Hikmah Di Sebalik Pandemik COVID-19

Teks Ucapan Presiden PENA dalam Mesyuarat Agung PENA ke-57 di Dewan Usman Awang, Rumah PENA pada 26 Disember 2020

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum WRT.

Yang berusaha Tuan Pengerusi Tetap PENA, Dr Ibrahim Ghaffar,

Barisan Ahli Jawatankuasa Kerja PENA sesi 2018-2020, dan seluruh ahli PENA yang hadir secara bersemuka mahupun yang mengikuti majlis ini secara dalam talian.

Bagi pihak AJK Kerja PENA, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian tuan puan mengikuti mesyuarat Agung PENA ke-57 ini walaupun dalam musim pandemik yang sangat menguji kehidupan kita ini.

Untuk makluman seluruh ahli, pada mulanya kami mahu menangguhkan mesyuarat ini sehingga keadaan kembali reda dan semua ahli bebas untuk menghadirinya. Namun begitu, sehingga hujung tahun suasana masih terbelenggu oleh sekatan, dan ini tentu sahaja menghalang kehadiran yang dihasratkan.

Oleh hal yang demikian, mahu tidak mahu, kami meneruskan mesyuarat agung ini supaya tidak timbul masalah dengan peraturan Pendaftar Pertubuhan. Kami dimaklumkan bahawa mesyuarat agung mesti dilaksanakan pada tahun ini, manakala laporan penyata tahunan boleh dianjak pada Mac 2021.

Tentulah pelaksanaan mesyuarat ini penuh dengan kekurangan, dan dengan rendah hati kami memohon maaf kepada semua ahli atas keterbatasan itu.

Hadirin yang dimuliakan,

Sejak meledaknya pandemik COVID-19 ini seluruh sistem kehidupan umat manusia di seluruh dunia terjejas. Ini bukan lagi soal kelemahan negara, sebaliknya ini suatu hukuman atau ujian daripada Tuhan yang tidak terduga. Menyalahkan satu-satu pihak bukanlah penyelesaian kepada masalah ini, tetapi yang lebih penting, kita bersama-sama menanganinya dengan kefahaman dan keupayaan masing-masing.

Dunia sastera kita kecil, terkepung dalam suatu lingkungan komuniti yang berpencar-pencar dalam kelompok binaan sendiri. Sememangnya itu merupakan sifat yang alami. Sedangkan dunia politik, agama, dan sosial pun memiliki fikrah yang berbeza, apatah lagi dengan dunia sastera yang sangat kuat mementingkan individualiti.

Namun demikian, dengan mengambil konsep imagined communities yang diperkenalkan oleh Benedict Anderson, semua warga sastera masih terikat dalam suatu jaringan kebersamaan. Mereka mungkin tidak saling mengenali antara satu sama lain, terpisah oleh jarak dan kumpulan, namun dalam masa yang sama mereka berasa berada dalam satu dunia, iaitu dunia sastera.

Oleh hal yang demikian, apa-apa sahaja nasib yang merejam sastera akan turut dirasai oleh semua warga tersebut. Suatu rejaman yang kini menusuk kehidupan sastera ialah pandemik COVID-19. Pada tahap awal pandemik, ketika kekangan peraturan kawalan pergerakan (PKP) begitu ketat merantai kebebasan, warga sastera begitu teruji.

Buku tidak dapat dijual apabila pengunjung kedai buku tiada, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tergalang, program hiliran yang berkaitan dengan Kuala Lumpur World Book Capital 2020 (KLWBC) atau Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia, anugerah daripada Unesco tergencat.

Secara perlahan-lahan, bulan demi bulan, keadaan beransur baik apabila kerajaan memberikan sedikit kelonggaran, dan para warga sastera dan industri buku dapat menyesuaikan diri dengan kelaziman baharu.

Namun begitu, Malaysia sangat unik, dan warga sasteranya juga menerima ujian yang lebih berat berbanding dengan sasterawan negara lain kerana kita bukan sahaja direjam oleh COVID-19 malahan dihentak oleh iklim politik yang bergegar sentiasa.

Sudahlah ekonomi dihimpit oleh masalah pandemik, pemimpin negara pula sering berubah-ubah kedudukan. Ini semua tentu saja mengganggu kelancaran proses pemulihan.

Tetapi suatu hal yang patut dibanggai, walaupun badai datang merempuh, para warga sastera berupaya menyerap rempuhan itu. Pelbagai perubahan dalm cara berhimpun, berkomunikasi, dan berdagang telah diamalkan melalui kecanggihan teknologi maklumat. Bukan sahaja program antara warga tempatan dilaksanakan, malahan perhimpunan secara maya pada tahap antarabangsa juga giat berlangsung.

Pada pedagang buku pula tidak mengalah dengan ketiadaan pasar buku secara fizikal. Mereka bergerak secara maya, dan jika mereka aktif, perdagangan secara maya itu lebih memberikan keuntungan.

Penerbitan buku juga beransur pulih, malah dalam konteks tertentu menjadi lebih rancak apabila komunikasi antara penulis dengan pengendali projek penerbitan semakin aktif.

Kini, warga sastera sudah semakin besar jumlahnya apabila padang permainan mereka tidak lagi dalam bentuk fizikal yang tentu sahaja sangat sempit saiznya. Padang permainan mereka sudah membesar dalam dunia maya. Ini suatu perubahan yang sangat baik sebagai proses kelangsungan hayat sastera dan perbukuan.

Lupakan soal status atau gred penulis. Semua orang sudah menjadi penulis, dan terserah kepada mereka untuk memajukan diri dengan mempertingkatkan mutu penulisan. Jika tidak diberi peluang, manakan dapat penulis baharu memunculkan diri dalam persaingan dengan penulis mapan.

Percayalah, para penulis baharu akan beransur-ansur membesar sebagai penulis kawakan sekiranya mereka tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian semasa. Mereka akan mampu mencapai tahap yang tinggi sekiranya tidak terkhayal dengan jerangkap megalomania, yakni mengagumi diri sendiri dengan karya yang masih mencari-cari arah haluan.

Tuan puan yang dihormati,

Berbalik kepada KLWBC, PENA bertuah kerana terpilih di samping puluhan entiti sastera dan perbukuan yang lain untuk menerima dana bagi mengisi program setahun KLWBC. Pertamanya, untuk acara baca puisi, walaupun kecil, dana yang diberikan oleh KLWBC dapat juga membantu.

Oleh itu, bagi menyempurnakan jadual, pada petang ini akan diadakan Baca Puisi di dewan ini juga. Lazimnya acara baca puisi ini diadakan pada waktu malam Jumaat pertama pada setiap bulan, tetapi pada kali ini kami anjakkan waktunya bagi mengelakkan suasana tidak terkawal jika dibuat seperti biasa.

Selain itu, satu projek besar yang diamanahkan kepada PENA ialah Sayembara Penulisan PENA-KLWBC yang membabitkan dua genre, iaitu novel dan kumpulan puisi dengan nilai hadiah keseluruhannya berjumlah RM105,000.00.

Untuk makluman, kini penilaian sudah selesai dijalankan oleh para panel yang diperakukan kepakaran mereka, namun keputusannya belum dapat dimaklumkan. Kami terpaksa akur pada keputusan pihak DBKL dan sekretariat KLWBC yang menjadi punca kuasa kepada projek ini.

Sambutan daripada penulis seluruh negara sangat luar biasa. Jumlah manuskrip novel yang diterima ialah 194 buah, manakala kumpulan puisi sebanyak 293 buah.

Kami telah melakukan proses penyaringan, penyisihan dan seterusnya penilaian yang sewajarnya. Lanjutan daripada ini, kami sangat berharap agar semua karya pemenang akan dapat diterbitkan dengan mekanisme yang tertentu.

Jika pihak KLWBC dan DBKL dapat membantu proses penerbitan ini tentulah para penulis dan khalayak sastera dapat dapat menikmati kesan berganda.

Sehubungan dengan itu, ada satu perkara yang wajar diberi perhatian oleh pihak DBKL. Tempoh status KLWBC akan berakhir pada April 2021. Ini bermakna, sekretariatnya akan dibubarkan. Dalam tempoh hayat setahun KLWBC telah banyak prasarana tentang perbukuan diwujudkan. Perkara yang lebih penting lagi, kesedaran tentang perlunya Kuala Lumpur terus hidup sebagai kota sastera (namakan apa-apa saja) tentulah sudah bercambah dalam minda pentadbir DBKL.

Alangkah ruginya jika dengan berakhirnya status KLWBC maka akan berhenti segala-galanya sedangkan “sungai” kesedaran dan prasarana itu telah sedia mengalir. Seandainya sungai itu ditimbus, ke manakah hilangnya modal besar yang telah dilaburkan?

Oleh itu, kami berharap, pihak DBKL akan terus menghidupkan Kuala Lumpur sebagai kota budaya yang berkaitan dengan kesusasteraan, perbukuan, dan percambahan intelektualiti. Kota metropolitan dan kosmopolitan ini perlu diberi roh kemanusiaan, intelektualiti, serta budaya murni. Satu daripada laluannya adalah dengan menghidupkan akviti kesusasteraan, perbukuan, teater, dan sebagainya.

Hadirin yang budiman,

Sekiranya tuan puan melihat kawasan di sebelah Rumah PENA ini nescaya akan timbul tanda tanya: Gerangan apakah yang akan berlaku, termasuk pada Rumah PENA ini nanti. Setelah bekas Rumah GAPENA dirombak dan dibangunkan oleh pemilik tanahnya, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), tentulah suasana pada masa depan akan lebih tidak terduga.

Pembangunan pulau hijau di kawasan ini mungkin tidak dapat dielakkan jika kerajaan memberikan tanah ini kepada pemaju yang lebih berkuasa. Kami pun sekarang tidak mendapat fakta yang jelas tentang kedudukan tanah di sini walaupun ada versi tertentu yang berlegar dalam pengetahuan kami.

Sebagai entiti kerdil yang tidak ada kuasa ekonomi, kita hanya dapat menunggu dan berharap agar kesudahannya adalah baik. Kedudukan tanah Rumah PENA ini sebenarnya sangat genting kerana nilainya yang tinggi. Banyak pihak yang menunggu hari baik, cuaca elok, bulan cantik untuk mengambil alih tanah ini. Kita sebagai entiti kerdil hanya dapat melihatnya dengan keupayaan terbatas. Ini dapat diumpamakan seperti pantun yang terpetik daripada buku Kesah Pelayaran Abdullah Munshi:

Merendang lada disimpul puleh,
Asapnya sampai ke Gunung Tujuh;
Dipandang ada diambil tak boleh,
Ditunggu naga berchula tujuh.

Sebagai golongan budayawan dan sasterawan, kita tidak mempunyai senjata yang ampuh untuk mematahkan rempuhan “naga” ekonomi itu sekiranya mereka mahu menyerang.

Begitupun, jangan pula kita beralah tanpa berusaha, kerana meskipun tiada kuasa ekonomi, barangkali masih ada strategi lain yang dapat kita gunakan seperti lanjutan daripada pantun di atas:

Tumpah-menumpah di batang pinang,
Dahan menimpa di batang padi;
Tembak dengan peluru petunang,
Kena tak kena, naganya mati.

Tidaklah maksudnya kita perlu berperang dengan mereka, tetapi kita boleh berharap ada jalan yang lebih indah dapat dirintis sebagaimana GAPENA yang sudah mendapat rumah gantian selepas diarahkan berpindah dari rumah lama di sebelah Rumah PENA ini.

Hadirin yang terhormat,

Untuk makluman ahli, pada tahun hadapan, secara tidak rasmi, kami mendapat maklum bahawa pihak KLWBC akan memberikan dana kepada PENA untuk menngadakan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) kali yang ke-2. SKPM yang pertama telah diadakan bersama-sama ITBM dengan sokongan pelbagai pihak, di Kedah pada tahun 2014.

Selain itu, satu tugas yang sedang menunggu PENA ialah giliran menjadi tuan rumah Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) sebagaimana yang diputuskan pada PPN ke-11 di Kudus, Indonesia pada tahun 2019.

Oleh itu, barisan AJK PENA sesi 2020-2022 perlu bersedia untuk melaksanakan kedua-dua projek besar ini. Kami yakin dan berharap agar pandemik COVID-19 ini akan berakhir, dan program tersebut dapat dilaksanakan. Dengan sokongan seluruh ahli dan penyertaan seluruh penulis di negara ini, kami percaya program tersebut akan dapat dijayakan, insya-Allah.

Hadirin yang mulia,

Pada mesyuarat kali ini akan diadakan pemilihan AJK kerja PENA 2020-2022. Inilah peluang untuk anda membuat pilihan. Kami serahkan keputusan kepada semua yang hadir untuk mengundi, tetapi pada kali ini pengundian akan diadakan secara dalam talian.

Penjelasan caranya yang diberikan oleh pengendali sistem ini diharap dapat difahami dan diterima. Cara ini lebih mudah, lebih rahsia, dan mengurangkan rasa malu-malu ahli untuk membuat pilihan. Semoga semuanya berjalan dengan baik, lancar dan menumbuhkan kasih sayang antara kita.

Sekian.