Larangan Berpantun dalam Acara Rasmi Angkatan Tentera Malaysia

Disiarkan: 5 November 2018

Kenyataan media Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) tentang larangan berpantun dalam acara rasmi Angkatan Tentera Malaysia.

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) memandang berat larangan menyisipkan pantun dalam skrip pengacara majlis rasmi Angkatan Tentera Malaysia seperti yang termaktub dalam surat bertarikh 2 November 2018. Walaupun Bahagian Hal Ehwal Angkatan Tentera Malaysia sudah mengeluarkan kenyataan media pada 5 November 2018 yang menjelaskan maksud sebenar larangan itu, masih wujud beberapa perkara yang mengelirukan.

Surat arahan larangan diterbitkan ATM bertarikh 2 November 2018.

Dalam surat arahan pertama jelas dinyatakan bahawa penggunaan pantun dilarang dalam skrip pengacara majlis, tetapi dalam kenyataan media kemudiannya skop pantun itu telah diluaskan kepada maksud “seloka pantun dan jenaka” dalam majlis yang melibatkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja, dan pembesar negeri; acara perbarisan; dan acara rasmi yang dilaksanakan oleh ATM dan perkhidmatan ATM, TLDM dan TUDM.

Siaran akhbar ATM menjelaskan maksud larangan.

Isu pertama, kenyataan media itu sudah melebarkan skop pantun daripada yang dinyatakan dalam surat arahan pertama, seolah-olah bantahan oleh budayawan terhadap larangan itu tidak berasaskan perkara yang sebenar.

Isu kedua, pantun tidak boleh disamakan dengan seloka dan hanya bertujuan menimbulkan kelucuan, bahkan tetap berupaya menjaga etika dan tatatertib majlis rasmi. Pantun terungkap dalam pelbagai jenis, bukan setakat untuk bersenda gurau. Tentulah ada pantun yang manis bunyinya dan boleh digunakan dalam acara yang rasmi. Ini terletak pada kebijaksanaan pengacara untuk memilih pantun yang sesuai, dan pihak Angkatan Tentera Malaysia sendiri memiliki pengacara yang berkaliber untuk maksud itu.

Jika pantun digolongkan secara menyeluruh sebagai seloka yang menimbulkan kelucuan semata-mata, ada nada pelecehan dalam kenyataan tersebut, sedangkan pantun ialah khazanah budaya Melayu yang tinggi nilai intelektualitinya.

Jika pantun yang bagus dan sesuai digunakan, apakah ini akan mencacatkan majlis bersama dengan pihak istana sedangkan bahasa istana sendiri sangat indah dengan pantun dan perbidalannya.

Selain itu, untuk acara yang melibatkan anggota tentera sahaja pun pantun masih tidak menimbulkan masalah. Bukankah tentera juga manusia biasa yang akan terbelai jiwanya dengan bahasa pantun yang berkias.

Oleh hal yang demikian, kami berpandangan, penjelasan dalam kenyataan media itu sangat mengelirukan serta menyinggung perasaan Melayu yang kaya dengan nilai budaya bahasanya.

Jika dalam acara perbarisan yang keras serta rigid, dan penuh protokol serta tempohnya yang singkat, kita maklumlah bahawa pantun boleh ditinggalkan, tetapi untuk majlis lain, masih ada ruang untuk pantun. Sekurang-kurangnya arahan itu jangan diwartakan kerana cara tersebut akan terus menutup pintu, dan ada implikasi dari segi peraturan tentera sekiranya “dilanggar” pada ketika tertentu.

Kami bimbang sekiranya larangan ini membawa implikasi lain dari sudut semangat kebangsaan yang berteraskan budaya melayu sebagaimana yang tercatat dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Perlu disedari bahawa pantun ialah milik budaya Melayu, dan tiada terjemahannya dalam bahasa lain. Perancis pun menyebutnya sebagai ‘pantoum’. Oleh itu, kami berharap pihak yang berkenaan memikirkan semula larangan itu dan membiarkan pantun terus hidup dalam setiap acara yang sesuai.

Dr Mohamad Saleeh Rahamad

Presiden PENA