Isu PPSMI dan Tulisan Jawi

KENYATAAN MEDIA PERSATUAN PENULIS NASIONAL MALAYSIA (PENA)

Dr Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)

16 Julai 2020

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyokong penuh ketegasan Kementerian Pendidikan untuk tidak akan memperkenalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di sekolah kebangsaan. Kenyataan Menteri Pendidikan Dr. Radzi Md Jidin dalam jawapan bertulisnya di Parlimen pada hari ini merupakan langkah tepat untuk mengangkat martabat bahasa Melayu dan mempertahankan Akta Pendidikan Kebangsaan selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dasar yang pernah dipaksakan oleh kerajaan dalam era Tun Dr Mahathir sejak tahun 2003 dan kemudian dihapuskan pada tahun 2013 itu telah terbukti memberikan kesan buruk pada pendidikan kebangsaan.

Bukan sahaja kerugian dari segi kewangan, malahan negara mengalami kerugian besar dari segi pencapaian murid dalam peperiksaan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Kesan lebih besar adalah terhadap pelajar luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan dan prasarana yang mencukupi untuk tujuan tersebut.

PENA yakin, dengan ketegasan ini iklim pendidikan negara akan bertambah baik tanpa diganggu oleh ketidakpastian keputusan untuk memperkenalkan PPSMI semula. Sebelum ini Tun Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri semasa era Pakatan Harapan menyatakan bahawa kerajaan akan mempertimbangkan semula pengenalan PPSMI. Kenyataannya itu telah menimbulkan bantahan daripada pelbagai pihak pemegang taruh dalam sistem pendidikan kebangsaan serta pejuang bahasa. Ekoran daripada itu satu memorandum bantahan telah diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri ketika itu.

Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA

Walau bagaimanapun, PENA berpendapat, dalam masa yang sama, kepentingan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan tetap perlu diberi perhatian besar. Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah hendaklah sentiasa dipertingkatkan dengan kaedah yang sesuai tanpa mengorbankan bahasa Melayu yang merupakan teras dalam Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Di samping itu, PENA juga menyokong keputusan Kementerian Pendidikan untuk meneruskan pengajaran tulisan jawi walaupun dalam kadar yang minimum. Tulisan jawi merupakan khazanah nasional yang unik dan perlu menjadi kebanggaan bersama.

Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri bahawa hari Jumaat merupakan Hari Jawi merupakan langkah reaktif yang sangat baik. Pelbagai pihak, khususnya yang berkaitan dengan agensi kerajaan, sepatutnya mengambil inisiatif mempromosikan tulisan jawi sebagai tanda sokongan kepada usaha pemartabatan tulisan jawi.

Tidak harus ada unsur kebimbangan pada pihak bukan Melayu kerana tulisan jawi bukannya unsur agama Islam tetapi hanya satu aset budaya yang menjadi alat komunikasi. Penguasaan tulisan jawi merupakan satu kelebihan bagi rakyat Malaysia di samping tulisan rumi yang sedia menjadi medium tulisan.

Sekian.

Sumber: Sinar Harian, 18 Julai 2020.