Menjaga Kemaslahatan Ummah

Ucapan Presiden PENA dalam Mesyuarat Agung PENA ke-52, pada 11 Oktober 2015 di Dewan Usman Awang, Rumah PENA, Kuala Lumpur

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, marilah kita mensyukuri seluruh nikmat dan kesempatan yang dianugerahkan Allah SWT sehingga kita berupaya dan berjaya hadir ke mesyuarat agung PENA yang ke-52 pada hari ini. Sesungguhnya kesempatan ini tidak diperoleh semua ahli; hanya yang terpilih dapat bersama-sama berhimpun ketika ini. Yang dekat belum tentu sampai, yang jauh belum tentu tak datang.

Mesyuarat ini sudah memasuki ruang waktu ke-52, yakni sudah melebihi separuh abad, tetapi hayat penubuhan PENA sebenarnya sudah menjangkau 54 tahun. Sejak penubuhannya pada tahun 1961sehingga kini, PENA masih berdiri sebagai sebuah entiti yang memiliki karisma tersendiri, masih bernyawa, dan masih diperhatikan oleh pelbagai pihak. Itulah sebabnya PENA sentiasa terdedah kepada banyak komentar. Jika membisu PENA maka akan berlegarlah kata-kata sindiran dan pertanyaan.

Bagi saya secara peribadi, semua itu sangat-sangat berharga kerana itulah tanda keprihatinan masyarakat, terutama penegak legasi PENA yang terdahulu. Mereka berhak menyuarakan pandangan dan bantahan malah sindiran. Kami yang memegang amanah inilah yang seharusnya memuhasabah diri, membaiki yang rosak, menampung yang koyak..

Pemimpin-pemimpin terdahulu sudah memberikan jiwa dan raga mereka kepada PENA dengan kemampuan masing-masing. Dan kesannya, PENA tetap wujud dan hidup bersemangat. Dalam kalangan mereka telah ramai yang sudah meninggalkan alam fana ini, meninggalkan legasi yang besar dan sukar ditandingi.

Sehubungan dengan itu, sebagai tanda penghormatan dan penghargaan terhadap jasa mereka, sukalah saya mengumumkan bahawa Jawatankuasa PENA telah bersetuju untuk menamai dewan ini sebagai Dewan Usman Awang demi menghargai sumbangan SN Usman Awang dalam persuratan tanah air dan yang lebih penting selaku Ketua Satu PENA yang pertama sejak tahun 1961.

Tokoh kedua yang kami abadikan namanya ialah Rahimidin Zahari, mantan bendahari PENA yang telah meninggal dunia pada 14 Mei lepas. Kami namai bilik mesyuarat PENA sebagai Bilik Mesyuarat Rahimidin Zahari.

Pada kesempatan ini marilah kita sedekahkan surah al-Fatihah kepada mereka berdua dan semua ahli PENA yang telah meninggal dunia. Al-Fatihah.

Hadirin sekalian,

Sepanjang 54 tahun kewujudan PENA telah banyak usaha dilakukan demi memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Walau bagaimanapun, menyenaraikan pencapaian bukanlah sesuatu yang bagus kerana itu hanya akan menimbulkan kebanggaan palsu. Cara terbaik menilai kedudukan kita adalah dengan melakukan introspeksi diri, melihat kekurangan dan kelemahan yang disebut-sebut orang mahupun yang kita temukan sendiri.

Sebagai persatuan bertaraf nasional dan mempunyai legasi yang cemerlang tentu sahaja masyarakat gemar menilai perlakuan dan sikap PENA dalam menangani sesuatu isu negara. Tetapi selaku pemimpin yang kosong pengalaman dan serba kekurangan dari segi perhubungan orang penting negara, saya mengakui ketidaksempurnaan saya dalam menunaikan amanah ahli mahupun amanah masyarakat.

Hadirin yang dikasihi,

Dalam situasi mutakhir memang negara telah bergoncang dengan agak hebat sehingga memberi kesan pada masyarakat bawahan dari segi ekonomi, selain dalam soal politik. Kejatuhan nilai mata wang amat membimbangkan kerana seperti tidak kelihatan akan pulih dalam masa terdekat, dan lebih menyesakkan nafas apabila krisis itu dikaitkan dengan kepemimpinan politik negara.

Dalam soal ini kita wajar membuat pertimbangan apabila hendak berpihak atau memberikan reaksi. Terlalu ghairah memberikan reaksi akan menyebabkan kita terjerumus dalam ke dalam kancah perang politik yang sering kita elakkan dalam PENA. Oleh itu, PENA barangkali sering dilihat tidak reaktif dan responsif terhadap krisis yang menjejaskan kehidupan masyarakat.

Dalam soal ini PENA mengambil pendirian tidak mahu terburu-buru membuat kenyataan kerana kapasiti kita tidak memungkinkan tindakan itu dilakukan. Yang menjadi prinsip PENA ialah kebenaran dan sentiasa memberikan hak untuk membuat tindakan kepada pihak yang berwibawa mengikut kapasiti dan keupayaan masing-masing.

Dalam perjuangan PENA, politik kebudayaanlah yang lebih diutamakan kerana bidang ini pun tidak dipedulikan oleh pihak lain, terutamanya demagogue politik dan pencandu ekonomi. Dalam konteks politik kebudayaan ini, kita sewajarnya memberikan perhatian kepada isu yang akan menelurkan seribu krisis lagi, iaitu usaha pihak-pihak tertentu menghidupkan semula roh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Rupa-rupanya (dan memang kita sedari) PPSMI tidak pernah berhenti dan pejuangnya tidak pernah merehatkan diri. Sekarang dengan strategi yang terancang mereka telah berjaya mempengaruhi satu agensi pemerintah untuk menghidupkan semula PPSMI dengan jenama lain, iaitu Dual Language Program (DLP).

Sehubungan dengan itu, The Performance Management and Delivery Unit, ringkasnya PEMANDU, di Jabatan Perdana Menteri, telah bersekutu dengan beberapa pihak dan sedang menjalankan operasi bagi meyakinkan masyarakat dan kerajaan supaya menerima idea menghidupkan pengajaran dalam bahasa Inggeris bagi beberapa subjek. Mereka sudah membuat soal selidik melalui internet untuk mendapatkan jawapan daripada masyarakat sama ada bersetuju atau tidak dengan idea tersebut melalui soalan yang memerangkap.

Lebih melucukan, sekali gus menakutkan, apabila sesiapa sahaja boleh menjawab soalan itu beberapa kali tanpa batas. Akhirnya nanti disebabkan penyokong agenda mereka berulang kali mengundi dalam talian, akan kelihatan banyaklah orang yang berpihak kepada mereka. Laman sesawang soal selidik mereka ini beralamat http://goo.gl/forms/u09WpY1mJ. Untuk melawan mereka kita perlu menjawab soal selidik ini dan memberikan tentangan terhadap agenda tersebut.

Kelebihan mereka ialah tekal dalam merancang strategi dan memperoleh sokongan daripada pelbagai pihak yang mempunyai laluan kepada pihak atasan. Oleh itu, pihak kita juga perlu bekerjasama dalam soal ini, memantapkan sinergi antara pelbagai pertubuhan dan sanggup berkorban menyalurkan bantuan kewangan jika diperlukan. Lupakan soal prinsip politik asalkan agenda nasional yang telah diisytiharkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan itu terpelihara.

Hadirin yang terhormat,

Saya akan beralih kepada dunia sastera. Perkembangan sastera di negara kita tampak ada kemajuannya dari segi kuantiti dan kepelbagaian corak. Kini sastera bukan hanya dihidupkan oleh penggiat arus perdana malahan turut dikembangsuburkan oleh penggiat bebas atau indie. Turut mengambil kesempatan daripada minat membaca ini ialah penerbit yang rakus untuk mendapatkan pulangan kewangan tanpa memikirkan pembentukan jati diri dan nilai moral.

Kini wujud satu trend yang membimbangkan dalam penulisan, iaitu kelahiran novel-novel lucah yang dijual secara dalam talian. Penerbitnya tidak terkenal, tetapi mereka mempunyai strategi yang hebat. Hebat tak hebat pun, apabila bahan berunsur sensual ini dilimpahkan kepada khalayak remaja khususnya, pasti akan ada sambutannya kerana jiwa anak muda masih subur dengan imaginasi dan desakan rasa ingin tahu yang kuat.

Difahamkan penulisnya terdiri daripada orang Melayu sendiri, malahan ada yang daripada kalangan suri rumah serta berjawatan guru. Sepatutnya guru membawa nilai moral tetapi kepercayaan ini telah dilanggar. Saya pernah diberi sedikit contoh daripada teks novel tersebut yang jelas memperincikan perlakuan seks.

Walaupun perkara tabu seperti ini sudah mengalami penyusutan nilai ekoran daripada terbukanya langit kepada sebarang masukan tanpa sekatan, dalam konteks bahan bercetak, kita masih mempunyai batasannya. Hal seperti ini wajar diperhatikan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri agar kesuburannya dapat dimandulkan.

Kita berasa bimbang akan fenomena ini kerana sesuatu yang tampak jernih di permukaan akan menimbulkan bahaya jika dasarnya tidak kita pastikan benar-benar bersih seperti peringatan dalam pantun:

Buah pinang dalam pagar,
Mari jual anak Melayu;
Air tenang jangan ditawar,
Jadi gelombang saya tak tahu.

Pandangan seperti ini tampak seperti klise dan terlalu bermoral tetapi apalah lebih wajar daripada itu dilakukan oleh sebuah persatuan penulis bagi menjaga kemaslahatan ummah. Telah dipantunkan orang:

Bukan tidak saya katakan,
Merbuk biasa makan di papan;
Bukan tidak saya katakan,
Buah mabuk jangan dimakan.

Tuan puan yang dikasihi

Dalam situasi mutakhir ini, pertumbuhan minat dan jumlah penulis telah dibantu oleh beberapa faktor yang menarik. Pertamanya, kesiapsiagaan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) selaku penerbit yang berani dan agresif telah memudahkan penulis menakah tangga kejayaan, bukan sahaja di peringkat tempatan malahan di peringkat serantau dan antarabangsa melalui usaha penterjemahan.

Di samping itu, perkembalian kuasa menerbitkan dan memasarkan buku kepada Dewan Bahasa dan Pustaka daripada Dawama telah memberikan dampak yang besar kepada persuratan tanah air. Kini DBP mampu membuat perancangan yang lebih sistematik dan melaksanakannya dengan agresif. Kebajikan penulis juga sepatutnya terpelihara dengan baik. Terima kasih kepada kedua-dua pihak yang telah menjalankan amanah dengan baik.

Kelebihan kita ini dicemburui oleh penulis negara jiran yang terpaksa bertungkus-lumus mencari dana untuk menerbitkan buku. Para penulis kita juga tidak kurang hebatnya dalam usaha menerbitkan buku sendiri di samping dapat pula bergantung pada penerbit swasta. Semua ini sangat baik dan kita berharap agar sastera terus maju.

Kini terpulanglah kepada penulis untuk mempertingkatkan mutu penulisan mereka agar dapat standing atau menandingi karya penulis negara lain, sekurang-kurangnya di peringkat serantau.

Kita tidak lagi boleh bersikap apologetik dengan penulis negara jiran. Kitalah yang seharusnya menjadi pengemuka trend atau trend setter (dengan izin), bukan selama-lamanya menjadi pengagum orang lain.

Akhirul kalam, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah membangunkan PENA sama ada AJK, mantan AJK, serta ahli-ahli yang tidak jemu-jemu mendatangi PENA dan menyokong setiap aktiviti PENA. Marilah kita bersama-sama memperjuangkan bahasa dan sastera kebangsaan kerana perjuangan ini bukan sahaja penting untuk dunia sastera malahan demi pembentukan negara bangsa yang utuh.

Terima kasih.