Pengiktirafan Sijil UEC akan Membunuh Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan dan Menghancurkan Agenda Pembentukan Negara Bangsa

Mari kita susuri sejarah sedikit. Pada 3 Mac 1967, tarikh keramat di mana Tunku Abdul Rahman membentangkan Akta Bahasa Kebangsaan di Parlimen bagi mengukuhkan lagi Akta Bahasa Kebangsaan 1963.  Akta 1967 ini dibentangkan untuk membolehkan Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya menggantikan Bahasa Inggeris yang diberi kuasa digunakan 10 tahun selepas Negara kita Merdeka (Perlembagaan Persekutuan Perkara 152), yang menyaksikan 90 orang ahli parlimen menyokong dan 11 orang menentang.

Walaupun Tunku daripada keluarga Diraja dan menuntut di London, semangat jati diri Melayu dan Bahasa Melayunya tidak pernah luntur. Begitu juga Tun Abdul Razak dengan Penyata Razaknya (1956). Namun begitu, Tun Dr. Mahathir cuba merosakkannya pada tahun 2003 melalui Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Mujurlah pejuang-pejuang bahasa bangkit secara bersepadu antara Badan Bukan kerajaan dengan parti politik, khususnya PAS dan kemudian ditunjangi kuasa politik dalam kepemimpinan UMNO sendiri, maka PPSMI dimansuhkan. Terselamatlah Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi termusnah di peringkat pengajian tinggi.

Malangnya kini kerajaan melalui Program Dwi Bahasa (Dual Language Programme /DLP), Pengajaran dan Pembelajaran Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan  Komunikasi (TMK) serta Reka Bentuk dan Teknologi ( RBT) maka akan berkuburlah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Ilmu Tinggi, Bahasa Perdagangan, Bahasa STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), bahasa undang-undang, bahasa dan budaya tamaddun Melayu.

Keadaan menjadi lebih parah seandainya Sijil Peperiksaan Bersepadu atau Unified Examination Certificate/UEC (UEC) diiktirafkan. Sebelum ini seperti ada bayangan pemimpin UMNO mahu menyokong pengiktirafan UEC. Jika benarlah pemimpin UMNO berbuat demikian, bermakna mereka sanggup menderhaka kepada Perlembagaan Parti UMNO sendiri, iaitu FASAL 3.5: “Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu”.

Isu tuntutan pengiktirafan sepenuhnya Sijil Peperiksaan Bersepadu  oleh Parti MCA, GERAKAN, dan Dong Jiao Zong, iaitu Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Malaysia (Dong Zong) dan kumpulan-kumpulan cauvinis yang kurang memahami dan menghayati dengan mendalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, kini kembali panas menjelangnya PRU Ke – 14. Golongan ini faham bahawa tuntutan sebegini akan mendapat nyawanya dalam suasana politik yang akan menjadi medan tawar-menawar yang sangat ampuh.

Kerajaan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi tidak wajar melayan tuntutan mereka dan perlu menghentikan terus sebarang tolak ansur atau berjanji untuk mengiktirafkannya walaupun “jika mereka bersetuju dengan syarat tawaran kerajaan”.

Mereka mahu kerajaan mengiktiraf UEC bagi menggantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat untuk memasuki universiti awam dan perkhidmatan kerajaan. Buat masa ini, SPM merupakan satu-satunya benteng penegakan bahasa Melayu dalam kerajaan. SPM dilaksanakan dalama bahasa Melayu, mewajibkan lulus subjek bahasa Melayu dan Sejarah. Sejarah merupakan subjek untuk memberikan kefahaman tentang kenegaraan dan beragendakan pembentukan jati diri kebangsaan. Bahasa Melayu pula tentu sahaja mempunyai fungsi yang sudah jelas, bukan sahaja sebagai nilai penting jati diri, malahan sebagai asas untuk mewajarkan seseorang menjadi warganegara Malaysia.

  1. Jelas bahawa pengiktirafannya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Fasal 152 (1), Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996, serta akan mencabar kepentingan dan kedaulatan Negara, dan seterusnya menghancurkan agenda pembinaan negara bangsa yang sepatutnya ditunjangi keseragaman satu nilai, iaitu bahasa Melayu.
  2. Pengiktirafannya akan menggagalkan usaha kerajaan untuk membina negara bangsa, jati diri dan perpaduan negara yang utuh. Amat malang sekali, Dasar Pendidikan Kebangsaan, yang berpaksikan Penyata Razak (1956) akan terkorban, dan jika dibenarkan oleh kerajaan hari ini atas kepentingan politik perkauman dan undi semata-mata, tragedilah yang menimpa negara kita. Alasan bahawa negara akan kerugian kerana ramai lulusan UEC meninggalkan Malaysia tidak dapat diterima kerana Malaysia mempunyai ramai lagi patriot anak bangsa yang setia dan berketarmpilan. Biarlah yang tamak dan mementingkan diri sendiri pergi jika benarlah ada warga yang mahu berhijrah hanya kerana kita mementingkan bahasa Melayu.
  3. UEC mesti ditolak kerana pelbagai faktor :
  1. Ia juga tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, sebaliknya menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.
  2. Sijil peperiksaan dan penggunaan bahasa pengantar Cina bercanggah dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967: bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi.
  3. Ia bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan seperti yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996, kerana tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, Kurikulum Kebangsaan dan Peperiksaan yang sama. “Tujuan akhir Dasar Pendidikan Negara ini ialah untuk menyatukan budak-budak daripada berlainan bangsa di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan (di bawah satu bumbung) dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar dan menggunakan Sukatan atau Kurikulum yang sama” (Penyata Razak 1956). Sementara Akta Pendidikan 1996 menyebut, bahawasanya Dasar Pendidikan Kebangsaan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
  4. Juga perlu dirujuk kepada teladan (precedent) atau iktibar Kes Penolakan Merdeka Universiti Berhad oleh Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Rayuan Persekutuan untuk menubuhkan Universiti Merdeka pada 1980. Di mana UEC tidak layak diiktirafkan. UEC tidak layak diiktirafkan ialah dengan dirujuk daripada keterangan (evidence) kes perundangan bersabit dari kes, Merdeka Universiti Bhd melawan ‘Government of Malaysia’ di High Court Malaya, Kuala Lumpur, Eusoff Abdoolcader J ( Civil Suit No. A6 of 1980) bertarikh 7 November 1981. Pihak Universiti Merdeka gagal mencabar kerajaan yang menolak permohonan mereka untuk membuka Universiti Merdeka disebabkan Universiti Merdeka akan menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.
  5. Pelajar-pelajar Sijil UEC tidak mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sama (standard) seperti pelajar-pelajar sekolah harian kerajaan.
  6. Kerajaan tidak wajar mengetepikan Perlembagaan dan Undang-Undang serta mencabar kedaulatan negara. Pengiktirafan UEC akan menyentuh kepentingan dan kedaulatan negara, kerajaan boleh ditakrifkan sebagai mencabul kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, sebagaimana yang dijawabkan di Parlimen oleh Datuk P. Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan pada Selasa 29 Mac 2016 yang berkata, “the government can’t recognize UEC as it relates to the nation’s interest and sovereignty” (The Sun 4.4.2016: Uproar continues over deputy minister’s remark on UEC).
  7. Keseluruhannya, matlamat Sekolan Menengah Persendirian Cina (SMPC), sistem, kualiti penilaian dan peperiksaan, buku teks, bahan-bahan pendidikan, kaedah dan penekanan isi pendidikan SMPC tidak sama dan amat berbeza dengan sistem dan dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia .
  8. Terbukti penulisan Buku Teks Sejarah    SMPC sangat lemah dan tidak menjaga sensitiviti kepelbagaian kaum di Malaysia, khususnya orang Melayu dan agama Islam. Penulisan buku teks SMPC keterlihatan disengajakan oleh mereka untuk mengikut dan menanamkan nilai-nilai pemikiran kecinaan, “school of thoughts” sehinggakan keterlihatan tidak      menepati dasar Falsafah Pendidikan Negara secara keseluruhannya.
  9. Buku Teks Sejarah SMPC juga tidak menyentuh kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dalam sistem pentadbiran dan perdagangan tetapi lebih menonjolkan          kewujudan hubungan dan pengaruh Dinasti Ming dan hubungan dengan Melaka. (Contoh pada buku teks SMPC, Bab 4 volume 1 ). Buku teks Menengah Atas pula hanya menyentuh sedikit sahaja topik mengenai pembelajaran Sejarah Malaysia.            Tajuk Sejarah Malaysia dirangkumkan dalam tajuk Malaysia dan Negara-negara Jiran (Asia Tenggara). Sementara itu, untuk sejarah negara China, terdapat satu buku khusus yang menerangkan Sejarah Negara China secara terperinci.             Secara   lancangnya   bolehlah   dikatakan bahawa   SMPC  mendidik semua       pelajarnya melalui Sijil UEC, “Berkiblatkan sejarah dan    nilai-nilai Negara China” dan bukan nilai-nilai kemalaysiaan.
  10. Begitu juga dalam buku teks Junior Jilid 2, juga menyentuh dan berkiblatkan sejarah dan ideologi, San – Min, iaitu asas membina Negara China. Selain itu, bahan pendidikan SMPC ini mengandungi banyak fakta yang             salah, tidak tepat dan menggunakan Bahasa Melayu yang tidak baik dan betul untuk buku teks. Malah lebih memudaratkan lagi, sesetengah grafik yang digunakan itu bukan sahaja salah, langsung tidak peka kepada sensiviti terhadap     bangsa Melayu dan agama Islam yang dominan di negara ini.Contohnya, upacara menunaikan ibadah haji ke Makkah, digambarkan orang Melayu      dengan berpakaian baju Melayu seperti ke masjid atau menyambut perayaan hari raya. Solat pula digambarkan tidak tepat atau salah apabila menyatakan bilangan solat dalam sehari sebanyak 6 waktu, dengan mengambil kira Solat Jumaat. Solat      Jumaat dikatakan, dilaksanakan selepas tengah hari.
  11. Terdapat juga dalam Buku Teks Sejarah Junior 1, halaman 76 dan 77 yang memaparkan gambaran yang salah berkaitan cara beribadat dalam agama Islam. Pada halaman 61, dipaparkan gambar kumpulan ajaran sesat Aminah          Wadud menjadi imam ketika berjemaah yang makmumnya terdiri daripada kaum             lelaki.
  12. Aspek sejarah Malaysia juga seolah-olah cuba ditanamkan unsur-unsur sensitif dan Perkauman kepada pelajar-pelajar SMPC. Dalam Buku Sejarahnya, disentuh juga pelbagai isu sensitif dan konflik yang     menjelaskan secara mendalam Peristiwa Berdarah 13 Mei dan dimasukkan data yang meragukan, iaitu dinyatakan kematian orang Cina seramai 163, Melayu 25 dan India 13 orang. Dinyatakan juga kematian mungkin lebih banyak lagi. ( Buku sejarah Jilid 3, muka surat 122 ).    Seolah-olahnya orang Cina yang teramai teraniayai dan terkorban. Selain itu, dalam Buku Teks SMPC juga kurang menonjolkan pelbagai watak dan konsep pelbagai kaum di Malaysia. Hanya ditonjolkan satu watak sahaja, iaitu kaum Cina yang lebih ditonjolkan dan lebih didominasikan. Seolah-olah peranan orang Melayu dan Bahasa Melayu serta Malaysia sebagai teras tamadun negara ini cuba diperkecilkan oleh pendidikan SMPC.

Kami amat yakin dan bersetuju dengan kenyataan Penasihat  Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, “Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sudah dilupakan dan ianya hanya digunakan untuk urusan tidak rasmi sahaja”. Beliau juga menyatakan bahawa “Bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang lemah hanya dalam tempoh 20 tahun akan datang, jika tiada sebarang usaha dilakukan dengan bersungguh-sungguh untuk memperkukuhkannya”. (Utusan Malaysia : Rabu 8.03.2017)

Kami tegaskan bahawa, pengiktirafan UEC akan menyebabkan Bahasa Melayu akan mati sebagai bahasa pengantar utama sekolah-sekolah di Malaysia. Sementara itu, Bahasa Cina diberi penghormatan tinggi dan dimartabatkan. Akan terwujudlah juga Dasar Pendidikan Kebangsaan menggunakan Dwbahasa Pengantar Utama.

Dr Mohamad Saleeh Rahamad,
Presiden Persatuan Penulis Nasional malaysia (PENA)

(Sumber dan penegasan bersama Dato’ Abdul Raof Hussin, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM).