Dunia Tak Seluas Daun Kelor

UCAPAN PRESIDEN PENA DALAM MESYUARAT AGUNG PENA KE-54 PADA 9 SEPTEMBER 2017 DI RUMAH PENA, JALAN DEWAN BAHASA, KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum WRT.

Alhamdulillah, marilah kita syukuri nikmat Allah yang tidak terhitung jumlahnya dengan melakukan kebaikan untuk ummah sejagat. Pada hari ini kehadiran kita untuk bermesyuarat tidak lain daripada bertujuan mencari jalan untuk melaksanakan kebaikan, juga untuk ummah sejagat, atau sekurang-kurangnya ummah setempat. Insya-Allah.

Tuan puan yang dihormati sekalian,

Mesyuarat agung PENA pada kali ini ialah yang ke-54 sejak ditubuhkan tahun 1961 atas inisiatif para pejuang bahasa dan sasterawan yang kental semangatnya.

Jika bercakap tentang sejarah PENA, orang yang penting dan menghayati sejarah perjuangan PENA ialah SN Dato Baharuddin Zainal atau Baha Zain. Menurut Baha Zain, menjelang merdeka (1957) ramai pengarang di Singapura berpindah ke Kuala Lumpur; ada yang bekerja di Utusan Melayu, di Dewan Bahasa dan Pustaka dan di penerbit-penerbit lain. Di ibu kota ini kebanyakan mereka duduk berkampung di Kawasan Melayu, Petaling Jaya. Petaling Jaya juga menjadi kampus bagi Universiti Malaya mulai 1959.

Di kampung ini beberapa pensyarah dan mahasiswa sangat aktif mengkaji dan berbicara tentang bahasa, sastera, dan pengajian Melayu. Mohd. Taib Osman (yang meninggal baru-baru ini), Ismail Hussein, Agus Salim, Syed Husin Ali , Kassim Ahmad, dan kemudian Yusuf Hitam, Norzah, Hassan Ahmad dan Hassan Ibrahim adalah antara yang aktif dalam penulisan dan pergerakan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) pada zaman awal merdeka itu.

Antara mereka sering berlaku pertemuan dan perbincangan sehingga tercetusnya idea untuk menubuhkan sebuah persatuan penulis yang sesuai dengan keadaan politik semasa bagi bergerak dalam negara yang baru merdeka.

Gagasan PENA bertujuan kebangsaanmementingkan perpaduan, keperibadian, serta bahasa dan sastera kebangsaan yang berasaskan bahasa Melayu. Dengan semangat kebangsaan itu maka sebuah kertas kerja tentang tujuan persatuan telah disediakan untuk diketengahkan dalam pertemuan 12 Februari 1961 yang dirasmikan oleh Menteri Pelajaran, Abdul Rahman Talib, di Dewan Kuliah A, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Hasilnya terbentuklah jawatankuasa kerja: Usman Awang (Ketua I), Yunus Maris (Ketua II), Syed Husin Ali (Setiausaha I) , Yusof Hitam (Setiausaha II), Zain Ariff (Bendahari) serta ahli-ahli jawatankuasa, Kassim Ahmad, Ali Haji Ahmad, Azah Aziz, Wan A. Hamid; pemeriksa kira-kira, Mustapha Kamal Yassin dan Aishah Ghani.

Pendaftaran PENA kemudian disahkan oleh kerajaan pada 2 September 1962. Maka dengan itu bermulalah sejarah sebuah persatuan penulis yang sangat penting pada awal zaman merdeka dengan berhala tuju kepada Menyatukan penulis-penulis tanah air dari semua peringkat dan segala aliran pendapat; dan berusaha seluas-luasnya dalam lapangan bahasa, kesusasteraan dan ilmu pengetahuan, bersesuaian dengan kepentingan-kepentingan nasional dengan tidak terikat kepada dasar politik kepartian dan terkeluar daripada bidang undang-undang negara (tujuan, Perlembagaan PENA).

Pada mulanya PENA hanya dikenal sebagai Persatuan Penulis Nasional sahaja, tetapi selepas terbentuknya negara Malaysia, nama rasminya menjadi Persatuan Penulis Nasional Malaysia.

Sekarang sebahagian besar daripada mereka telah mendahului kita, namun semangat yang ditinggalkan oleh mereka masih berbara walaupun kadangkala kurang marak nyalaannya. Tanggungjawab kita yang mengisi senarai keanggotaan PENA (bukan hanya anggota jawatankuasa kerja) adalah untuk menyambung legasi semangat dan perjuangan mereka.

Cabaran yang kita hadapi sekarang semakin sengit dan keras. Jika pada awal tahun 60-an perjuangannya adalah untuk mengisi kemerdekaan yang terlalu muda, dan semangat kekitaan untuk menyemarakkan bahasa dan sastera sedang berkobar-kobar, baik dalam kalangan rakyat marhaen mahupun kalangan pemimpin, kini cabarannya sudah berbeza sama sekali.

Ketika itu, walaupun ada ujian yang besar melanda nasib bahasa Melayu lantaran tergugatnya kedaulatan Akta Bahasa Kebangsaan 1967, para pejuang bahasa bersatu tenaga melawan serangan tersebut sehingga terhasil gerakan massa yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Maka tercetuslah antologi puisi Keranda 152. Usman Awang telah menulis sebuah sajak yang monumental:

Malam di Balai Budaya
Usman Awang

Malam itu di Balai Budaya
Api dan air mata
Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
Berarak ke Parlimen, aku di muka.

Malam itu di Balai Budaya
Seorang peguam muda berkata
`bakar perlembagaan 152.

Malam itu di Balai Budaya
Seorang pemuda berteriak
`Ayuh mari kita berarak.

Malam itu di Balai budaya
Para pelajar berikrar
`dada kami sedia dibakar.

Malam itu di Balai Budaya
Parlimen jadi pertanda
Memenggal leher BAHASA.

(1967)

Roh perjuangan mereka masih terasa apabila sajak ini kita baca, apatah lagi dengan memahami subteksnya, yakni latar belakang sejarahnya. Di tangan generasi yang sama, para pejuang bahasa terus bangkit mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dengan berarak menyuarakan protes terhadap PPSMI sehingga akhirnya kerajaan akur terhadap desakan itu.

Namun demikian, keakuran itu tidak lama, bak kata peribahasa, sekali air bah sekali pantai berubah. Bahasa Melayu dicalari malah dipancung secara perlahan-lahan dengan sistem DLP (dual language programme) yang ternyata lebih berbisa racunnya.

Racun DLP masih menjalar dalam salur darah peradaban bangsa, dan bakal membunuh agenda pembentukan negara bangsa yang kita idam-idamkan sebagai sebuah negara yang berpaksikan kebudayaan Melayu. Seiring dengan itu tubuh negara bangsa kita diracuni satu suntikan lagi, iaitu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) anjuran Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebagai pengganti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kemasukan ke universiti awam atau perkhidmatan kerajaan.

Dalam peraturan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, semua mesyuarat rasmi kerajaan hendaklah dijalankan dalam bahasa Melayu. Tetapi dari segi pelaksanaannya, apabila kebanyakan ahli mesyuarat itu berwajah comprador, bahasa Inggerislah yang diutamakan. Bukan sahaja orang bukan Melayu berbangga bercakap dalam bahasa Inggeris, bahkan orang Melayu sendiri lebih sudu daripada kuah.

Kemudian timbul pula isu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang membenarkan pengambilan pegawai perubatan UD41 secara kontrak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Mujurlah hal ini segera dihentikan. Namun demikian, masih banyak isu yang belum diselesaikan sehingga nasib bahasa Melayu terumbang-ambing bagai telur di hujung tanduk.

Dari segi sejarah penggubalan undang-undang, perenggan 170 dan 171 Laporan Suruhanjaya Reid telah mengesyorkan supaya Bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi negara kita. Peruntukan mengenai bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dinyatakan di bawah Fasal (1) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Sejak 1 September 1967 bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32]. Seksyen 2 Akta 32 dibaca seperti berikut: (2) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan berhubung dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

Begitu penegasan dalam Perlembagaan yang seolah-olah bahasa melayu tidak akan tumbang walau sebesar mana pun ribut membadai. Para pemimpin Melayu sering menegaskan bahawa bahasa Melayu tetap dipertahankan kerana kedudukannya sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Memang benarlah kenyataan itu. Memang bahasa Melayu masih berkedudukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, malah dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan sekalipun. Namun begitu, terimalah hakikat bahawa meskipun Perlembagaan atau Akta Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan kita kekal, dari segi pelaksanaannya statusnya semakin berkecai.

Universiti awam juga, akibat terlalu ghairah mencari pelajar antarabangsa, telah mewajibkan pengajaran dalam dalam Inggeris bagi jabatan dan subjek tertentu. Tetapi pihak pengurusan enggan mengeluarkan surat arahan rasmi kerana barangkali mereka bimbang akan akibatnya. Arahan cuma dikeluarkan secara lisan kepada pelaksana supaya tidak ketara sangat arahan tersebut.

Tuan puan yang budiman,

Corak kepemimpinan di negara kita sangat unik kerana bersifat individualistik atau dalam teori sejarah ada persamaan dengan teori manusia agung (the great man theory). Kepimpinan negara berdasarkan selera individu, bukannya berpaksikan agenda tekal yang disepakati. Setiap kali pemimpin bertukar, monumen dan imej pemimpin terdahulu akan dirobohkan.

Tidak menagapa jika hanya gaya kepimpinan berubah asalkan teras nilai kebangsaannya kekal. Masalah kita ialah dengan berubahnya pemimpin maka sistem pun turut bertukar, khususnya dalam sistem pendidikan.

Tuan dan puan yang dikasihi sekalian,

Dalam Transformasi Nasional 50 (TN50) masih belum tampak kelibat kesungguhan pihak pengurusnya untuk melibatsertakan budayawan dalam konteks bahasa dan persuratan. Perbincangan secara kedai kopi yang diamalkan untuk mendengar pandangan aktivis seni masih dalam skala main-main. Malahan, dalam perbincangan itu pun yang diutamakan ialah golongan yang terlibat dalam industri hiburan, bukannya golongan aktivis bahasa dan persuratan.

Layanan kelas kedua kepada kita memang sering berlaku dan tiada pihak yang berasa segan dan malu untuk meminggirkan kita terus-menerus. Golongan kita barangkali tidak berfaedah untuk membina sebuah negara kerana tidak banyak memberikan keuntungan material, tidak terlbat dalam industri hiburan yang bersifat komersialisme dan konsumerisme itu.

Ya, memang benar, kita bukan berada dalam lapangan itu; kita berada dalam kelompok lain yang berfungsi untuk membina pemikiran dan intelektualiti. Kita menggalakkan pemikiran kritis dan tidak bersikap pengekor semata-mata. Kita menerima segala yang baik, dan tidak gentar menegur sekiranya ada aksi politik dan aksi tadbir urus yang menghina bahasa dan persuratan.

Para pemimpin yang memiliki kuasa membawa arah tuju negara ini dengan kuasa politik di tangan, sepatutnya sedar bahawa kuasa yang dipegang adalah sementara sifatnya. Oleh itu, peganglah amanah yang ditinggalkan oleh orang terdahulu ketika merangka Perlembagaan sebelum tercapainya kemerdekaan. Dalam konteks ini hayatilah Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu:

*Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

*Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

*Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

*Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;

*Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;

*Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU; dan

*Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Satu daripada syarat persetujuan raja-raja Melayu dalam menerima pembahagian kek kemerdekaan ialah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Oleh itu, jangan sesekali para pemimpin negara ini, baik Melayu mahupun bukan Melayu, dengan takburnya membunuh bahasa Melayu. Begitu jugalah para rakyat kecil yang hanya ada suara, jangan takut untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, terutama dalam konteks bahasa Melayu. Kedua-dua pihak, pemimpin dan rakyat, hendaklah menghayati pantun pusaka ini:

Kayu besar kayu penaga,
Kayu kecil dahannya runduk;
Kalau besar jangan melanda,
Kalau kecil jangan menunduk.

Antara pemimpin dengan rakyat wujud hubungan simbiotik yang sifatnya saling menghidupkan satu sama lain, lebih-lebih lagi dalam sistem demokrasi. Sebagai rakyat, kita ada peranan untuk menerima sistem yang diputuskan oleh pemerintah; begitupun, pemerintah harus tahu akan cara untuk membahagiakan rakyat. Janganlah disebabkan perkara yang menjadi asas dalam pembentukan negara bangsa ini maka hubungan antara rakyat, khususnya yang memperjuangkan bahasa ini dengan dengan pemerintah bagai empang sampai ke seberang, dinding sampai ke langit.

Apabila para pejuang bahasa menyampaikan pesnanan dan teguran, janganlah pula mereka dianggap musuh. Nasihat dan teguran yang berulang kali disampaikan itu perlu dilihat secara positif, jangan dimusuhi kerana bagi yang memberikan nasihat, tahu mereka akan makna peribahasa: enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diperkatakan.

Dalam situasi politik yang semakin gencar sekarang, apa-apa sahaja boleh berlaku. Hendaklah diingati sungguh-sungguh supaya jangan sampai berlaku Helang disambar punai tanah, yakni orang yang berkuasa dikalahkan oleh orang yang lemah.

Kredit foto: Datin Barupawati Utamaju

Hadirin sekalian,

Para pejuang bahasa dan sastera, walaupun terlalu kuat badai bergelora menghunjam perisai perjuangan kita, janganlah berputus asa kerana dunia tak seluas daun kelor. Bagi melengkapkan ketumbukan kita, generasi muda dan generasi veteran sepatutnya berpegangan tangan dan saling membahu untuk mewujudkan gelombang kuasa yang dapat memberikan kesan yang hebat demi perjuangan kita. Elok kampung oleh rang tua; elok kampung oleh rang muda.

Perjuangan bahasa dan sastera kita tidak semudah menghirup kopi panas dari cangkirnya tetapi memerlukan iltizam dan ketangkasan berfikir bagi merangka strategi yang bernas. Rumah PENA ini seharusnya menjadi pusat perdampingan antara generasi dan antara kelompok yang berbeza ideologi demi matlamat yang sama.

Tuan puan yang terhormat,

Untuk kesekian kalinya saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan kepada kami. Sumbangan tuan puan selama ini bukannya untuk saya atau AJK PENA tetapi sebenarnya adalah untuk kesinambungan kuasa bahasa dan sastera kita. Selamat berjuang dan bersaudara.

Wabillahitaufik walhidayah Assalamualaikum WRT.