Perjuangan Memartabatkan Bangsa

Teks Ucapan Presiden PENA ketika Mesyuarat Agung Tahunan PENA ke-49 pada 11 November 2012, bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wrt.

Alhamdulillah, mari kita persembahkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan kita bertemu pada hari ini untuk menunaikan satu lagi amanah yang sangat besar, yakni mengadakan mesyuarat agung PENA kali ke-49. Semoga pertemuan kita ini akan memperoleh keberkatan dan rahmat-Nya.

Marilah kita berdoa agar pertemuan kita dapat menyuburkan rimbunan silaturrahim antara kita yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, pengalaman, dan generasi. Di samping itu, hendaknya perbincangan kita nanti akan membuahkan hasil yang terbaik.

Saya bagi pihak PENA mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Haji Awang Sariyan kerana sudi merasmikan mesyuarat PENA pada kali ini. PENA juga mengucapkan terima kasih kepada DBP yang sudi meminjamkan ruang yang sangat selesa serta kelengkapan dan jamuan yang hebat untuk tempat kami menjalankan majlis ini. Ini suatu bentuk kerjasama yang luar biasa antara DBP dengan PENA.

Sebenarnya jamuan ini adalah untuk acara forum yang diisi dengan ceramah oleh mantan Ketua Satu PENA, Dato’ Mohd. Noor Azam. Walaupun acara itu disebut sebagai forum, pelaksanaannya tidaklah seperti forum yang biasa kerana kami hanya menampilkan seorang tokoh untuk bercakap. Namun begitu, pemilihan seorang tokoh ini rasanya sudah memadai kerana kita akan mendapat peluang yang lebih banyak untuk berinteraksi dengan beliau. Dengan kata lain, forum ini adalah dalam bentuk yang lebih luas, yakni antara seorang tokoh dengan khalayak pendengar.

PENA mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Mohd Noor Azam kerana sudi menyambut undangan kami.

Kredit foto: Ramlee Wahab

Hadirin yang dikasihi,

Walaupun tempat bermesyuarat kita pada kali ini indah dan sempurna peralatannya, tempat ini masih rumah orang, dan kita hanya menumpang. Penumpangan kita pada kali ini disebabkan Rumah PENA sedang dalam pembaikan. Kami sudah memulakan projek pembaikan bangunan itu dengan dana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak semasa majlis Ulang tahun ke-50 PENA pada 16 Disember 2011. Sama-samalah kita berdoa agar pembaikan itu benar-benar menjadikannya lebih baik dan pembesaran ruangnya benar-benar menjadikannya besar.

Insya-Allah, setelah siap nanti rumah itu akan mempunyai bilik yang diperlukan bagi beberapa kegunaan, ruang dewan yang lebih mesra pengguna, dan pentas persembahan yang lebih baik. Namun begitu, selagi belum siap saya tidak berani menjanjikan apa-apa. Jika ada yang tidak menyenangkan hati ahli PENA nanti, saya bagi pihak Jawatankuasa PENA sesi 2010-2012 dan AJK Pembinaan bermohon ampun dan maaf. Mungkin selepas ini, jika berlaku pucuk pimpinan dalam PENA, akan berubah pula cara pengurusannya, tetapi kesilapan yang lepas tentulah kami yang menanggungnya.

Sehubungan dengan itu, suka saya maklumkan bahawa dana pembinaan sejumlah RM1 juta daripada Perdana Menteri itu tidak kami minta dan tidak kami sangka tibanya. Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di luar teks ucapan bertulisnya, dengan maksud beliau membuat keputusan pada masa itu juga.

Namun begitu, tentulah ada penyebabnya yang mendorong beliau membuat keputusan itu. Saya yakin bahawa kerjasama seluruh AJK PENA, Biro Penulis Muda PENA yang diterajui oleh Muhmmad Lutfi Ishak yang menjayakan Perhimpunan Penulis Muda pada waktu itu telah memungkinkan perkara ini berlaku dengan izin Allah SWT.

Begitupun, tidak saya lupai, pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini ialah Pengarah Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Encik Mohd. Khair Ngadiron. Beliaulah yang memungkin majlis Sambutan 50 Tahun PENA dihadiri oleh Perdana Menteri, termasuk menaja kos majlis tersebut.

Selepas majlis sambutan 50 tahun PENA itu kerjasama ITBM dengan PENA semakin erat apabila dana RM5 juta yang diberikan kepada ITBM untuk tujuan penerbitan buku turut melibatkan PENA sebagai penggerak projek mencari manuskrip, membimbing penulis dan memungkinkan ramai penulis mendapat mendapat manfaatnya.

Selanjutnya, gabungan kerjasama ITBM, DBP dan PENA telah melaksanakan projek jelajah Malaysia untuk menyebarkan maklumat tentang penerbitan buku. Di samping taklimat penerbitan, kami juga mengadakan bengkel atau ceramah penulisan dengan mengundang penulis tersohor tanah air sebagai pembimbing. Sehingga kini sudah tujuh kali bengkel taklimat diadakan, bermula di Sabah, diikuti Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Kelantan, dan dua kali di Kuala Lumpur. Bengkel penerbitan itu bermula di Rumah PENA, Kuala Lumpu dan berakhir di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Di samping itu, bagi mendapatkan manuskrip yang baik, PENA bersama-sama ITBM dan Berita Harian telah menganjurkan sayembara penulisan novel, cerpen dan puisi bagi penulis yang berusia 45 tahun ke bawah dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM130,000 yang akan berakhir pada 31 januari 2013.

Kerjasama tiga pihak ini merupakan usaha sinergi yang sengaja dirancang. Kami percaya, untuk menyemarakkan dunia sastera dan penerbitan, kita tidak boleh bergerak sendirian. Tanpa promosi yang meluas, maka usaha keras mencari manuskrip, melatih penulis, dan menerbitkan buku yang cantik pun tidak akan memberikan pulangan yang optimum. Promosilah yang akan mendedahkan kerja keras kita itu kepada masyarakat dan kemudian barulah produk itu akan dapat dijual secara meluas.

Hadirin yang dihormati,

PENA telah melepasi separuh abad dan kini memasuki separuh kedua abad penubuhannya. Saban bulan keahliannya bertambah. Kami percaya, pertambahan keahlian itu didorong oleh rasa percaya mereka pada PENA sebagai sebuah pertubuhan yang berwibawa. Tentu sahaja kepercayaan itu diiringi harapan agar PENA membela nasib penulis, menyemarakkan dunia persuratan, penerbitan serta penulisan, dan menjadi pembela kedaulatan bahasa dan sastera Melayu.

Harapan bukan sahaja datang daripada PENA, malahan daripada pihak lain yang mahu PENA sentiasa bersuara dan bertindak bagi membela kedudukan bahasa dan persuratan tanah air. Malahan tidak kurang juga media massa meminta pandangan daripada PENA untuk memberikan reaksi kepada segala bentuk isu, tidak sahaja berkenaan isu bahasa dan sastera.

Walaupun itu satu perkembangan yang menarik, tidaklah pula ini bermakna kami dapat berasa senang hati. Malahan kepercayaan yang meningkat itu menambahkan rasa bimbang kami sekiranya gagal memenuhi aspirasi ahli dan masyarakat.

Bercakap dari luar dan meminta tidak sesukar orang yang diminta melakukannya. Namun begitu, kami tetap berterima kasih kepada semua pihak yang bersuara meminta PENA bertindak dalam pelbagai perkara. Itu merupakan penghormatan yang besar pada PENA. Oleh itu, kami faham, apabila kami gagal menunaikan harapan mereka tentulah penghormatan itu dengan sendirinya lebur.

Hadirin yang terhormat,

Selepas satu penggal menerajui PENA, saya lebih memahami kesukaran untuk memimpin sebuah pertubuhan yang bersifat nasional ini. Era sekarang bukan lagi masa untuk kita bernostalgia dengan kejayaan masa lalu, atau berasa ghairah untuk menonjolkan imej. Era sekarang memerlukan tindakan yang praktis, malah pragmatik.

Bagi melaksanakan tanggungjawab, kerjasama semua pihak sangat diperlukan. Pemimpin tidak bermakna apa-apa jika rakan-rakan tidak membantu. Sehingga kini saya bertuah kerana ditemani rakan-rakan yang gigih bekerja melaksanakan projek demi projek dalam PENA. Bukan sahaja melaksanakan projek, malahan melaksanakannya secara tekal lebih payah, tetapi itulah yang telah dilakukan oleh teman dalam PENA.

Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh AJK PENA dan ahli-ahli PENA yang telah mengorbankan tenaga dan masa mereka. Biro Penulis Muda yang diterajui oleh Sdr. Muhammad Lutfi Ishak, telah menjalankan program bulanan Dialog Orang Muda dan Borak Buku; Sdr Azalan Hussain bersama kumpulannya Sindiket Soljah juga dengan program bulanannya; SM Zakir dengan acara Baca Puisi PENA setiap bulan, wajar diberi pujian. Tanpa kegigihan mereka, ketekalan program itu tidak akan dapat dipertahankan.

Di samping itu, AJK PENA yang lain juga telah menunjukkan iltizam yang tinggi dengan kapasiti masing-masing. Dan ahli PENA dari seluruh negara juga sentiasa menyokong aktiviti PENA.

Selain itu, pihak di luar PENA juga sangat berbakti kepada kami seperti ITBM, DBP, serta media massa seperti RTM, Berita Harian, Astro, TV Hijrah, Utusan Malaysia, malahan Malaysiakini tidak ketinggalan menyediakan ruang kepada PENA. Bantuan kewangan dan sokongan teknikal daripada ITBM dan DBP benar-benar menghidupkan PENA manakala promosi yang dilakukan oleh media massa pula telah menghidupkan PENA di mata masyarakat.

Secara peribadi, saya berterima kasih kepada semua pihak tersebut. Semangat saya terletak pada kesetiaan mereka bekerja dalam PENA. Tanpa mereka, PENA tidak bermakna apa-apa. Tetapi, segala kelemahan dan kesilapan PENA bukan pula disebabkan oleh mereka, bahkan sayalah yang memikul kesalahannya.

Hadirin yang budiman,

Mesyuarat kali ini akan memilih AJK baharu PENA bagi penggal 2012/2014. Pilihan di tangan tuan-tuan dan puan-puan. Terpulanglah kepada semua ahli PENA untuk membuat pilihan.

Kalau boleh saya berkata sedikit, jika tuan puan telah memilih AJK baharu nanti, bantulah mereka dengan segala daya. Janganlah dibiarkan mereka bekerja sendirian. Apalah yang dapat dilakukan oleh tenaga yang terbatas tanpa bantuan dan sokongan moral daripada ahlinya yang ramai.

PENA memerlukan sokongan dan bantuan yang penuh untuk berdiri menjadi sebuah pertubuhan yang berwibawa. Dengan gelombang yang besar sahajalah suaranya akan didengari.

Kini, tugas dan tanggungjawab PENA lebih mencabar. Bukan sahaja tugasnya untuk membantu penulis mengembangkan bakat, menerbitkan buku, atau sebarang keperluan yang sangat mekanikal sifatnya, malahan PENA perlu sentiasa menjadi pemerhati, penegur dan pemberi cadangan, atau jika perlu, menjadi pendesak dan penentang demi memastikan kedudukan bahasa dan persuratan Melayu mendapat kedudukan yang sewajarnya di negara ini.

Dalam sistem pendidikan misalnya, PENA telah dan mesti terus memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, dan kesusasteraan kebangsaan, yakni kesusasteraan Melayu, dikekalkan, diperkukuh dan dimartabatkan.

Sudah berkali-kali PENA bertegas dalam perkara ini, baik dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) mahupun dalam kurikulum sastera di sekolah dan pengajian tinggi. Dalam hubungan ini, PENA menyokong agenda Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia) dan Memperkukuh Bahasa Inggeris. (Seyogia diingatkan bahawa istilah bahasa Melayulah yang mesti digunakan kerana itulah istilah yang tepat dari segi semantik dan sejarahnya.) Begitupun, dasar tersebut mesti diiringi pelan yang menepati roh dasar, dan pelaksanaan yang sistematik dan tegas.

Bahasa Melayu bukan sahaja perlu diwajibkan pada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam, malahan perlu diwajibkan di institusi swasta. Sangat malang bagi Malaysia apabila tidak menguatkuasakan dasar ini. Misalnya, kini di institusi pengajian tinggi awam sekalipun, apatah lagi di institutsi pengajian tinggi swasta, kewajipan mempelajari bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dari negara asing tidak sampai memandaikan mereka. Mereka cuma disyaratkan mengambil subjek bahasa Melayu tetapi tidak diwajibkan lulus. Oleh sebab itu, walaupun mereka telah tinggal selama empat atau lima tahun di Malaysia, mereka masih gagal menguasai percakapan dalam bahasa Melayu, apatah lagi penulisan.

Alangkah rendah dan kerdilnya jiwa kita kerana tidak berani memaksa mereka mempelajari bahasa Melayu. Bayangkan sekiranya mereka fasih menulis dan menggunakan bahasa Melayu, para sarjana dalam pelbagai bidang ini akan pulang ke negara asal dan mengembangkan bahasa Melayu. Bukankah ini satu daripada cara kita untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa?

Demikian juga dengan kedudukan subjek sastera di sekolah dan pengajian tinggi. PENA teguh dengan pendiriannya untuk meminta kerajaan memastikan subjek sastera Melayu diajarkan di sekolah rendah sehingga di peringkat pengajian tinggi, baik awam mahupun swasta.

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dinyatakan hanya sastera Inggeris yang akan diajarkan kepada murid tingkatan 1 manakala sastera Melayu tidak mendapat layanan. Sebenarnya badan-badan bahasa dan sastera telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Pelajaran sebelum buku Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dilancarkan dahulu. Memorandum itu telah menuntut supaya subjek sastera Melayu diajarkan sejak di sekolah, sejak sekolah rendah sehingga institusi pengajian tinggi.

Tampaknya permintaan itu terlepas pandang oleh pembuat dasar. Namun begitu, khabarnya pandangan masih boleh diberikan sehingga Disember 2012. Oleh itu, kita mendesak Kementerian Pelajaran menerima pandangan supaya di samping sastera Inggeris, sastera Melayu juga mesti diajarkan di sekolah rendah dan menanjak ke tingkatan menengah dan universiti secara wajib mengikut kadar yang munasabah.

Di samping itu, jika benarlah hasrat kerajaan mewajibkan subjek sastera Inggeris bertujuan memahirkan murid dalam bahasa Inggeris, PENA berpendapat sastera Inggeris itu bukanlah terikat pada sastera dari Barat semata-mata. Banyak kesusasteraan dari negara Timur yang lebih dekat dengan kebudayaan kita wajar diambil kira.

Malahan secara tegasnya, PENA mahu supaya sastera Inggeris yang hendak digunakan itu adalah daripada sastera Melayu yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Dengan cara ini kita bukan sahaja dapat menjadikan sastera sebagai alat pengajaran bahasa Inggeris, malahan dapat menyemai nilai tempatan yang lebih dekat denhgan aspirasi kebangsaaan dan menyemarakkan sastera tempatan. Usaha penterjemahan bukan lagi isu kerana sekarang ITBM sebagai agensi kerajaan sedia memikul tugas walau seberat mana pun.

Marilah kita kembali kepada akar bangsa dan masyarakat sendiri untuk mendidik generasi muda. Kita tidak mampu lagi untuk terus-menerus menangisi nasib generasi pelbagai kaum yang tidak mengenali sasteranya, tidak memahami budaya rakan di sebelahnya yang berlainan bangsa dan agama. Melalui sastera, nilai tersebut dapat diterapkan secara halus.

Hadirin yang mulia,

Rasanya ucapan ini sudah terlalu panjang. Ucapan yang panjang tidak bermakna apa-apa jika tidak diikuti tindakan yang praktis. Sekali lagi, walau sesiapa pun yang akan membarisi ahli jawatankuasa PENA nanti, marilah semua ahli menghulurkan bantuan sokongan.

Sekurang-kurangnya hadirlah dalam setiap aktiviti yang dijalankan oleh PENA. Kerjasama merupakan ciri masyarakat kita yang mesti dihidupkan sebagaimana dituturkan orang dulu-dulu, jika ada sesuatu majlis akan berduyun-duyunlah rakyat datang membantu mengikut kepayaan masing-masing:

Yang pekak pembakar meriam,
Yang buta penghembus lesung,
Yang lumpuh penghalau ayam,
Yang pekung penjemuran,
Yang kurap pemikul buluh.

Mereka yang datang itu akan tertanya-tanya
dengan semangat untuk membantu:
Musuh mana akan datang
Mana tebing akan runtuh
Atau kubu akan dijuang?
Atau ubat akan dijemur?
Mana senapang akan diampai?
Mana jamban dikencah dagang?
Atau parit sudah tembus?
Atau aur kurang bela?
Angkatan mana yang akan tiba?

Hadirin yang bijaksana,

Saya akhiri ucapan ini dengan permohonan maaf atas segala kekurangan saya selama memimpin PENA. Sekali lagi saya akui bahawa semua kejayaan PENA adalah atas bantuan teman-teman, manakala segala kelemahan dan kesilapannya disebabkan kedaifan saya. Wallahu a’lam.

Wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

11.11.2012