Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Penulis Malaysia di Jitra, Kedah

Ucapan Presiden PENA dalam Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Penulis Malaysia di Darulaman Golf and Country Resort, Jitra, Kedah pada 24 Oktober 2014

Oleh: Mohamad Saleeh Rahamad

Marilah kita rafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya mengizinkan pertemuan pada malam ini dan sehingga berakhirnya Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) selama tiga hari dua malam di tempat yang indah dan permai, Darulaman Golf and Country Resort, Jitra, Kedah ini.

Bagi pihak Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) khususnya, dan seluruh penulis yang menyertai SKPM, saya sampaikan rasa berbahagia yang tidak terhingga kerana kami dapat berkumpul dalam suasana keilmuan dan persaudaraan yang hangat dan mesra. Lebih penting daripada itu, kami dapat menikmati kemurahan hati YAB Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah Darulaman yang merestui Bina Darulaman Berhad, anak syarikat kerajaan Negeri Kedah yang diterajui oleh Yang Berbahagia Dato’ Izham Mohd Yusof untuk menjadi tuan rumah kepada pertemuan keluarga besar penulis tanah air ini.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada YAB Dato’ Seri Mukhriz kerana sudi menjadi penaung dan seterusnya merasmikan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ini.

Bukan mudah sebenarnya bagi golongan penulis untuk mengecapi kemurahan budi golongan korporat mahupun politik.

Oleh itu, pemberian ini pada kami sangat luar biasa. Kami berharap langkah ini akan turut membuka hati peneraju badan korporat dan pemimpin lain untuk berbuat kebaktian yang serupa.

Kalau tidak kerana kunci,
Tidak terbuka pintu almari;
Kalau tidak kerana budi,
Manakan kami datang ke mari.

Selain itu, tentu sahaja En. Mohd Khair Ngadiron yang menerajui Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) berhak menerima pujian dan penghargaan yang sama. Benar, PENA bersama-sama ITBM dan Bina Darulaman Berhad menjadi pengajur bersama, tetapi PENA tidak memiliki keupayaan untuk mendanai semua keperluan bagi acara besar ini.

En. Mohd Khair yang tidak jemu-jemu membawa PENA bersama dalam penganjuran acara besar bagi kepentingan penulis tanah air juga telah menghubungkan PENA dengan Bina Darulaman Berhad. Oleh itu, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka berdua. Kami berdoa semoga mereka sentiasa dilindungi Allah SWT dan dapat terus membantu penulis dalam usaha kita membangunkan peradaban bangsa melalui persuratan.

Di samping itu, kami juga sangat menghargai kerjasama dan sumbangan material daripada beberapa pihak lain, iaitu Institut Wasatiyyah Malaysia, Biro Tatanegara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), ASASI Kedah, serta media massa yang telah membantu kami menghebahkan acara ini. Secara peribadi, saya juga ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua ahli jawatankuasa pelaksana SKPM yang telah bertungkus-lumus sejak beberapa bulan lalu demi memastikan pelaksanaan acara ini berjalan lancar.

Idea menganjurkan SKPM timbul daripada En. Mohd Khair sendiri. Pada ketika itu, berdasarkan pengalaman bekerjasama dengan beliau yang tidak pernah terhenti di sekerat jalan, saya pun segera menyetujuinya. Lalu kami pun memikirkan konsep dan namanya. Bagi menimbulkan imej tersendiri dan dengan hasrat menimbulkan kesan dan pengaruh yang lebih besar, kami menggunakan perkataan “sidang kemuncak”. Seingat saya, nama ini belum pernah digunakan oleh mana-mana pihak dalam penganjuran acara sastera.

Lanjutan daripada itu, kami dalam PENA telah bermesyuarat dan mengusulkan cadangan tentang konsep dan pengisian sebelum. Perubahan demi perubahan dilakukan secara bersama sehinggalah sampai ke tahap yang kita saksikan sekarang.

Penganjuran Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) ini bertujuan membuka medan perbincangan dengan menghimpunkan penulis daripada pelbagai kelompok dan strata untuk mencari dan membentuk gagasan bagi memenuhi tema “Sastera sebagai Teras Pembangunan Negara Bangsa”. Walaupun para cendekiawan dan budayawan terdahulu sudah memberikan pandangan yang sangat membina dan praktis, generasi kini perlulah membuat semakan semula dan menghantar gagasan baharu yang serasi dengan keperluan semasa. Seyogia kita sedari bahawa peredaran masa turut menuntut keperluan baharu dan gagasan yang lebih relevan.

Dalam hubungan ini, kesusasteraan merupakan satu bidang yang berpontensi untuk dimakmurkan dan diberi nafas sebagai pelakur utama pembinaan negara bangsa mengikut acuan negara ini. Pembinaan negara bangsa (nation-state) dalam konteks Malaysia tidak sama dengan konsep yang termaktub dalam perkiraan teori sains politik semasa.

Aspek yang menjadi kayu ukur kewujudan sesebuah negara bangsa ialah kesatuan bangsa, kesatuan ekonomi, kesatuan sosial dan kesatuan kebudayaan. Kesatuan bangsa tidak mungkin tercapai di Malaysia seperti yang wujud di negara-negara lain seperti Albania, Armenia, Bangladesh, Estonia, Jepun, dan Korea yang memiliki etnik asalnya membentuk majoriti lebih 90 peratus daripada keseluruhan penduduk. Begitupun, kita masih memiliki ruang untuk membentuk negara bangsa dalam acuan sendiri dengan bersandar pada tiang seri kebudayaan.

Kredit foto: Sallehudin Hj. Ibrahim

Satu kebudayaan kebangsaan melalui dasar kerajaan akan dapat mengaburkan jurang etnik dan ras. Apabila cara hidup yang sama diamalkan, satu bangsa telah wujud dalam perspektif politik. Satu dasar kebudayaan kebangsaan sudah dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 yang mengambil kira kebudayaan Melayu dan kebudayaan yang sesuai dari rantau ini yang tidak bertentangan dengan Islam sebagai paksinya.

Namun begitu, rumusan ini hanya kekal sebagai gagasan yang tidak tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan kerana tidak dikanunkan secara rasmi dan mengikut perundangan. Maka sampai saat ini gangguan demi gangguan terus berlaku daripada golongan agitator politik yang membawa agenda tersendiri.

Dengan situasi semasa, pembentukan negara bangsa yang benar-benar utuh sukar dicapai. Kesukaran itu tidak pula bermaksud mustahil. Selagi sifatnya fana, sesuatu yang wujud di dunia ini boleh berubah. Lantaran itu, dengan kapasiti yang dimiliki oleh dunia sastera, usaha perlu dilakukan, iaitu dengan menjadikan kesusasteraan sebagai pemangkin pembentukan negara bangsa. Dengan sifatnya sebagai pelentur yang lunak dan ideologikal, kesusasteraan boleh menyalurkan tenaga hegemoni untuk membina peradaban bangsa yang kita impikan.

Para sasterawan, penulis, dan budayawan, merupakan aset penting sesebuah negara. Daripada merekalah terhasilnya harta intelektual yang berfungsi sebagai cerminan ketinggian harkat sesebuah peradaban.

Namun demikian, golongan ini kurang diberi perhatian dalam agenda pembangunan negara mahupun pembangunan kebudayaan. Konsep kebudayaan sering terarah kepada kesenian bercorak hiburan. Lantaran itu, pemain industri inilah yang mendapat sorotan dan penilaian tinggi. Ini tidak lain berpunca daripada ragam dunia komersialisme dan kapitalisme yang mementingkan keuntungan mataerial jangka pendek.

Bagi pihak persatuan penulis, kami tidak dapat menyembunyikan keharuan dan kesedihan melihat situasi yang mengepungi hidup para sasterawan dan penulis sedangkan merekalah yang memberikan sumbangan besar kepada imej sesebuah peradaban dan negara bangsa. Bayangkan jika negara kita tiada sasterawan dan tiada karya sastera diterbitkan. Apakah rupa dan wajah negara ini tanpa persuratan sedangkan dalam mana-mana peradaban, persuratanlah yang masih kekal membuktikan kewujudannya walaupun kota dan kebudayaan materialnya sudah musnah dalam hakisan sejarah.

Tidakkah kita menyaksikan kebanggaan tamadun Yunani dengan adanya Iliad dan Odyssey tinggalan Homer; India dengan Ramayana dan Mahabrata; Inggeris dengan epik Beowulf; Bugis dengan adanya La Galigo; Jawa dengan Nagarakretagama tinggalan Mpu Prapanca; malahan peradaban Melayu dengan Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-Raja Pasai, Tuhfat al-Nafis dan sebagainya.

Dalam konteks moden, peradaban Inggeris sangat berbangga dengan senimannya Chaucer, Shakespeare, Dickens; Russia dengan Pushkin, Tolstoy, Fyodor Dostoyevsky, Perancis dengan Cervantes dan Victor Hugo; Amerika dengan Hemingway, Steinbeck, dan Pearl S. Buck dan negara kita juga telah meraih banyak manfaat daripada karya Abdullah Munsyi, Syed Sheikh al-Hadi, Harun Aminurrashid, Keris Mas, Usman Awang, Adibah Amin, Shahnon Ahmad, dan lain-lain. Bayangkan sekiranya kita tidak memiliki sasterawan. Di manakah letak duduknya negara ini jika disejajarkan denan negara-negara lain yang setaraf dengan kita dari segi ekonominya?

Oleh hal yang demikian, golongan sasterawan dan penulis ini perlu diberi penghormatan dan perhatian. Mereka menghasilkan karya untuk negara bangsa ini tetapi imbalan yang diperoleh mereka tidak setimpal dengan sumbangannya. Keterbatasan pasaran ekoran daripada saiz negara yang kecil dan ditambah pula dengan persaingannya dengan bidang kebudayaan yang bercorak hiburan yang lebih komersial menyebabkan para sasterawan dan penulis kita hidup dalam selirat kepayahan.

Tidak perlulah saya huraikan makna kepayahan mereka tetapi cukuplah saya katakan bahawa sekian ramai penulis yang telah mendahului kita meninggalkan sejarah sengsara; manakala bagi penulis yang masih berkarya, mereka akan mengucapkan kesyukuran dan terima kasih beribu-ribu kali hanya disebabkan buku mereka diterbitkan dan mendapat sedikit royalti yang akan habis dalam masa sehari dua untuk membayar hutang.

Sukalah saya menarik perhatian YAB Dato’ Seri bahawa kedatangan para penulis ke pertemuan ini dengan pembiayaan penuh daripada penaja yang murah hati disambut dengan kegembiraan. Bagi kami, penajaan untuk mereka tidaklah seberapa besar jika dibandingkan dengan penajaan lumayan yang diperoleh para perwakilan parti politik dalam setiap perhimpunan agung di Kuala Lumpur. Bukankah antara sasterawan dengan ahli parti politik, tidak berbeza dari segi sumbangannya kepada negara?

Kredit foto: Shasha Shakierah

Sehubungan dengan itu, pertemuan besar kita ini boleh disifatkan sebagai perhimpunan agung penulis Malaysia. Oleh itu, kami berharap acara ini akan dapat diteruskan pada setiap tahun dengan kapasiti yang lebih besar dan pengisian yang lebih bermakna. Di samping itu juga, kami berharap, pemimpin-pemimpin politik dan tokoh-tokoh korporat sama ada yang berada bersama-sama kita mahupun yang lain dapat memberikan sinar baharu kepada dunia sastera dan sasterawan di negara ini. Kami menunggu pengumuman indah daripada YAB Dato’ Seri dengan wajah bercahaya dan hati dihujani kebahagiaan.

Bukan saya pergi ke Daik,
Sudah ke daik menali benang;
Budi baik dibalas baik,
Sudah baik selalu dikenang.

Sebelum menamatkan ucapan, saya memohon ampun dan maaf kepada YAB Dato’ Seri dan hadirin sekalian seandainya ada kecacatan dalam ucapan saya dan juga dalam pelaksanaan SKPM selama tiga hari dua malam ini.