuk Pendaftar Pertubuhan dan penerbitan buku laporan tahunan yang cantik ini. Tidak ketinggalan juga terima kasih kepada semua AJK yang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai penggerak PENA.

Di samping itu, bagi pihak barisan Jawatankuasa PENA sesi 2020/2022, saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli PENA, juga kepada semua orang perseorangan yang bukan ahli PENA sekalipun, kerana selama ini sokongan mereka kepada akviti PENA telah memberikan semangat kepada kami untuk melaksanakan kerja yang sekadarnya.

Terima kasih juga kepada semua pihak yang sentiasa menyokong kami, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Alam Sekitar dan Air, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Menara Kuala Lumpur, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta pelbagai pihak lagi yang tidak pernah kami lupakan sumbangan mereka.

Sebagai badan bukan kerajaan yang tidak mempunyai dana tetap daripada mana-mana pihak, PENA sangat mengharapkan bantuan kewangan bagi menggerakkan program untuk pembangunan sahsiah, persuratan, budaya, dan intelektual.

Kekangan besar bagi persatuan ialah dana. Kita tidak lagi dapat mengharapkan tenaga sukarela secara total daripada orang perseorangan. Sekurang-kurangnya kos mereka perlu kita tanggung walaupun tenaga dan akal fikir mereka lazimnya disumbangkan secara percuma.

Hadirin yang dimuliakan,

Melaksanakan program yang besar melibatkan pelbagai pihak, termasuk penulis makalah yang sepatutnya kita hormati sumbangan intelektualiti mereka. Sumbangan mereka perlu dihargai dan dihormati dengan honorarium yang setimpal. Di samping itu, banyak lagi perbelanjaan diperlukan untuk memastikan program berjalan lancar. Tanpa dana, apakah yang dapat kita lakukan?

Oleh hal yang demikian, kami berharap pihak DBP kembali memikirkan kaedah penyaluran dana kepada semua persatuan penulis. Jika dahulu sumbangan dibuat terus kepada persatuan untuk diuruskan sendiri oleh persatuan, namun beberapa tahun kebelakangan ini dana tidak lagi sampai kepada akaun persatuan. Pihak DBP hanya menyalurkan sumbangan kepada pemakalah dan moderator secara terus.

Seyogia diingat bahawa sesuatu program bukan hanya melibatkan kos menanggung honorarium pemakalah dan moderator, bahkan lebih besar daripada itu. Sukar untuk dibayangkan, bagaimanakah masa depan persatuan penulis jika kaedah penyaluran dana ini tidak diubah.

Kami memohon ihsan agar bentuk sumbangan itu diperluas bagi pembiayaan aspek lain. Rasanya hal ini bukan suatu kemustahilan, dan setiap kendala pasti ada penyelesaiannya.

Kami memang sangat berterima kasih kepada DBP selama ini kerana menjadi induk semang kepada persatuan penulis bagi tujuan mereka menjalankan aktiviti persuratan dan kebahasaan. DBP jugalah yang dipertanggungjawabkan sebagai penyubur ladang sastera dan bahasa. Tidak ada agensi kerajaan seumpama DBP di negara-negara lain. Terlalu besar sumbangan DBP sejak penubuhannya pada 12 Jun 1956 sehingga kini. Malahan, rakan-rakan daripada negara tetangga juga mencemburui kewujudan DBP sebagai penaung akviti kesusasteraan, kebahasaan dan penerbitan di negara ini. Kita sangat menyayangi DBP, dan jika ada luka pada DBP pedihnya kita rasai juga.

Namun demikian, kasih sayang bukan bermakna kita tidak boleh memberikan pandangan demi kebaikan dan keindahan imej DBP itu sendiri. Setiap teguran yang beralasan perlu dianggap sebagai olesan bedak ke pipinya yang cantik, atau sapuan minyak angin ke tempatnya yang sakit.

Sehubungan dengan itu, kami sangat berharap agar DBP mengembalikan kejernihan yang wujud di kolam persaudaraan tempat berenangnya para penulis, bermain kocak-kocak air antara karyawan dengan Pengurusan DBP.

Satu daripada teguran yang sudah disampaikan oleh penulis adalah tentang kadar bayaran kepakaran dan hadiah penghargaan sastera yang sudah disusutkan nilainya tanpa sebab yang jelas. Pengurangan nilai hadiah dan kadar bayaran kepakaran bukanlah suatu kaedah yang manis, bahkan ini menjadi suatu bentuk penurunan darjat dan maruah mereka.

Persatuan penulis merupakan ejen pelaksana agenda DBP. Antara DBP dengan persatuan penulis ada hubungan yang erat bagi mewujudkan sinergi yang berkesan.

Tidak mungkin DBP melakukan semua perkara bagi merealisasikan agenda penubuhannya jika tidak diiringi kerjasama dengan persatuan penulis; dan tidak mungkin persatuan penulis dapat melaksanakan tugasnya mengembangkan bahasa dan sastera tanpa bantuan daripada DBP.

Kami sangat berharap hubungan kami dengan DBP semakin mantap, dan akhirnya kesan positif akan dinikmati oleh khalayak sastera. Jangan hendaknya ada perselisihan faham dan pergeseran wujud antara kita, kerana jika demikianlah yang berlaku, nescaya sedihlah kami seluruh umat sastera, iaitu kesedihan yang meremuk-redamkan perasaan kami seperti pantun ini:

Bagai diandam daun di dahan,
Ditiup angin bunyi berdesir;
Rindu dendam tidak tertahan,
Nasi dingin terasa pasir.

Tuan puan yang budiman,

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini politik Malaysia sedang bergolak dengan pelbagai rentak silat dan tari politikus hingga mengakibatkan perpecahan berlaku dalam kalangan rakyat marhaen. Maka wujudlah situasi berpuak-puak dan saling menyindir atara satu sama lain hingga iklim persaudaraan sesama kita sentiasa panas berapi atau sejuk membeku.

Namun begitu, akhirnya para politikus melakukan pusingan U, lalu rakyat pengikut ini ternganga dan menepuk dahi. Begitulah permainan siasah: kawan tidak selama-lamanya kawan; musuh tidak kekal abadi. Dalam politik, lubuk boleh menjadi pantai; pantai boleh menjadi lubuk.

Atas suasana begitu, para penulis, sasterawan, dan budayawan perlu mengambil sikap yang lebih murni, tidak terikut-ikut dengan rentak tari politikus. Golongan seniman tidak boleh mengikut rentak orang politik kerana sifat dan budaya politik adalah berbeza. Jika kita terlalu mengikut cara mereka, kemungkinan besar usaha kita tidak akan mendatangkan natijah yang baik, seperti kata orang tua-tua: “tuba binasa ikan tak dapat”. Jangan sampai kita seumpama bidalan ini: “berketak di luar sangkar; bertanam di luar pagar”.

Silakan mememilih wadah perjuangan masing-masing dengan parti yang dipercayai, tetapi dalam masa yang sama kekalkan prinsip bahawa perjuangan asasi kita bukanlah mengangkat ketaasuban kepada pemimpin dan parti, sebaliknya kita memperjuangkan kebenaran, persahabatan, dan akhirnya matlamat kita ialah membina negara bangsa yang waras.

PENA sentiasa mengambil sikap nonpartisan, yakni tidak memihak kepada parti politik tetapi menumpukan perhatian kepada agenda peneguhan negara bangsa menerusi tiang-tiang ideologi yang menyangga Perlembagaan Persekutuan.

Kini kerajaan sudah menyenaraikan menteri Kabinet yang merangkumi pihak yang bertentangan. Tahniah kita ucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-10. Beliau juga sudah mengumumkan barisan menteri Kabinetnya. Kita berharap mereka akan bertindak saling melengkapi, bukannya saling menikam selagi ada kesempatan.

Tampak bahawa dalam barisan Kabinet tiada kelihatan kementerian yang menjaga hal ehwal budaya seperti sebelum ini. Rakan-rakan sudah menyuarakan kebimbangan tentang nasib sasterawan, seniman, dan bahasawan. Namun begitu, saya percaya Perdana Menteri mempunyai caranya sendiri untuk menangani perkara ini kerana beliau sangat rapat dengan budayawan dan sasterawan. Tunggulah pengumuman beliau tentang penaung golongan budayawan seperti kita semua.

Semoga selepas ini PENA akan diberi hak milik tanah yang menempatkan Rumah PENA sekarang. Rumah PENA ini diserahkan untuk kegunaan PENA oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri semasa beliau berada dalam Kabinet. Saya yakin ingatan sentimental beliau terhadap PENA masih berbekas.

Sehubungan dengan hal Rumah PENA ini, sukacita dimaklumkan bahawa kini PENA tidak lagi perlu membayar sewa atas penggunaan rumah ini. Untuk makluman, pada bulan Mei 2022 lepas PENA telah menerima notis daripada Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya agar PENA membayar sewa bulanan sebanyak RM3,550.00. Kami sudah melakukan pembayaran kerana bimbang akan dihalau keluar.

Namun begitu, dalam masa yang sama kami berusaha memohon pengecualian dengan bantuan sokongan Pegawai Khas Perdana Menteri ketika itu, Dr. Kamarulzaman Yusoff. Alhamdulillah, permohonan PENA telah diluluskan, dan kini sewa itu tidak lagi perlu dibayar, malahan bayaran yang sudah dilunasi boleh dituntut semula.

Itulah resam yang perlu kita fahami. Dengan pemerintah kita tidak boleh berkelahi kerana kata bidalan, “sebab berkelahi dengan perigi akhirnya mati dahaga”. Perhubungan baik dengan pemerintah tidak bermakna kita takut untuk menegur tindakan mereka yang tidak betul, tetapi caranya mestilah berhemah dan tidak menimbulkan ketegangan. Pesan orang tua, seperti pasir di tepi pantai, tatkala timpas air bolehlah dibahagi.

Ahli PENA yang dikasihi,

Permainan ahli politik sering menimbulkan keresahan kita. Contohnya, kelenturan sikap pemimpin politik daripada pelbagai parti terhadap tuntutan Dong Zong bagi mengabsahkan Sijil Peperiksaan Bersama atau Unified Education Certificate (UEC) sebelum ini sangat membimbangkan. Dong Zong atau Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) telah meneruskan perjuangannya memohon pengiktirafan UEC yang dilaksanakan di semua Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi medan terbaik untuk mereka menuntut kerajaan memenuhi tuntutan mereka. Dalam laporan akhbar (Berita Harian, 29 November 2022) Dong Zong menyatakan, selepas pembentukan kerajaan baharu, “Malangnya, isu pengiktirafan UEC pula diperbesarkan dan digembar-gemburkan secara berlebihan dengan cubaan untuk mencetuskan konflik sosial dan mewujudkan permusuhan dan persengketaan.

“Tidak kira mana-mana parti politik yang menjadi kerajaan, pendirian Dong Zong selama ini adalah untuk membantu negara kita dalam pembangunan modal insan dan bertegas untuk membincangkan isu pengiktirafan UEC secara akademik serta profesional,” katanya.

Kenyataan itu ternyata berat sebelah, iaitu dengan menyalahkan penentang UEC sebagai melakukan cubaan “untuk mencetuskan konflik sosial dan mewujudkan permusuhan dan persengketaan.”

Sebenarnya yang mencetuskan konflik ialah mereka sendiri kerana tuntutan mereka itu menafikan sistem Pendidikan kebangsaan yang sedia ada. Negara ini mempunyai Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan Kebangsaan yang dirangka dengan tujuan meneguhkan pembinaan negara bangsa. Oleh itu, tentulah aneh jika sijil yang dikeluarkan oleh pihak swasta diiktiraf sedangkan kita mempunyai sistem pendidikan kebangsaan tersendiri. Pengiktirafan UEC itu bertujuan membuka peluang kepada lulusan UEC tanpa kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memasuki sektor awam dan universiti awam.

Jika hal ini dibenarkan maka kita sendirilah yang bertanggungjawab membenamkan sistem pendidikan rasmi yang kita rangka sendiri. Berhati-hatilah kita semua semasa membuat keputusan dan perancangan agar tidak terlalai dan akhirnya terjerumus di lembah kekecewaan. Ingatlah akan pantun ini:

Tanam pisang di atas kubur,
Tanam bayam jauh ke tepi;
Walaupun musang sedang tidur,
Mengira ayam di dalam mimpi.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh melarang pihak Dong Zong (yang turut didukung oleh parti politik berasaskan kaum) membuat tuntutan bagi kepentingan kaum dan perniagaan mereka, tetapi yang menjadi masalah ialah sekiranya pihak kerajaan sudi memenuhi tuntutan mereka.

Kita sepatutnya berasa gusar menyaksikan rentak silat ahli politik Melayu yang berjanji dalam manifesto mereka untuk memenuhi tuntutan pengiktirafan UEC.

Sikap sedemikian jelas bertujuan meraih sokongan undi dalam pilihan raya yang bersifat sementara tetapi kesan buruknya akan ditanggung selama-lamanya.

Hasrat negara yang kononnya mahu membina sebuah negara bangsa berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pelajaran Kebangsaan akan tercemar disebabkan oleh kerakusan politikus sedemikian.

Puan dan tuan yang terhormat,

Pendidikan merupakan sarana utama dalam agenda pembentukan negara bangsa, dan sepatutnya politik menjadi penyangga yang kuat untuk melaksanakan agenda itu lantaran punca kuasa berada di tangan peneraju politik. Kepada merekalah kita berharap agar agenda yang telah direncanakan berlangsung dengan harmoni, bukannya mereka pula bertindak merosakkannya. Kementerian yang memikul tanggungjawab pendidikan wajar tekal dalam perancangan yang bertujuan memulihkan kerancuan kefahaman ini.

Dalam era media sosial yang sangat berkuasa kini jelas kelihatan sistem pendidikan kita masih gagal membina masyarakat yang diingini. Rangsangan untuk mewujudkan perpecahan antara kaum semakin kuat membaham pemikiran generasi muda. Baru-baru ini muncul video Tik Tok yang bertujuan menyambung sejarah 13 Mei dengan kandungan yang bersifat provokatif. Itu baru satu kes yang terbaharu sedangkan sebelum ini banyak lagi hantaran video yang berbaur perkauman dipaparkan dalam media sosial.

Pengaruhnya bukan kecil, terutama kepada golongan muda yang belum mencapai tahap kematangan berfikir, malahan berupaya membakar sentimen perkauman, terutama dalam kalangan warga yang kurang kesedaran tentang makna perpaduan.

Setelah 65 tahun Merdeka, sepatutnya negara sudah dapat meredakan konflik itu, sekurang-kurangnya dengan penegasan rasmi daripada pemegang punca kuasa dalam hal ehwal Pendidikan. Silibus Pendidikan mesti tegas mengorak langkah ke arah perpaduan nasional, bukannya berundur.

Sebelum ini sudah diperkenalkan subjek wajib Hubungan Etnik kepada semua pelajar IPT sama ada awam atau swasta daripada pelbagai peringkat pengajian.

Dalam buku garis panduan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2016, dinyatakan bahawa “Kursus ini membincangkan konsep asas, latar belakang dan realiti sosial masa kini hubungan etnik di Malaysia daripada perspektif kesepaduan sosial. Tujuan kursus ini ialah memberikan kesedaran dan penghayatan dalam mengurus kepelbagaian ke arah pengukuhan negara bangsa. Pengajaran dan pembelajaran akan dilaksanakan dalam bentuk pembelajaran berasaskan pengalaman melalui aktiviti individu, berpasukan dan semangat kesukarelaan. Pada akhir kursus ini, pelajar diharapkan dapat mengamalkan nilai-nilai murni, mempunyai jati diri kebangsaan, dan menerima kepelbagaian sosiobudaya etnik di Malaysia.” (Jabatan Pengajian Tinggi, 2016).

Cantik dan murni falsafahnya, tetapi malangnya subjek itu kemudian dihapuskan. Sudahlah kita gagal membentuk peribadi nasional di peringkat sekolah, di universiti usaha itu terbantut pula disebabkan perubahan pucuk pimpinan negara.

Selain itu, satu lagi subjek telah ditamatkan pengajarannya di universiti, iaitu Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara (TITAS). Kandungan subjek ini sekurang-kurangnya dapat merapatkan jurang kejahilan maklumat antara kaum dan penganut agama.

Konflik lazimnya berlaku disebabkan kejahilan memahami pihak lain, lalu masing-masing akan membuat tanggapan berasaskan pemahaman sendiri yang penuh dengan sentimen etnosentrik.

Oleh hal yang demikian, kita wajar meminta kerajaan melalui kementerian yang bertanggungjawab agar mengembalikan subjek itu semula walaupun dengan jenama yang lain.

Hadirin yang terhormat,

Sebagai sebuah persatuan penulis yang memiliki legasi perjuangannya, hal yang dinyatakan itu memang menjadi urusan dasarnya. Kita mahu memastikan generasi yang akan membina negara ini terasuh oleh disiplin yang menjurus kepada perpaduan nasional.

Hakikat negara bangsa ialah menjunjung satu identiti yang dihormati walaupun dalam masa yang sama tidak ada halangan untuk setiap kaum mengamalkan budaya masing-masing.

Negara kita yang mempunyai rakyat pelbagai kaum berdepan dengan cabaran besar untuk mewujudkan perpaduan dan persamaan aspirasi, apatah lagi tiada mekanisme yang ampuh dapat dilaksanakan tanpa gangguan daripada demagogue politik.

Ragam politik di negara ini, “sekali air pasang, pasir pun turut berubah”; bertukar pucuk pimpinan akan berlaku perubahan dalam banyak sektor, termasuk pendidikan.

Inilah yang kadang-kadang mengganggu proses pembinaan negara. Jika perubahan itu ke arah yang lebih baik tidak mengapa, tetapi lazimnya hanya untuk mementingkan pendirian parti.

Tuan dan puan yang dikasihi,

Dalam pergulatan politik yang rencam akhir-akhir ini, kita dalam dunia persuratan dan perbukuan tidak perlu terjebak sama. Kita perlu terus membina persuratan dengan memperluas khalayak agar pasaran buku menjadi besar dan lebih ramai penulis lahir.

Dunia kita yang kecil ini memiliki satu ekosistem yang memerlukan kerjasama dan kesatuan agar lahan yang kita kerjakan sentiasa subur dengan pohon rimbun berzat.

Perkembangan mutakhir memperlihatkan kemajuan yang memberangsangkan apabila industri buku sudah kembali membesar selepas dijumudkan sebentar oleh pandemik COVID-19.

Bukan sahaja bilangan penulis bertambah, bilangan pembaca juga sedang berkembang, dan dengan sendirinya industri perbukuan sudah menjadi komoditi di negara ini. Pesta buku yang dianjurkan saban waktu di pelbagai negeri selepas berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tempoh hari berjalan seiring dengan kaedah pemasaran buku melalui dalam talian.

Rata-rata peniaga buku sudah boleh tersenyum lebar pada setiap kali mereka menyertai pesta buku. Semoga perkembangan ini tidak dijumudkan oleh sengketa baharu dan ancaman baharu.

Secara peribadi, saya ingin menyatakan penghargaan saya kepada orang penting dalam industri perbukuan walaupun beliau sendiri tidak memiliki syarikat penerbitan yang besar, iaitu Mohd Khair Ngadiron. Di tangan beliau, pasir menjadi permata, debu menjadi udang, daun menjadi ikan.

Sekarang Pesta Buku Antarabangsa Selangor sedang berlangsung dengan meriahnya. Peminat buku sudah menyifatkan pesta buku sebagai satu perayaan yang mesti dikunjungi jika tidak mahu ketinggalan.

Banyak orang boleh melakukan kerja tetapi tidak banyak yang dapat mengepalai satu gerombolan tenaga pakar dengan jayanya. Perhatikan pantun yang seiring dengan mauduk ini:

Banyak orang pandai berkitab,
Sedikit saja pandai bersyair;
Banyak orang pandai bercakap,
Sedikit saja pandai berfikir.

Untuk itu, tahniah kepada Sdr Mohd Khair Ngadiron kerana mengembalikan keceriaan dalam kalangan pemain industri buku.

Hadirin yang terhormat,

Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) sudah selesai, dan keputusan tentang peneraju negara juga sudah dibuat. Kami faham bahawa dalam kalangan ahli PENA ada pelbagai aliran dan pegangan politik. Kami meraikan semuanya kerana kebebasan berfikir menjadi teras perhubungan kita semua.

Oleh itu, besarlah harapan saya agar perbezaan pegangan itu tidak akan menyebabkan hubungan sesama kita renggang. Untuk mengelakkan sengketa dalaman itu, eloklah kita tidak cuba mempengaruhi kawan-kawan supaya menerima pendirian dan pandangan kita, sebaliknya izinkan perbezaan pendapat berlangsung tanpa prasangka. Jika ada yang terluka hati, segeralah sedar bahawa kawan kita juga ada yang terluka. Maka marilah lagi saling memaafkan, dan teruslah berkasih sayang tanpa curiga-mencurigai.

Patah kecil kita tampunkan,
Patah besar kita tumbangkan;
Salah kecil kita ampunkan,
Salah besar kita timbangkan.

Yang perahu beruang timba,
Yang sauh tambang terpaut;
Yang berbau buang ke rimba,
Yang keruh buang ke laut.

Hadirin sekalian,

Saya memohon maaf bagi pihak diri sendiri atas kekurangan dan kesilapan saya semasa menerajui barisan Jawatankuasa PENA sesi 2020/2022. Semua kelemahan itu sayalah yang patut menanggungnya sendiri.Dalam pemilihan jawatankuasa baharu pada hari ini gunakanlah pertimbangan yang saksama semasa membuat pemilihan agar barisan jawatankuasa PENA sesi 2022/2024 akan dapat berfungsi dengan baik dan berpadu kuat.

Saya merakamkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada barisan jawatankuasa PENA yang telah memberikan kerjasama dan sumbangan dalam menghidupkan PENA.

Saya memahami kesibukan mereka, dan oleh itu, fahamlah saya jika ada yang tidak sempat memberikan sumbangan tenaga. Semoga barisan yang baharu nanti bersatu hati menggerakkan persatuan. Jika ada kata-kata saya yang tidak sedap, anggaplah itu gurauan sahaja kerana saya tidak berniat untuk menghiris hati sesiapa.

Hendak ke pulau ke pulau saja,
Ke pulau jangan berdagang ubi;
Hendak bergurau bergurau saja,
Gurau jangan mengambil hati.

Sekian terima kasih.

Wabillahitaufikwalhidayah, Assalamualaikumwarahmatullahiwabarokatuh.