Jaringan Penulis Kunci Kemajuan

​Teks Ucapan Presiden PENA dalam Mesyuarat Agung PENA ke-58 di Rumah PENA, Kuala Lumpur pada 4 Disember 2021

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum WRT.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat bertemu sekali lagi dalam Mesyuarat Agung Tahunan PENA ke-58. Pertemuan secara fizikal ini, saya yakin, sangat dinanti-nantikan oleh ahli PENA lantaran sudah lama kita dipasung oleh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagi pihak Ahli Jawatankuasa Kerja PENA, saya meraikan kehadiran semua ahli pada hari ini untuk membantu kami menunaikan tanggungjawab organisasi. Kami juga yakin bahawa tuan puan sekalian gembira kerana dapat bertemu dengan kawan-kawan yang sudah lama tidak ditemui.

Begitulah yang sepatutnya. Persaudaraan sastera merimbunkan kasih sayang dan membenihkan pengkaryaan yang bagus-bagus. Kita perlu yakin bahawa pergaulan murni antara sesama warga sastera akan mampu mempertingkatkan darjah apresiasi, dan dengan itu, bertambah matanglah penulis dalam membuat penilaian terhadap karya sastera.

Tuan puan yang terhormat,

Dalam tempoh pandemik selama hampir dua tahun ini, pertumbuhan sastera seperti tidak terancam, terutamanya dari segi aktiviti. Biarpun pertemuan fizikal tergalang oleh peraturan, ada saluran lain yang lebih mudah dijalani.

Perhimpunan secara maya telah menambahkan jumlah pertemuan dan melebarkan ruang sehingga tiada sempadan lagi. Telah muncul banyak perkumpulan atau bentuk perbincangan, dan khalayaknya juga sudah berkembang.

Penerbitan buku juga mercup di tangan pemain industri buku bukan kerajaan kerana teknologi dan corak penerbitan juga sudah dipelbagaikan. Jika dahulu para penulis terlalu bergantung pada badan penerbit kerajaan, kini sesiapa sahaja boleh menjadi penulis dan penerbit.

Bukan sahaja itu, malahan bentuk perniagaan buku juga sudah berubah. Perniagaan dalam talian semakin relevan dan menjadi sandaran para pemain industri, baik yang besar mahupun yang bersifat individu.

Lantaran wujudnya corak penerbitan mandiri, para penulis baharu telah muncul dengan meriahnya.

Dapat disaksikan kini bahawa pergantungan sesama penulis merupakan kaedah yang sangat bermanfaat.

Mereka saling menyokong penerbitan sesama rakan penulis kerana mereka tahu akan pentingnya perkongsian dan perpaduan, bukan saling berdengki antara satu sama lain seperti dimaksudkan pantun yang berikut:

Baju baharu kain bertekat,
Baju belah pakai kerosang;
Bersatu padu kuat sa-ikat,
Kalau berpecah di-makan orang.

(Z’aba, Kalong Bunga, 1964: 163)

Percayalah, persaudaraan dan perpaduan merupakan kunci pembangunan dan kemajuan. Sebaliknya, jika persengketaan dijadikan alat untuk memajukan diri, nescaya dunia sastera kita akan berpecah-belah. Hadamkan maksud tersirat pantun ini:

Turun ka-sawah memakai tudong,
Padi di-huma layu lengkesa;
Sa-ekor sawa sa-ekor tedong,
Bersama2 mengadu bisa.

(Z’aba, Kalong Bunga, 1964: 164)

Peringatan oleh inteligensia Melayu dahulukala merupakan warisan akal budi yang bersumberkan pengalaman. Daripada pengalaman yang pahit, mereka mencipta pantun untuk membina keperibadian masyarakat agar bangsa Melayu, atau kalau dalam konteks yang lebih luas, masyarakat umum, tidak lagi terjerumus dalam sengketa yang pernah dilalui oleh mereka.

Hadirin yang dihormati,

Apabila kita meneliti buah fikir berseni sedemikian, sewajarnya kita hadamkan intisarinya dalam benak fikir bahawa karya yang indah dan berisi akan sentiasa hidup sepanjang zaman. Lalu apakah yang dapat kita kutip daripada perkara ini?

Tentulah kita perlu juga memikirkan kaedah untuk menghasilkan karya yang indah dan bermanfaat kepada manusia dan peradaban. Adapun konsep ini, yang indah dan bermanfaat, sudah menjadi teori pengkaryaan Yunani klasik sebagaimana kata Horace (8 Disember 65 SM– 27 November 8 SM) dalam bukunya Ars Poetica, “dulce et utile”. Malahan, konsep estetika sebegini pun tidak bertentangan dengan Islam kerana Islam juga sangat mementingkan manfaat dalam setiap pekerjaan.

Oleh hal yang demikian, para penulis wajar sentiasa memikirkan cara untuk berkarya atas prinsip itu, bukannya sekadar menghasilkan kreativiti tetapi gagal untuk memberikan manfaat kepada khalayak.

Barangkali, pandangan sebegini tidak disetujui oleh semua orang kerana dalam aliran falsafah yang membekas dalam dunia sastera wujud pelbagai teori pengkaryaan. Namun begitu, saranan ini terpakai dalam setiap penilaian atau penjurian; hanya yang menjadi perbahasan ialah konsep keindahan kerana sifatnya yang filosofikal.

Hadirin yang budiman,

Kenapa saya bangkitkan persoalan ini dalam masa kita sudah memasuki gerbang Revolusi Industri 4.0 yang kononnya segala sendi kehidupan kita akan berpaksikan internet, atau disebut internet of things?

Penyebutan hal sebegini bertujuan untuk mengajak para penulis agar, dalam ruang pengkaryaan mereka, teruslah memikirkan hal masyarakat.

Hadapilah persoalan yang berikut: Apakah masalah masa kini dan masa akan datang yang akan melingkari kehidupan masyarakat? Lanjutan daripada itu, adakah kita sudah memenuhi tanggungjawab kita agar setiap karya kita telah menyinggung permasalahan semasa, baik dalam soal politik, ekonomi, perpaduan, pembinaan negara bangsa, dan sebagainya? Adakah karya kita sudah memberikan pencerahan tentang perkara yang kompleks dan rancu?

Lebih jauh daripada itu, adakah karya kita sudah memberikan kesan kepada peribadi kita sendiri, bukan hanya bercakap tentang kelemahan dan kekurangan pihak lain? Inilah yang sukar dilakukan: semakin banyak kita berkarya, semakin teduh hati dan kian jernih peribadi sendiri. Semakin tinggi ilmu yang kita daki, maka semakin rendah hati kita tanpa mengharapkan pujian dan kemasyhuran. Adapun pandangan sarwa Melayu itu merupakan jalan memuhasabah diri seperti dipantunkan begini:

Kalau kundor menjalar tinggi,
Buah-nya tentu meruntun batang;
Kalau mashhor sengaja di-cari,
Dapat pun lekas merusut hilang.

(Z’aba, Kalong Bunga, 1964: 168)

Pengajaran lain yang dapat disingkap daripada permainan qalam ini ialah perlunya kita berhati-hati dalam meniti jambatan persuratan. Janganlah disebabkan ingin meraih kemasyhuran dengan segera, maka kita melakukan perbuatan yang salah.

Berkaryalah dengan cara yang betul, dan pelajarilah maksud “betul” itu agar mata kita tidak dikaburi kejahilan dalam memilih intan atau batu kerikil. Kejahilan kita tentang sesuatu tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan diri daripada kesalahan.

Jadilah penulis yang berilmu, yakni tahu akan erti kebenaran dan kepalsuan; faham akan makna keindahan dan kehodohan; mengerti akan maksud kebaharuan dan perulangan. Saya petik lagi pantun daripada buku Kalong Bunga susunan Z’aba (1964: 168) ini:

Angin bertunda ribut menderu,
Daun menari ka-hilir ka-hulu,
Pokok di-laman berliok lipat;
Yang sudah ada jangan di-tiru,
Buat sendiri benda yang baharu,
Itu-lah jalan nama terangkat.

Tuan dan puan yang dikasihi sekalian,

Tanggungjawab penulis bukan sahaja dalam lingkungan sesama kita. Penulis memikul amanah yang besar dalam masyarakat walaupun tidak memiliki lesen yang sahih, walaupun tidak diberi saraan secara langsung oleh mana-mana pihak.

Bagaikan ada akujanji bahawa setelah berenang di lautan sastera, golongan ini dituntut berfikir tentang kemaslahatan umum, tentang nasib bangsa, tentang maruah dan masa depan negara.

Oleh hal yang demikian, kita wajar menyatakan pendirian terhadap pemerintah dengan kaedah dan kapasiti yang kita miliki.

Baru-baru ini ada beberapa topik yang menjadi bahan perbincangan, iaitu pertama, kes tuntutan melalui mahkamah oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) agar sekolah vernakular menghentikan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar; kedua, saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap agensi kerajaan, GLC dan swasta di negara ini agar mereka menggunakan bahasa Melayu dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek serta produk mereka; ketiga, gesaan kepada kerajaan agar mengguna pakai teks sahih Perlembagaan dalam bahasa Melayu; di samping beberapa peristiwa yang menjurus kepada isu kedudukan bahasa Melayu.

Dalam kes sekolah vernakular, pelbagai pihak daripada parti politik telah membuat kenyataan yang mempertahankan sekolah vernakular termasuk oleh ahli politik Melayu. Barangkali demi menjaga hati pengundi, maka kenyataan sedemikian dikeluarkan.

Bagi PENA, kami bersama-sama menjunjung perjuangan memartabatkan bahasa Melayu atas kedudukannya yang jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu tidak dapat menerima alasan politikal berkenaan. Seperti kata Peguam yang mewakili palintif dalam kes, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, para politikus yang mempertikaikan tuntutan melalui mahkamah itu hendaklah diam menunggu mahkamah menjalankan peranannya.

Selain itu, gesaan Perdana Menteri agar bahasa Melayu digunakan oleh agensi kerajaan, GLC, dan swasta, PENA mengulangi pendirian menyokongnya tanpa berbelah bahagi. Tidak sewajarnya jika masih ada pihak yang tidak mahu menyambut arahan tersebut, bahkan mereka mesti melaksanakannya mengikut kapasiti masing-masing.

Berkenaan dengan penggunaan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu, tidak ada masa lagi bagi kita untuk bertangguh dalam pelaksanaannya. Teks sahih Perlembagaan dalam bahasa Melayu yang sudah disiapkan pada tahun 2003 oleh Jabatan Peguam Negara mesti digunakan sesegera mungkin.

Negara yang sudah merdeka 64 tahun tidak perlu berasa ragu-ragu untuk mendaulatkan bahasa Melayu.

Rentetan daripada itu juga penggunaan bahasa Melayu mesti ditegaskan dalam Parlimen dan Mahkamah dengan lebih terhormat.

Dalam sidang Parlimen, para anggota Dewan masih lagi mempermainkan bahasa Melayu dengan menunjukkan seolah-olah tanpa sengaja mereka tergelincir menggunakan bahasa Inggeris dan kemudian barulah menyebut “dengan maaf”. Siapakah yang mahu memaafkan mereka?

Hadirin sekalian,

Akhir kata, saya bagi pihak ahli Jawatankuasa Kerja PENA memohon maaf kepada seluruh ahli khususnya dan masyarakat amnya andainya kami tidak memberikan khidmat yang memuaskan hati. Kemampuan kami yang terbatas mengurangkan kadar perkhidmatan kami. Tanpa perlu menyebut aspek kekurangan kami secara terus terang, biarlah saya dipertanggungjawabkan atas kelemahan kami.

Kami berharap, kerjasama daripada seluruh ahli dalam setiap aktiviti yang kami jalankan diteruskan tanpa berbelah bahagi demi kelangsungan persatuan ini. Pendukung PENA datang dan pergi, tetapi PENA perlu tetap relevan dalam negara ini kerana banyak pihak yang mengharapkan PENA memainkan peranannya sebagai pembela nasib bangsa, bukan sahaja dalam aspek kesusasteraan.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum WRT.