Memartabat Bahasa Melayu Melalui PENA

UCAPAN PRESIDEN PENA, BAHA ZAIN, PADA MESYUARAT AGUNG PENA KE-47 DI RUMAH PENA, PADA 3 OKTOBER 2010

1. Perhimpunan kita pada pagi ini cukup istimewa kerana ada dua tiga perkara yang penting. Pertama kita masih berada pada bulan Syawal, bulan yang meraikan kemenangan kita (masyarakat Islam) yang menunaikan fardu puasa pada bulan Ramadhan−bulan yang menjadi penghulu daripada segala bulan. Mudah-mudahan setiap kita yang telah menyempurnakan puasa, kini kembali kepada fitrah dengan hati yang bersih, fikiran yang lurus, dan terpilih sebagai salah seorang yang bertakwa.

Dengan itu izinkan saya memanfaatkan kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, dan memohon ampun dan maaf, atas setiap kesalahan zahir dan batin, kepada semua ahli PENA, sahabat serta kenalan, terutama anggota Jawatankuasa Kerja PENA. Kita, di kalangan Jawatankuasa, sering berbincang, berbeza pendapat, dan mungkin ada yang tersinggung dan berkecil hati. Mari kita lupakan semua itu, dan bersama-sama menuju ke tahap perjuangan budaya yang lebih tinggi agar para penulis dihormati seperti pada zaman dahulu, dan tamadun bangsa kita terpandang di muka dunia.

2. Perkara yang kedua, pada pagi ini, Insya-Allah, kita akan memilih pucuk pimpinan PENA yang baru bagi tahun 2010-2012.Pilih dan undilah siapa sahaja yang saudara suka dan yakin bahawa dia akan jujur memikul amanah serta tanggungjawab bahasa, persuratan dan kebudayaan bangsa. Dia akan memberikan waktu dan fikiran secara sukarela dan ikhlas. Dia akan berfikiran rasional, matang dan bijaksana. Dia jenis manusia perjuangan, dan bersifat selalu hendak menyumbang dan berbakti kepada orang lain.

3. Saya berasa perlu menyebut sekaliannya itu kerana PENA tidak mempunyai wang ringgit bagi membalas jasa, waktu, tenaga dan fikiran ahli-ahlinya. Aset besar yang ada pada PENA adalah iltizam, kreativiti, fikiran kritis, dan keghairahan bergiat secara sukarela. Itulah yang menggerakkannya selama ini. Dalam satu segi mungkin ada yang berfikir bahawa dengan sumber daya ahli yang kreatif dan aktif itu, dan dengan kawasan luas serta bangunan rumah yang terpacak di tengah-tengah kota metropolitan, bodoh juga PENA kalau tak dapat menjana transformasi untuk memperoleh banyak untung.Kalau berfikir macam itu memang PENA telah melalaikan peluang serta kemudahan, kalaupun tidak cerdik.

4. Bercakap tentang untung rugi dalam rangka yang lebih besar, di luar ukuran kuantitatif ringgit dan sen, PENA telah memberi sumbangan yang hebat kepada bangsanya. Mulai tahun 2002 hingga ke tahun 2009, Pena telah menghumbankan dirinya untuk bersama dalam arus serta gelombang menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Alhamdullillah dasar itu telah diwaraskan oleh pemimpin kerajaan yang baru dengan gagasan, “Meningkatkan Bahasa Inggeris dan Memartabatkan Bahasa Melayu”. Pertingkatkanlah bahasa Inggeris. PENA sokong kuat. Bahasa Inggeris adalah bahasa global yang penting sebagai alat dalam persaingan diplomatik, teknologi dan ekonomi antarabangsa.

5. Hanya sekarang PENA harus berfikir dan mengkaji secara teliti segala aspek pemartabatan Bahasa Melayu itu. Tidaklah banyak maknanya kalau BM itu hanya digunakan di sekolah rendah sahaja, sedangkan falasafah perjuangan BM itu ialah memartabatkannya sampai menjadi bahasa ilmu pengetahuan moden. Jadi ia mesti terpancar dalam semua aspek kehidupan pentadbiran, ekonomi, sosial dan pendidikan tinggi .

Bahasa Melayu membentuk jati diri, dan BM itu adalah asas bagi kewujudan mental kita (the basis of our mental existence). Inilah tugas dan tanggungjawab moral yang besar bagi ahli-ahli jawatankuasa kerja yang akan diundi pada bagi ini; dan tanggungjawab inilah juga yang harus ditangani oleh semua ke 23 badan penulis yang ada di Semenanjung, Sabah dan Serawak.

6. Perkara ketiga yang ingin juga diperingatkan di sini ialah tiga empat bulan lagi PENA akan menempuh usianya yang ke-50. PENA akan meraikan jubli peraknya. Rupa-rupanya ia sudah menempuh alam dewasanya. Beberapa orang perintisnya telah meninggalkan kita seperti Keris Mas, Tan Sri Samad Ismail, Asraf, dan Usman Awang. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh mereka sekalian yang berjasa. Pada hari ini masih ramai pemimpin-pemimpin yang lalu seperti Dato’ Hassan Ahmad, Prof. Bakar Hamid, Dato’ Mohd Nor Azam, Tan Sri Adam Kadir, Yahaya Ismail, Dato’ Anwar Ridhwan, Dato’ Kemala, dan Dato’ Ahmad Sebi masih berada di sekitar K.L. Terserahlah kepada ahli Jawatankuasa yang baru bagaimana hendak mengingati persitiwa dan ulang tahun yang bersejarah ini.

***

7. Ahli-ahli PENA yang muda sekarang ramai terdiri daripada ilmuwan, wartawan, pendidik dan pelajar yang menulis puisi, cerpen, esei, novel, dan kritikan. Walaupun kegiatan penulisan kita berlegar di sekitar kehidupan kesenian (seperti juga kawan-kawan kita dalam lapangan perfileman, seni lukis, teater, muzik, dan seni persembahan lainnya), karya seni itu tidaklah boleh dianggap berdiri sendiri (autonom); dan tidak pula hanya bersifat heteronom, yakni sangat ditentukan atau bersangkut paut, dan dibentuk oleh gerakan-gerakan sosial dan moral di sekelilingnya.

8.Perubahan sosial-ekonomi memberi kesan terhadap perubahan moral. Ia juga akan memberi akibatnya terhadap kesenian. Pembangunan industri, perumahan, desa dan kota akan merombak ikatan jalinan sosial, nilai-nilai dan pola-pola tingkah laku. Apa yang dianggap biadab dan salah laku dalam masyarakat biasa, tak menjadi masalah bagi sesetengah orang di dataran-dataran bangunan mega, dan di apartmen yang moden. Dalam waktu yang sama ia memberi kebebasan luar biasa untuk orang mengucapkan emosi, fikiran dan daya kreatif. Pembangunan ekonomi dan sosial tak boleh pula dinafikan semata-mata kerana kita takut terjadinya eskes-ekses sosial, kegoncangan moral dan etik. Semua ini berlaku di Malaysia dalam satu situasi multibudaya yang lahir daripada amalan hidup pelbagai kelas sosial, dan pelbagai keturunan, agama, bahasa, dan adat resam. Pada hari ini sahaja Malaysia sedang dihuni oleh sekitar tiga juta rakyat asing yang bekerja di merata tempat.

9. Sekarang kita berhadapan pula dengan keadaan yang lebih kompleks dan rumit apabila di lapangan politik, pihak-pihak yang bersaing merebut kekuasaan, sedang rancak memasang strategi dan taktik, propaganda dan kempen, dengan penyertaan media arus perdana serta media sosial yang bebas serta pantas. Sasterawan dan seniman sedang duduk di atas bahan penulisan yang menimbun banyaknya; dan dalam waktu yang sama mungkin ada yang sudah tenggelam di dalamnya atau bersetuju mengikuti arus fahaman politik tertentu.

10. Setiap hari pula kita berhadapan dengan slogan, akronim, ungkapan, seruan dan iklan tentang: Malaysia Truly Asia; 1 Malaysia: Menjana Transformasi; 1 Malaysia: 4 Languages, 1 Channel; Program Transformasi Ekonomi; NKEA ( Bidang Ekonomi Utama Negara); kreativiti dan inovasi dll. Bukan semuanya ungkapan ini difahami oleh rakyat jelata. Tetapi bolehkah golongan penulis intelektual memejamkan mata dan memekakkan telinganya terhadap semua ini sedangkan dasar, program dan pelaksanaan di sekelilingnya akan tetap memberi tempias pada kegiatan penciptaannya dan idealisme keseniannya? Bolehkah orang yang selalu memikir-mikir , bersikap masa bodoh; dan tak ambil peduli? Peduli atau tidak peduli, perubahan-perubahan ekonomi, politik dan sosial akan tetap memberi kesan terhadap perkembangan moral dan kesenian. Bagaimanakah penulis dan seniman mentafsir untuk memahami persekitarannya?

11. Berbeda daripada kumpulan ilmuwan yang mencari kebenaran melalui fikiran yang rasional-analitis dan metode yang empirikal; seniman terpaksa bergantung pada refeleksi dirinya dengan metode kritik sosial dan ketajaman intusinya. Kalau orang politik mempunyai semangat yang tinggi, dan keghairahan (passion) terhadap politik dan kekuasaan; orang seni harus mempunyai semangat yang mendalam, dan keghairahan (passion) terhadap kesenian dan kebenaran. Namun tidaklah pula bererti bahawa passion for arts and truth harus selalu berkonflik dengan passion for politics and power. Kedua-dua belah pihak boleh duduk sebelah-menyebelah seperti gentlemen apabila kita sama-sama mempunyai keghairahan terhadap kemajuan budaya dan tamadun bangsa.

11. Tadi saya ada menyebut tentang keadaan multibudaya, perubahan sosial dan moral, dan pelbagai laungan, ungkapan dan akronim yang lebat dalam media di negara ini sehingga demikian banyaknya sampai ramai yang berasa tidak jelas apa maknanya. Malahan ada yang menerimanya begitu sahaja tanpa berasa apa-apa. Tidak kurang pula yang bertanya hendak ke mana kita ini.

Apabila pucuk pimpinan negara menyebut istilah 1 Malaysia, muncul pula pemimpin politik lain tanpa segan silu menuntut hak-hak untuk kaumnya, seolah-olah 1 Malaysia itu adalah satu poetic license, satu pintu terbuka: masukkanlah apa-apa sahaja, gambar apa sahaja, ke dalam bingkai nasional itu.Lebih-lebih lagi kita telah agak gelojoh menjual imej negara dengan “Malaysia Truly Asia”, satu slogan, tag line atau catchword kempen yang seolah-olah berkata Malaysia ini adalah rumah bagi segala macam wajah dari negara Cina, India, Jepun, Korea, Vietnam, Myanmar dll kecuali dirinya sendiri . Kita seolah-olah tak ambil peduli tentang sejarah, bahasa, identiti, dan etos bangsa kita oleh kerana dua tujuan utama yang selalu menjadi dorongan perlakuan politik , iaitu kekuasaan dan perniagaan. Faktor inilah juga yang hampir-hampir menjerumuskan bahasa Melayu ke longkang kemodenan tidak lama sebelum ini, seolah-olah seperti mencampakkan anak haram luar nikah di tepi-tepi jalan sebagaimana yang banyak berlaku dalam masyarakat moden Malaysia sekarang.

12. Perihal masyarakat kita yang majemuk dan multibudaya ini sangat menyulitkan kepemimpinan dan pentadbiran negara, terutama apabila sistem demokrasi popular yang diamalkan memberi peluang yang luas untuk bersuara dan berpatisipasi dalam pilihan raya. Barangkali menginsafi akan hal inilah pemimpin-pemimpin perintis kemerdekaan telah cukup proaktif serta bijaksana meletakkan asas -asas, tonggak atau basic structure Perlembagaan Persekutuan beberapa dekad yang lalu. Lunas-lunas yang ditentukan dalam perlembagaan itu cukup adil terhadap sejarah, tradisi dan kedudukan ekonomi majoriti masyarakat Melayu, tanpa menutup peluang ekonomi dan menindas amalan-amalan bahasa, budaya, pendidikan, adat resam serta kepercayaan agama kaum minoriti lain.

13. Dalam Perlembagaan Malaysia asas-asas bagi kehidupan bernegara, bahasa, budaya, agama dan sosial itu sudah cukup jelas. Perkara 3, adalah tentang Islam sebagai agama Persekutuan; Perkara 38, tentang Majlis Raja-Raja; Perkara 152, tentang bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan; dan Perkara 153, tentang hak-hak keistemewaan orang Melayu. Empat peruntukan tersebut hanya boleh dipinda dengan persetujuan Raja-Raja Melayu. Namun Perkara 89, tentang tanah rizab Melayu memang boleh dipinda atau ditiadakan dengan kelulusan majoriti 2/3 Parlimen.

Dalam Perlembagaan Persekutuan istilah ‘Melayu’ itu (Perkara 160), ditakrifkan sebagai mereka yang berbahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan adat Melayu. Jadi di sinilah letaknya “kemelayuan”,atau “Malayness” Melayu itu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Siapa sahaja boleh dianggap Melayu dengan sifat-sifat yang demikian, sama ada dia berdarah Jawa, Banjar, Iban, Cina, India atau Arab. Dengan sifat-sifat dan watak kemelayuan inilah sesiapa sahaja layak menjadi Perdana Menteri atau Menteri Besar. Saya kira ini suatu keputusan yang sangat rasional dan dinamik, dan sangat penting bagi negara bangsa Malaysia.

14. Justeru kukuhnya kedudukan bahasa Melayu, budaya, agama Islam dan masyarakat Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi kenapa dalam kenyataannya majoriti Melayu itu masih ketinggalan, terutama dalam kegiatan ekonomi dan perniagaan, dan dalam lapangan pemilikan ekuiti korporat. Ekonomi kita tak pernah dikatakan mundur (kecuali sewaktu krisis kewangan 1997), dan setiap tahun tumbuh dan maju ke depan dengan pembangunan hartanah yang mewah dan mahal-mahal. Apakah pertumbuhan itu tidak disertai dengan pengagihan distribusi yang adil di tengah-tengah majoriti Melayu yang ketinggalan? Nah! hari ini kita mendengar masyarakat Melayu sedang berada dalam kebimbangan besar akan hilang kekuasaan. Apakah ini suatu kenyataan atau suatu fobia atau suatu mitos sahaja? Kalau memang suatu kenyataan, di mana salahnya?

14. Saya tidak bertujuan untuk mengemukakan jawapan terhadap keadaan sosial-politik yang rumit dan susah ini. Ini bukan dalam bidang dan kemampuan PENA. Saya hanya ingin menyegarkan kesedaran dan mencabar fikiran kawan-kawan penulis. Apakah yang PENA (sebagai badan bukan kerajaan) dapat sumbangkan bagi mencerahkan masa depan negara yang sangat berpotensi ini, walaupun rakyatnya mengidap pelbagai konflik politik, perkauman, agama dan sosial. Pembangunan dan kemodenan yang berasaskan budaya Amerika-Eropa tidak mungkin menyelesaikan masalah 1 Malaysia itu. Cara berfikir liberal yang taasub kepada kebendaan, kebebasan individu dan kebebasan bersuara pula akan mempertajam prasangka serta kecemburuan kaum, dan bukannya mewujudkan keraian terhadap kekayaan aneka ragam tradisi dan budaya. Setiap kaum perlu menerima kehadiran kaum lain untuk hidup sebelah-menyebelah, tetapi tidak boleh menerima amalan-amalan yang haram dan tidak bermoral dari segi kepercayaan agama masing-masing, terutama agama Islam yang menjadi agama Persekutuan atau agama rasmi negara ini .

Dalam konteks inilah saya kira kita patut lebih banyak bercakap tentang kemelayuan (Malayness) dan bukan ketuanan Melayu. Apa guna kita bertuankan Melayu kalau dia sendiri menghancurkan agama Islam, bahasa Melayu, kebudayaan Melayu dan institusinya.

15. Jadi cabaran-cabaran moral dan intelektual kepada pucuk pimpinan PENA khasnya, dan kaum seniman amnya semakin besar dan rumit pada beberapa tahun yang akan datang ini. Dalam jangka 10 tahun akan datang, melalui Program Transformasi Ekonomi, kerajaan bercadang meningkatkan pendapatan per kapita daripada RM23,770 sekarang kepada RM48, 000 pada tahun 2020. Kemajuan ekonomi secara teorinya akan memakmurkan rakyat jelata. Perubahan sosial yang lahir daripada pendapatan yang tinggi, boleh diandaikan, akan menggoncang nilai-nilai budaya serta gaya hidup masyarakat.

Kita tidak menolak kemajuan ekonomi, kemodenan negara, dan perubahan sosial. Akan tetapi kita tak mahu mengulangi jenis pembangunan prasarana, industri, teknologi dan ekonomi, tanpa pembangunan sosial yang adil, bermoral dan beretika.

Kita juga mencari masyarakat yang beragama, berakal budi, dan celik sejarah serta budaya. Kita tak boleh mengharapkan semua nilai-nilai sosial yang positif ini lahir secara automatik daripada kemajuan ekonomi. Ia harus dirancang secara sedar, dan menjadi bahagian yang integral daripada perancangan sosial dan ekonomi kebangsaan. Bagaimanakah kerajaan mengambil kira dan memasukkan aspek pembangunan kemanusiaan ini di dalam rancangan jangka panjangnya?

16. Sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang ahli-ahlinya memegang kekuasaan intelektual untuk mempengaruhi persepsi, fikiran, dan pendapat awam, baik melalui karya dalam media cetak atau media elektronik (blog, youtube, facebook, twitter, dan SMS), malahan dalam dialog dan seminar, marilah kita menjadi pemerhati sosial yang tekun, dan pemikir yang tajam untuk mengembangkan nilai-nilai agama kita, jati diri budaya yang berakar daripada sejarah serta tradisi Nusantara, dan imej Malaysia yang berasaskan semangat perlembagaan negara. Marilah kita berganding bahu, berkerjasama dan tolong-menolong dengan rakan-rakan seniman di lapangan penciptaan kesenian lain yang rata-rata memiliki impian budaya dan nasib yang sama seperti penulis.

16. Bagi pihak ahli-ahli Jawatankuasa PENA, saya ingin menjunjung budi dengan ucapan terima kasih kepada sekalian yang hadir kerana saya tahu benar tidak mudah untuk datang meninggalkan keluarga pada hujung minggu begini. Saya mohon maaf atas apa jua kesilapan dan kelemahan diri saya dan kawan-kawan dalam Pena selama ini. Dan terima kasih jua atas toleransi serta kesabaran hadirin terhadap ucapan yang panjang setahun sekali ini.