Mempertahankan Legasi

Teks Ucapan Presiden PENA dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-48 pada 15 Oktober 2011 di Rumah PENA

ALHAMDULILLAH, pada pagi ini Allah telah mengizinkan hasrat kita untuk berkumpul, seterusnya bermusyawarah dalam ikatan persaudaraan yang murni demi menunaikan amanah yang diberikan kepada kita dalam sebuah organisasi yang berusia, matang dan mempunyai legasi yang besar. Kehadiran tuan puan sangat menguja kami barisan jawatankuasa PENA kerana tidak mudah bagi seseorang meluangkan masa yang berharga semata-mata untuk menghadiri pertemuan ini. Sebuah organisasi tidak akan menjadi besar tanpa sokongan ahlinya; jika pun kita tidak mahu mengaku bahawa seorang ahli menjadi besar kerana organisasinya. Oleh itu, dengan berbesar hati saya mewakili barisan jawatankuasa PENA 2010-2011 mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada hadirin sekalian.

Ucapan pada kali ini merupakan ucapan kedua saya selepas mengambil alih sebagai pemikul tanggungjawab menerajui PENA pada 3 Oktober 2010. Ucapan pertama saya dahulu ringkas sahaja sebagai ucapan penangguhan. Dalam masa setahun menjalankan tugas sebagai pemikul beban ini baru saya sedar bahawa tugasnya sangat berat sedangkan keupayaan saya sangat kerdil. Mengekalkan status PENA sebagai sebuah organisasi yang hebat dengan nama-nama tokoh yang besar sebelumnya, dengan keberaniannya mengisar permasalahan budaya, bahasa, sastera, penerbitan, dan kebajikan penulis sahaja pun sudah menjadi bayangan yang menakutkan.

Saya hanya mengenali sejarah kepemimpinan PENA dari jauh sebelum menyertai barisan kepemimpinannya secara langsung di bawah teraju Dato’ Ahmad Sebi Abu Bakar dan kemudian diganti oleh Dato Baharuddin Zainal (Baha Zain). PENA semasa di bawah pimpinan orang terdahulu menjadi gergasi kerana mendapat manfaat daripada nama besar pemimpinnya. Orang mengenali PENA ketika itu kerana pemimpinnya berada dalam jenjang kemasyhuran dengan kapasiti masing-masing. Setiap kata mereka diperhatikan dan setiap permintaan mereka diberi pertimbangan dan dihormati lantaran wujudnya hubungan persahabatan dalam peringkat usia yang setara. Tetapi saya berada jauh daripada kemasyhuran sebegitu kerana penglibatan saya dalam persatuan sangat singkat usianya dan lingkaran persahabatan juga masih terbatas.

Namun demikian, saya percaya pergantian musim kepemimpinan merupakan takdir yang tidak dapat dielakkan. Tanpa keghairahan menjadi pemimpin sedikit pun, kehadiran saya di sini merupakan ujian yang mesti saya terima walaupun dalam tempoh yang singkat. Perutusan Dato’ Baharuddin Zainal dalam ucapannya semasa mesyuarat agung yang lepas segera menyedarkan saya bahawa jawatan ini bukan untuk saya bersenang-lenang menggerakkan kuasa yang ada, tetapi inilah laluan perit dan sengsara yang mesti ditempuhi dengan ikhlas. Saya petik kata-katanya yang mengingatkan bahawa pemimpin PENA mestilah seorang yang “…jujur memikul amanah serta tanggungjawab bahasa, persuratan dan kebudayaan bangsa. Dia akan memberikan waktu dan fikiran secara sukarela dan ikhlas. Dia akan berfikiran rasional, matang dan bijaksana. Dia jenis manusia perjuangan, dan bersifat selalu hendak menyumbang dan berbakti kepada orang lain.”

Saya hanya membaca ucapannya ini dengan teliti baru-baru ini setelah mendapat salinannya daripada Dato’ Baha sendiri untuk dimuatkan dalam buku laporan tahunan yang diedarkan pada hari ini. Barulah saya sedar bahawa kata-katanya itu sangat tepat dengan gelumang waktu yang saya depani kini. Betapa berat menjadi manusia sukarela dan ikhlas sekali gus, sehingga yang sering terpaksa saya lakukan ialah melupakan kepentingan diri, malah kadang-kadang terpaksa menerima risiko atas tindakan yang tidak popular. Tetapi begitulah yang diujarkan orang tua-tua: kalau takut bermain ombak jangan berumah di tepi pantai.

Dalam setiap keadaan saya akan mengingati pesanan tersebut sebagai pegangan agar prinsip perjuangan saya tidak tersasar. Sesungguhnya Dato’ Baha dan Dato’ Ahmad Sebi sangat besar pengaruhnya dalam diri saya semasa meniti batas perjuangan dalam PENA terutama dari segi pengorbanan. Saya sangat yakin bahawa teman-teman dalam barisan jawatankuasa PENA juga mempunyai prinsip yang sama. Saya bertuah kerana mendapat teman yang sedemikian ikhlas berjuang, tanpa memikirkan imbalan mata benda dan kemasyhuran.

Ujian pertama yang saya terima selepas menjadi presiden ialah mendepani keceloparan golongan tertentu yang menggeser maruah Sasterawan Negara Abdullah Hussain apabila novel Interlok dijadikan modal untuk meraih populariti dan kepentingan politik (political millage). Namun demikian, alhamdulillah, saya tidak berseorangan menangani isu ini. Ramai sekali sahabat yang bersama-sama memberikan semangat dan bantuan sehingga PENA ketika itu menjadi besar seketika. Ketika itu, saya semakin yakin bahawa PENA bukannya sebuah persatuan kecil yang bersifat parokial atau hanya berpusat pada lingkaran ahlinya, tetapi merupakan sebuah organisasi yang bersifat nasional dan menjadi sandaran oleh masyarakat yang cinta akan bangsa dan nusanya.

Pada PENA tertumpu harapan masyarakat supaya bertindak dalam menghadapi setiap bentuk gugatan dan cabaran yang merempuh kedaulatan bangsa dan kepentingan nasional. Inilah sebenarnya PENA: sebuah organisasi yang memiliki legasi besar dalam sejarah memartabatkan budaya, bahasa, bangsa dan agenda nasional.

Cabaran yang menggodam kedaulatan bahasa Melayu merupakan agenda yang tidak pernah selesai. Sehingga kini, isu pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih berasap seperti api di dalam sekam. Biarpun penegasan dan tindakan birokrasi telah dilaksanakan oleh kerajaan, gugatan daripada segelintir pihak yang mendakwa kononnya mereka mewakili majoriti ibu bapa tetap menerjah. Mereka mendesak tanpa jemu supaya kerajaan membenarkan PPSMI dilaksanakan di sekolah tertentu bagi memenuhi kehendak golongan elit.

Premis yang digunakan oleh mereka jauh menyimpang daripada isu sebenar. Alasan mereka dalam mempertahankan PPSMI ialah perlunya bahasa Inggeris supaya anak-anak supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara. Padahal kefasihan berbahasa Inggeris bukannya diperoleh melalui subjek sains dan matematik. Selama ini pun anak-anak bandar daripada golongan bangsawan sedia petah berbahasa Inggeris lantaran lingkungan sosialnya yang tidak mempedulikan bahasa Melayu. Malahan pelajar yang tidak fasih berbahasa Inggeris pun tidak sukar untuk menyambung pelajaran di luar negara setelah melalui proses pembelajaran bahasa yang sistematik, bukannya dengan membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Mereka mengetepikan segala hujah yang lebih rasional , termasuklah hujah saintifik daripada pakar dalam bidang sains dan matematik bahawa penyampaian ilmu sains dan matematik lebih mudah mudah berlangsung dalam bahasa ibunda pelajar. Mereka hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mahu memikirkan maksud Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dimulakan pada zaman Tun Abdul Razak dahulu.  Mereka hanya nampak laluan cemerlang untuk golongan bangsawan dan tidak mempedulikan kesukaran yang dihadapi oleh guru dan pelajar di luar bandar seluruh negara. Mereka tidak mempedulikan akibat daripada wujudnya sekolah dua aliran dari sudut pembinaan sebuah negara bangsa.

Kerajaan telah bertindak tepat dengan memansuhkan PPSMI dan memperkenalkan program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI), kerana yang dikehendaki ialah penguasaan bahasa Inggeris, bukannya membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sesungguhnya pihak yang hanya memandang kemilau bahasa Inggeris lupa bahawa mereka berada dalam masyarakat yang berbahasa Melayu, di negara dan wilayah yang berbahasa Melayu, dan bahasa Melayu berfungsi sebagai alat penyatu bangsa, penyebar ilmu, peneguh kuasa ketuanan serta dapat membangunkan ekonomi. Kepada mereka elok kiranya disampaikan pesanan yang berikut:

Ke gunung emas pasir baiduri,
Ke padang zamrud habis diedari,
Terbang bangau sepanjang hari,
Ke tasik juga akhirnya dicari.

Dalam perkembangan terbaharu kita diyakinkan bahawa bahasa Melayu akan mendapat kedudukan yang terhormat dalam segala urusan kerajaan. Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semua mesyuarat, seminar dan surat-menyurat dalam sektor awam akan diwajibkan dalam bahasa Melayu. Galakan bagi penulisan buku ilmiah dalam bidang  sains dan teknologi  juga dirangsang oleh penyediaan dana sebanyak RM2 juta melalui Dewan Bahasa dan Pustaka. Universiti Kebangsaan Malaysia juga diperingatkan supaya kembali kepada asas penubuhannya, yakni menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran.

Semua ini berita baik bagi bahasa kebangsaan dan perlu kita sokong  kuat. Tetapi dalam masa yang sama kita juga mahu satu jaminan bahawa arahan ini dikuatkuasakan sepenuhnya tanpa kompromi. Selain itu, arahan ini juga wajar diperluas kepada syarikat yang berkaitan dengan kerajaan atau government linked company (GLC) kerana inilah medan tempur bahasa yang sangat sengit dan sering menumpaskan bahasa Melayu. Tentulah sukar bagi kita mengharapkan syarikat swasta untuk mematuhi arahan ini, tetapi bagi GLC, perkara ini bukan suatu kemustahilan.

Seterusnya, dana galakan penerbitan buku ilmiah sepatutnya diperluas kepada bidang  sains sosial kerana penghasilan manuskrip ilmiah bagi bidang ini tidak kurang sukarnya, termasuk dari segi penulisan, penerbitan mahupun pemasaran. Berilah peluang yang sama kepada penerbitan buku ilmiah dalam bidang bahasa, sastera, budaya, ekonomi, politik, pendidikan, dan sebagainya agar bahasa Melayu dapat dijadikan tonggak pembinaan ilmu.

Dalam konteks penggunaan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), bukan sahaja UKM perlu dipulihkan, malahan universiti lain juga mesti diberi tumpuan. Pernah berlaku wabak pengagungan bahasa Inggeris di semua IPTA, dan wabak ini masih berleluasa malah semakin tenat apabila kenaikan pangkat pensyarah dan pengambilan pensyarah baru tergugat oleh peraturan mewajibkan penerbitan dalam jurnal berbahasa Inggeris. Isu ini menimbulkan suasana huru-hara di kampus dan pengaliran keluar tenaga akademik semakin deras sejak akhir-akhir ini. Tampak sangat penerbitan dalam bahasa Melayu sudah gagal menjadi wadah memperlihatkan kecemerlangan ilmu dalam dunia akademik.

Sebenarnya terlalu banyak perkara yang wajar kita tangani, sekurang-kurangnya dengan cara memberikan teguran. Tetapi dalam keadaan tertentu keterbatasan upaya menyebabkan langkah kita perlahan.  Namun begitu, ini tidak bermakna PENA merestui segala peristiwa yang menggugat maruah bahasa, budaya, dan persuratan kebangsaan. Ada ketikanya memang kita tidak mempunyai kapasiti yang cukup untuk bertindak, tetapi ada waktunya kita memilih untuk bertindak dengan cara tersendiri.

Barangkali tidak semua perkara akan ditangani secara konfrontasi kerana adakalanya strategi yang sesuai perlu digunakan supaya tidak merosakkan perancangan. Kita tidak mahu orang lain mendapat nasi, kita hanya mendapat keraknya.  Tanpa berniat memperkecil usaha pihak-pihak lain yang bertindak dengan kepercayaan dan strategi masing-masing, jika PENA memilih untuk bertindak dengan cara lain, tentulah ada sebabnya. Seboleh-bolehnya kami mahu mencermati peringatan berhikmah ini:  Jangan bijak terpijak, biar bodoh bersuluh.

Pada tahun 2011 genaplah 50 tahun PENA berdiri di tengah-tengah masyarakat apabila ditubuhkan pada tahun 1961 walaupun pendaftarannya hanya diluluskan pada tahun 1962. Menyambut ulang tahun ke-50 ini PENA akan meraikannya dalam satu majlis pada 16 Disember 2011. Kami sangat berharap dapat mengumpulkan semua ahli PENA, terutama mantan pemimpinnya dalam satu majlis. Kami akan berusaha untuk meraikan mereka juga sebagai tanda penghargaan PENA terhadap segala sumbangan mereka selama ini.

Pada majlis itu juga kami akan membuka penyertaan kepada semua penulis, budayawan, dan sasterawan tanpa mengira keahlian persatuan kerana dengan tarafnya sebagai persatuan bersifat nasional, PENA wajar menjadi medan pertemuan yang nasional juga sifatnya. Dengan penuh harapan saya bagi pihak seluruh ahli jawatankuasa PENA mempelawa semua penulis untuk mengesahkan kehadiran mereka kepada pihak urus setia nanti.

Sempena menyambut 50 tahun PENA juga kami akan menganjurkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-3 pada 16-18 Disember 2011 dengan kerjasama beberapa pihak yang setakat ini terdiri daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara Malaysia, Akademi Kenegaraan Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, dan Jabatan Perdana Menteri sendiri. Program ini juga sebenarnya terbuka kepada penyertaan semua penulis tanpa mengira usia dan keahlian persatuan.

Saya menyedari bahawa telah wujud tanggapan daripada masyarakat penulis bahawa tumpuan PENA selama ini seolah-olah terlalu berfokus kepada penulis muda. Sebenarnya tidak demikian kerana kebetulan yang menggerakkan segala aktiviti ialah penulis muda tetapi penyertaannya terbuka kepada semua peringkat umur. Kami juga menganjurkan pelbagai program sama ada secara berkala mahupun tidak berkala untuk semua penulis tanpa mengira usia tetapi malangnya kehadiran penulis veteran begitu kecil. Mungkinkah kurangnya kehadiran itu disebabkan tiada penulis veteran yang menjadi penggeraknya?  Jika itulah puncanya, apalah yang dapat dikatakan lagi kerana ketiadaan penulis veteran sebagai penggerak aktiviti di luar bidang kuasa kami.

Secara terbuka saya telah dan sentiasa mempelawa penulis veteran untuk bersama kami menggerakkan sebarang aktiviti yang relevan, dan kami akan cuba mencari dana yang diperlukan.  Marilah kita sama-sama menjadikan PENA sebagai medan menyuburkan persuratan, bahasa, dan penerbitan. Manfaatkanlah Rumah PENA ini semaksimum mungkin kerana inilah satu-satunya rumah yang indah dan kawasan yang luas dipinjamkan oleh kerajaan kepada persatuan penulis yang bertaraf keahlian individu.

Seboleh mungkin kami mahu meluaskan ufuk aktiviti kami di rumah yang indah ini. Kami membuka pintu kepada pihak-pihak yang mahu bekerjasama menjalankan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan sastera, bahasa, dan kesenian lainnya. Selain acara bulanan yang dijalankan, iaitu acara baca puisi pada setiap malam Sabtu minggu pertama, Dialog Orang Muda dan Borak Buku pada setiap Ahad ketiga, dan baca naskhah oleh Sindiket Soljah, kami juga menyediakan khidmat penerbitan buku. Biro Penerbitan PENA sedia menguruskan penerbitan sesiapa sahaja dari peringkat penyuntingan hingga percetakan termasuk urusan dengan Perpustakaan Negara Malaysia untuk pendaftaran. Selain itu, acara tidak berkala akan dilaksanakan mengikut keupayaan dan keperluan.

Sepanjang saya menerajui PENA tentulah banyak kelemahan dan kesilapan saya dan saya bertanggungjawab atas segala kelemahan itu. Tanpa ragu saya memohon maaf atas kekurangan itu, tetapi tidaklah bermakna saya memohon simpati untuk kekal sebagai presiden pada mesyuarat pemilihan akan datang. Pemimpin datang dan pergi, tetapi perjuangan PENA tetap teguh di atas paksinya.

Pada kesempatan ini sukacita juga saya merakamkan rasa terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa PENA yang telah berdiri sama lelah, terduduk sama penat dengan saya. Mereka telah berfungsi dengan cemerlang dan sumbangan mereka sukar untuk dinilai dengan apa pun. Mereka banyak menggunakan wang sendiri untuk sebarang kerja bagi menghidupkan PENA kerana tabung PENA sudah susut dan tidak mampu menampung kos pengangkutan dan makan minum mereka, apatah lagi tenaga dan waktu.

Sekali lagi, terima kasih kepada semua yang hadir dan berbakti dalam majlis kita pada hari ini. Semoga pertemuan ini akan menyuburkan rasa ukhwah antara kita dan mempertingkatkan semangat untuk bersama-sama menggemburkan tradisi persuratan dan bahasa kebangsaan.