Meneguhkan Tamadun Bangsa

Ucapan Presiden PENA dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-51 di Rumah PENA, Kuala Lumpur pada 20 September 2014

Assalamualaikum WRT.

Bersyukurlah kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan pertemuan ini berlangsung dalam suasana yang damai dan rezeki yang melimpah. Semoga mesyuarat PENA yang ke-51 ini akan dapat menjanakan pemikiran kita secara bersepadu demi melahirkan gagasan yang bernas untuk membangunkan peradaban bangsa melalui persuratan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang terhormat,

Sudah dua penggal atau empat tahun saya memikul tanggungjawab menerajui PENA bersama-sama teman yang turut sama bersusah payah. Dalam tempoh selama itu tentulah ahli sudah dapat menilai kekurangan saya sendiri kalautidak pun seluruh AJK PENA. Walaupun tidak dinyatakan oleh sesiapa setakat ini, saya secara peribadi mengakui kekurangan usaha bagi pihak saya untuk memberikan khidmat yang terbaik dan memuaskan kepada ahli PENA khususnya, dan khalayak sastera amnya. Untuk itu saya memohon maaf walaupun permohonan maaf ini bukan bertujuan untuk membela diri mahupun berkempen bagi mempertahankan jawatan.

Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dan menyokong saya khususnya, dan PENA amnya, dalam pelbagai bentuk. Sukar sekali untuk kami balas budi dan bakti mereka. Semoga Allah SWT menghujani mereka rahmat yang tidak bersukat.

Secara khusus kami mengucapkan terima kasih kepada beberapa pihak yang telah membantu kami. Antara pihak yang tidak berbelah bahagi membantu kami ialah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Kem PLKN Beranang yang diterajui Left. Kol. (B) Othman Mustafa, dan beberapa orang perseorangan yang baik hatinya.

Memandang ke belakang, menyenaraikan apa-apa yang telah kami lakukan untuk persuratan tanah air hanya memperlihatkan keghairahan bernostalgia. Namun begitu, sebagai rakaman sejarah untuk melihat kemungkinan masa depan elok juga diperturunkan sedikit maklumat tentang masa lalu.

Untuk makluman hadirin, masih dalam hubungan kerjasama harmonis antara PENA dengan ITBM, telah, sedang dan akan berlangsung beberapa program yang berperanan merangsang pertumbuhan penulis tanah air. Kami teruskan acara baca puisi PENA ITBM yang kini diperluas skopnya dengan pelancaran tiga buah buku pada setiap kali acara berlangsung. Pemilihan tiga buku berdasarkan pertimbangan bahawa pengarangnya ialah seorang penulis muda, seorang penulis lelaki dan seorang penulis wanita yang mungkin veteran, mungkin juga muda.

Kami juga masih melangsungkan sayembara penulisan cerpen, novel dan puisi musim yang akan berakhir pada 31 Januari 2015. Daripada musim pertama telah kita saksikan kelahiran karya daripada penulis muda yakni berusia 45 tahun ke bawah yang segar dan mengujakan. Tetapi pada musim kedua ini sayembara terbuka kepada semua lapisan usia bagi mewujudkan iklim persaingan yang lebih sengit. Semoga dengan itu akan lebih ramai penulis memperoleh manfaatnya, dan karya yang terhasil juga lebih bervariasi.

Di samping itu, bengkel-bengkel-penulisan, acara setempat, kerjasama dengan beberapa pihak lain terus dijalankan tanpa prejudis. Rumah PENA bersedia menjadi ruang untuk sebarang kegiatan asalkan ada kerjasama dengan PENA, manakala penggunaan oleh pihak lain akan memerlukan sumbangan bagi menampung kos pembersihan dan utiliti.

Asalkan acara tersebut masih dalam lingkungan gerak kerja PENA, kami akan membuka pintu kepada sesiapa sahaja untuk berkolaborasi.

Namun demikian, kami lebih suka sekiranya ada pihak yang mahu menggerakkan aktiviti atas nama PENA walaupun mereka bukan ahli jawatankuasa PENA. Tidak mungkin AJK PENA mampu melakukan banyak perkara memandangkan masing-masing masih muda dan sedang membina kehidupan, sedang memantapkan kerjaya, dan oleh itu tidak dapat menumpahkan masa yang banyak untuk beraktiviti.

Program yang akan datang ialah Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM), anjuran bersama PENA, ITBM dan Bina Darulaman Berhad yang berlangsung pada 24-26 Oktober 2014 di Darulaman Resort, Jitra, Kedah. Untuk makluman semua, program itu turut mendapat dukungan dana daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Wasatiyah Malaysia, Perbadanan Kota Buku, Biro Tatanegara (BTN) dan juga sokongan moral daripada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), dan ASASI Kedah.

Kami menyediakan 200 tempat dan pendaftarannya dibuat melalui talian www.skpm.net yang sudah pun ditutup pada 15 September lepas. Penulis dari seluruh Malaysia yang sudah mendaftar melebihi jumlah 200, dan oleh itu mereka terpaksa melalui proses saringan.

SKPM merupakan perhimpunan yang besar kerana terbuka kepada semua penulis tanpa mengira persatuan. Pengisiannya berupa ucaptama, pembentangan makalah, forum, persembahan puisi, dan pelancaran buku. Sehingga kini kita sudah menerima persetujuan daripada YAB Datuk Seri Haji Mukhriz Mahathir untuk merasmikannya. Lantaran tempat yang terhad, mungkin tidak semua pemohon memperoleh peluang untuk menyertai SKPM. Atas kekurangan itu, kami memohon berbanyak ampun dan maaf.

Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman,

Selaras dengan perkembangan semasa, Perlembagaan PENA juga sudah dipinda dengan menerima keanggotaan ahli bersekutu yang terdiri daripada bukan warga Malaysia tetapi menulis dalam bahasa Melayu. Sebenarnya pindaan sudah dibuat sebelum mesyuarat agung yang lepas tetapi lupa disebutkan ketika itu. Tuan puan boleh melihatnya dalam Perlembagaan yang terdapat dalam buku laporan tahunan.

Penyertaan penulis luar ini merupakan tindakan reaktif atau boleh juga disifatkan sebagai proaktif memandangkan jaringan PENA sudah melangkaui sempadan negara. Sehingga kini PENA sudah bergerak menjalin hubungan dengan pihak-pihak dari negara lain bagi mengembangkan sastera tempatan melalui penerbitan bersama dan wacana ilmiah yang lebih relevan dengan situasi semasa. Dengan melihat ke luar atau menarik orang luar ke dalam, penulis kita akan lebih terdedah kepada perkembangan semasa dan secara tidak langsung mereka memperoleh pengetahuan yang lebih mematangkan mereka.

PENA memang sejak tahun 2007 sudah terlibat dalam penganjuran Pertemuan Penyair Nusantara (PPN). Sehingga kini sudah tujuh kali PPN diadakan, bermula di Medan (2007), Kediri (2008), Kuala Lumpur (2009), Brunei (2010), Palembang (2011), Jambi (2012), dan yang baru lepas di Singapura pada 29-31 Ogos 2014. Panitia PPN tidak diikat oleh institusi yang rasmi sebagaimana Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) atau pakatan yang melibatkan DBP bagi pihak negara ini. PPN hanya pakatan longgar tetapi tetap berjaya melangsung kegiatannya. Pada tahun hadapan insya-Allah Patani Selatan Thai akan menjadi tuan rumah. Jika tidak jadi di Patani, Kepulauan Riau, Pulau Penyengat mungkin akan menjadi tuan rumah.

Sebenarnya penyertaan adalah terbuka tetapi bergantung pada tuan rumah kerana melibatkan penyediaan tempat penginapan. Kami kadang-kadang berasa serba salah dengan keadaan ini lantaran ada ahli yang ingin pergi tetapi pihak tuan rumah membataskan tempat. Mungkin jika di Indonesia lebih ramai akan diterima sebagai peserta.

Sehingga kini juga PENA dengan dukungan ITBM memang sudah menjalin hubungan erat dengan pihak-pihak di India, Taiwan, di samping rakan lama di Brunei, Indonesia, Thailand, dan Singapura. Yang penting, hasil daripada hubungan itu bukan sahaja dapat memberikan pendedahan kepada penulis tanah air, malahan dapat pula menyebarkan karya kita ke luar negara.

Hadirin yang dikasihi,

Dalam usaha membangunkan persuratan di negara ini, kita berdepan dengan banyak cabaran. Pertama, tentu sahaja cabaran untuk mencipta karya yang bertaraf antarabangsa, tidak parokial, dan dengan itu dapat dipasarkan ke peringkat global. Jika dilihat pada kelahiran karya dalam setahun dua ini, sudah tampak kemajuannya dari segi kuantiti karya mahupun penulis.

Walaupun jauh daripada yang kita harapkan, momentumnya setakat ini mencerminkan masa depan yang lebih baik. Sumbangan agresif daripada ITBM telah memberikan dampak besar pada penerbitan sastera. Lebih menarik, ITBM telah menampung permintaan terbit buku daripada seluruh Malaysia. Jika sebelum ini penulis di Sabah dan Sarawak agak sukar bersaing di peringkat nasional, kini mereka telah mendapat ruang yang luas, sama seperti penulis di Semenanjung.

PENA tentu sahaja berbangga kerana dapat memberikan sumbangan dalam indeks kemajuan ini melalui kerjasama pencarian manuskrip, pembinaan penulis, mahupun pemilihan manuskrip untuk diterbitkan. Dana yang diberikan buat kali kedua melalui YAB Tan Sri Muhyidin Yassin kepada ITBM benar-benar memberikan nafas lega kepada penulis, sementalahan pula ITBM telah memanfaatkan dana dengan agresif sekali.

PENA percaya, seluruh penulis mengharapkan perhatian daripada kerajaan untuk menyuburkan dunia penerbitan sastera. Buat masa ini kaedah penyaluran dana kepada ITBM dirasakan praktis dan berjalan dengan baik. Oleh itu, kita berharap kerajaan tidak keberatan untuk menyambung pemberian dana lagi selepas ini kepada ITBM atau dengan menambah peruntukan kepada DBP.

DBP yang merupakan entiti penting serta memiliki prasarana lengkap untuk pembangunan bahasa, sastera dan penerbitan juga sudah mendapat nafas semula selepas penamatan tempoh konsesi DAWAMA pada hujung Ogos lalu. Selepas berkuasa semula menguruskan bahagian pracetak dan perniagaan, DBP hendaklah memusatkan perhatian dengan bersungguh-sungguh untuk mengambil kembali semua haknya daripada pegangan DAWAMA.

Khabar bahawa ada halangan di sana sini yang dihadapi oleh DBP apabila mahu mengambil semula haknya daripada DAWAMA sangat merisaukan kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku jika tidak ada keazaman politik yang sahih menurunkan kuasanya untuk menyelesaikan kemelut ini. Kita berharap pucuk pimpinan tertinggi DBP berusaha dengan tegas untuk mencapai matlamat tersebut.

Bagi kalangan penulis, kita menyeru kerajaan tidak lagi berdolak-dalih dalam urusan penyerahan semula hak DBP itu. Masa depan sastera dan penerbitan buku dalam bahasa Melayu perlu dibela kerana inilah antara peralatan budaya yang dapat meneguhkan tamadun bangsa. Keburukan sikap para oportunis atau kapitalis tidak seharusnya menjadi kendala kerana yang lebih penting daripada kepentingan kelompok rakus itu ialah masyarakat amnya.

Dengan tegasnya, kami atau kita meminta kerajaan benar-benar membantu penulis. Dalam konteks ini, selamatkan DBP daripada sebarang gigitan tikus kapitalis yang rakus. DBP pula wajar menyusun operasinya semula agar perubahan dapat dilakukan demi DBP yang lebih dinamis. Kaedah pembayaran royalti, kaedah pembelian buku dan penjualan buku hendaknya dipertingkatkan. Jadikan penulis juga sebagai penjual bukunya sendiri, bukan hanya mengharapkan pengedar yang dilantik sahaja menjual buku.

Masalah kesukaran mendapatkan buku di seluruh negara sudah sepatutnya dihapuskan. Kaedah pengedaran buku yang lebih longgar dan terbuka hendaklah diperkenalkan segera. Demikian juga kelewatan menerbitkan buku dan majalah tidak seharusnya menjadi bahan umpatan masyarakat.

Kita menyayangi DBP; maka teguran yang ikhlas kita berikan. Jangan sesekali menyifatkan teguran ini sebagai aksi nakal sang musang yang tidak berjaya mendapatkan anggur di hujung julai lalu dikatanya anggur itu masam.

Kerajaan juga akhirnya kita hadapkan tuntutan supaya lebih serius memberikan perhatian kepada para penulis kerana golongan ini merupakan nilam yang sangat bernilai bagi sesebuah tamadun. Jangan gelap mata sehingga tidak tahu menghargai nilam yang sedia ada lalu penulis yang berfungsi sebagai pemangkin pemikiran masyarakat dikesampingkan ke pojok yang jauh dan sunyi. Bukankah sudah diperingatkan orang tua-tua:

Betul bodoh orang di dapur,
Keris pusaka potongkan sayur;
Sungguh songket bunga bertabur,
Kerap tercampak di balik dapur.

Hadirin yang dimuliakan,

Dalam suasana negara yang tidak pernah lengang daripada percekcokan politik, kebanjiran fahaman yang sesat, dan serangan budaya dan hegemoni dari luar, penulis seharusnya mengambil tindakan yang agresif untuk memberikan pandangan berasaskan kebenaran. Makna kebenaran yang dituntut tentu sahaja kebenaran mutlak (absolute truth), bukannya kebenaran relatif yang berdasarkan pertimbangan diakronik.

Bagi mencapai matlamat itu, ilmulah jalannya. Oleh itu, penulis perlu sentiasa menambahkan pengetahuan, pengalaman, dan ilmu. Pengetahuan dan pengalaman hanya dapat dijadikan sarana pembinaan akal dan sahsiah apabila diluruskan dengan ilmu yang benar. Pencarian ilmu tidak seharusnya berhenti pada satu-satu sumber yang digemari tetapi mesti bercapah ke pelbagai punca. Dengan pengetahuan yang bercapah, seseorang penulis akan lebih mudah membuat perbandingan dan menemukan jawapan yang siap siaga untuk mendepani cabaran dan soalan yang provokatif. Untuk mendapatkan sesuatu yang bernilai tinggi, peralatannya juga hendaklah sesuai seperti makna pantun ini:

Besar kayu dua pemeluk,
Hendak ditebang berdiri duduk;
Kalau tidak panjang penjolok,
Mana mendapat bunga yang elok.

Penulis bukan sahaja bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri malahan terhadap agama, bangsa dan negaranya. Menjaga maruah diri, sama pentingnya dengan menjaga kepentingan bangsa dan kedaulatan negara. Serangan terhadap proklamasi berdaulat, iaitu Perlembagaan Persekutuan, oleh sesetengah pihak perlu dihadapi dengan tegas dan berani juga.

Pembentukan Perlembagaan Persekutuan telah mengambil kira masa depan yang akan dihadapi oleh negara ini, lalu beberapa aspek telah diberi penegasan seperti agama Islam, bahasa Melayu, dan hak istimewa orang Melayu. Inilah antara benteng yang sering menerima serangan daripada agitator politik dan kemudian tersebar ideologinya dalam kalangan remaja yang tidak memahami fungsi sebenar aspek tersebut. Akibatnya, sebarang usaha untuk mempertahankan perkara-perkara ini dianggap sebagai tindakan cauvinis kemelayuan.

Para penulis sekalian, marilah kita bersama-sama memikul tanggungjawab mempertahankan keharmonian negara ini dengan kapasiti masing-masing. Kerjasama semua pihak perlu digembleng dengan penuh ikhlas. Masyarakat Melayu memiliki etos yang tinggi nilainya seperti dalam rangkap berseni ini:

Kalau ke bukit sama mendaki,
Kalau ke laut sama berenang;
Kalau kita bersatu hati,
Kerja yang berat menjadi senang.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.