Cabaran Sebagai Perangsang

Teks Ucapan Presiden PENA dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-56 di Dewan Usman Awang, Rumah PENA, Kuala Lumpur pada 2 November 2019

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah atas nikmat dan kesempatan yang dianugerahkan sehingga kita dapat berkumpul melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli untuk mengadakan mesyuarat agung PENA yang ke-56.

Mesyuarat ini bukan sahaja bagi memenuhi syarat dalam Perlembagaan PENA, bahkan yang tidak kurang pentingnya adalah untuk membaharui tekad bagi meneruskan perjuangan pada masa depan.

Masa kini telah memperlihatkan gejolak yang sukar dibayangkan sebelum ini. Sebaik-baik sahaja landskap politik berubah selepas Pilihan Raya Umum pada tahun lepas negara semakin terasak oleh pelbagai ancaman daripada strategi politik yang membungkamkan keghairahan masyarakat mendepani kehidupan.

Kredit foto: Haslina Usman

Tanpa perlu menoleh ke arah permasalahan masyarakat dari segi ekonomi, agama, pendidikan, sosial sekalipun, permasalahan dalam dunia yang kita hidupi sudah terasa menyakitkan. Sebagai penulis, penerbitan bukulah yang menjadi matlamat kita kerana buku bukan sahaja menjadi tanda aras pencapaian seorang penulis apatah lagi jika penerbitnya berwibawa, bahkan buku dapat menjana pendapatan penulis.

Penghasilan daripada buku tidaklah besar jika pemasarannya dalam lingkaran yang kecil dan tidak inovatif, tetapi dengan adanya penerbitan dapatlah penulis tersebut meraih sedikit laba bagi membiayai segala penat lelahnya dalam proses menghasilkan karya.

Malahan, bagi sesebuah negara, tanda kemajuannya turut ditandai jumlah penerbitan buku. Jika jumlah penerbitan buku di Malaysia tidak mencapai angka yang sejajar dengan keperluan semasa, dalam kesan jangka pendek, apakah imej Kuala Lumpur sebagai ibu kota buku dunia atau world book capital akan memancar atau suram?

Pada 19 September 2018, Director general UNESCO, Audrey Azoulay telah mengisytiharkan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah World book Capital 2020, yakni pada tahun hadapan. Pihak sekretariat yang memperjuangkan perolehan kedudukan itu telah memilih motto “KL Baca: Caring Through Reading”, suatu ungkapan penuh bermakna. Majlis Pelancarannya dijadulkan pada April tahun 2020 pada saat kita akan menghadapi bulan Ramadan.

Kredit foto: Attoks Dkulgai

Bengkel membincangkan persiapan untuk majlis pelancaran itu sudah dibuat dan saya yakin, para tenaga artistik sudah dikerah ke arah itu. Namun begitu, apakah maknanya motto yang cantik dan majlis pelancaraan yang bakal berlangsung dalam acara penuh gemilang nanti jika pengisian asasnya tidak benar-benar mencerminkan kemajuan dalam dunia perbukuan?

Apakah yang dapat kita lihat pada iltizam kerajaan terhadap perkara ini? Apakah insentif yang diberikan kepada industri perbukuan dan pembinaan persuratan? Dalam pembentangan belanjawan 2020 di parlimen baru-baru ini iltizam itu tidak langsung diperlihatkan.

Para pemain industri buku merungut kerana baucar buku tidak diberikan, dan tiada insentif disediakan untuk menggalakkan industri perbukuan. Jika pentas ekonomi itu pun tidak diberi perhatian, apakah yang hendak diharapkan untuk persuratan dan pembangunan penulis?

Semua ini tentulah tidak membahagiakan kita, para penulis dan semua tenaga mahir dalam industri penerbitan. Oleh hal yang demikian, kita sewajarnya memohon perhatian daripada kerajaan agar mengkaji semula perkara ini dan seterusnya menyediakan prasarana yang wajar bagi menyuburkan dunia ilmu, dunia buku, dan tamadun bangsa ini.

Tuan puan yang budiman,

Kita tidak dapat lari daripada politik kerana hidup dan matinya kesusasteraan turut dipengaruhi oleh politik. Sehubungan dengan itu, sebagai pewaris khazanah alam fikiran pujangga terdahulu, para penulis kini wajar berasa gusar terhadap sebarang unsur yang politikal dalam dunia persuratan. Yang baik kita terima dengan senang hati, tetapi jika ada yang tidak menyenangkan, kita berhak bersuara.

Dalam hal ini, kita menghargai perhatian yang diberikan oleh kerajaan terhadap kebajikan sasterawan negara melalui elaun bulanan sebanyak RM5,000 bagi setiap SN dan penempatan mereka di universiti tertentu sebagai adjung profesor atau sebarang peranan lain. Itu suatu kebijaksanaan yang bagus bagi mengekalkan kedudukan dan memanfaatkan keupayaan yang dimiliki oleh SN.

Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama, kerajaan tidak sewajarnya menutup mata daripada mengerling ke arah penulis yang belum bertaraf SN. Mereka juga perlu akan perhatian dan bantuan. Mereka perlu diberi nyawa, perlu diberi laluan untuk cergas berlari di padang persuratan. Oleh itu, fikirkan kaedah yang sesuai untuk meladeni keperluan penulis ini dengan menyediakan dana yang sesuai kepada agensi kerajaan khususnya dan pihak lain amnya untuk membantu para penulis.

Kelumpuhan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di pentas penerbitan buku sangat dirasai oleh penulis. Kini tiada lagi penerbitan yang sangat mesra penulis. Penerbitan buku sudah sangat lembap sekarang. Pihak sekretariat hadiah sastera peringkat negeri dan pusat melalui Dewan Bahasa dan Pustaka juga sudah menghadapi kemarau bahan untuk dinilai. Jika ada pun, mutu karyanya sangat rendah untuk diberi hadiah.

“Kematian” Utusan Melayu yang sebelum ini menjadi penampung karya penulis juga begitu besar kesannya terhadap pembangunan persuratan. Utusan Melayu sudah sekian lama menjadi medan mengasah bakat, medan menaikkan bendera kemegahan penulis, dan medan mengunggulkan tamadun persuratan kebangsaan. Kini semuanya lebur bagai debu berterbangan di kais kaki kuda di medan peperangan.

Saya secara peribadi juga melihat langkah penjimatan Dewan Bahasa dan Pustaka yang tidak lagi menjual majalah Dewan Sastera sebagai suatu gejala alam yang menandakan kedatangan musim rontok dunia sastera.

Penerbitan dalam online dan pengedaran naskhah secara percuma bukanlah jalan terbaik untuk mendepani arus digital masa kini. Majalah Horizon di Indonesia juga sebelum ini telah beralih kepada penerbitan online, tetapi kini kembali menerbitkan edisi cetakan walaupun tidak sekerap asalnya.

Kenapa saya membimbangi gejala ini? Apabila naskhah percuma disediakan, jumlah edarannya tentulah terbatas, apatah lagi penyebarannya dibuat secara terkawal untuk tidak diserbu penulis. Tidak mungkin akan kita temui majalah itu diletakkan di kedai-kedai buku swasta lagi. Akhirnya pembaca semakin berkurangan, dan kesedaran orang ramai terhadap majalah itu akan luput bagai lembayung di ufuk senja ditelan malam.

Apabila saya membangkitkan hal ini, harapannya biarlah DBP memikirkan semula kaedah “mutakhir” ini, sama ada akan benar-benar mendatangkan kebaikan atau menyebabkan kematian.

Selain itu, campur tangan politik dalam hal-ehwal sastera mestilah yang dapat mengimarahkan dunia sastera, bukannya memporak-perandakan dunia dan komuniti sastera. Misalnya, dalam isu Anugerah Sastera Negara, telah berlaku kemelut yang wajar dicurigai. Ada banyak cerita di sebalik tabir yang mencemaskan. Ini tidak sewajarnya berlaku. Para penguasa politik, berhemahlah dalam menggunakan kuasa, bukan memusnahkan sistem yang sedia ada.

Hadirin yang terhormat

Dari sudut yang lain, marilah kita berfikir secara positif. Sebagai penulis, perubahan landskap politik, penerbitan, dan sebagainya yang kita geluti sekarang janganlah dijadikan musabab untuk kita mundur dan mematikan kreativiti. Sebaliknya, permasalahan semasa yang kita hadapi perlu dilihat secara lain. Pandanglah semua cabaran ini sebagai perangsang untuk mencipta laluan mandiri agar masalah berubah menjadi peluang untuk hidup lebih bererti.

Ketiadaan tempat bergantung, dari sisi lain, akan membebaskan kita daripada kekangan untuk melontarkan suara dengan lebih kritis dan berani. Jika terlalu bergantung pada belas ihsan kerajaan barangkali penulisan kita akan terkepung dalam kemandekan fikiran dan kemandulan kreativiti.

Malahan, semua masalah yang dihadapi oleh masyarakat masa kini sewajarnya menjadi asas dan rencah penulisan.

Penulis tidak akan maju jika hidupnya penuh dengan kemewahan. Karya besar dunia sentiasa hidup dalam perlawanan dan pergeseran pemikiran. Maka inilah masanya untuk penulis bekerja dengan tenaga fikir dan tenaga emosi yang keras untuk menghasilkan karya besar bertaraf dunia.

Namun begitu, Jangan pula kita lupa bahawa peranan kita dalam pembinaan negara bangsa ini tertakluk pada Perlembagaan yang menjadi asas pembentukan negara. Penulis boleh berkreativiti dan melontarkan fikiran yang kritis tetapi asas Perlembagaan perlu diperhatikan.

Kredit foto: Norhayati Abd Rahman

Akhir kata,

Marilah kita semua merapatkan saf dalam usaha membangunkan sastera. Tidak kira pihak mana yang menggerakkan kerja sastera, marilah kita sokong secara ikhlas.

Kini sudah banyak persatuan dan gerakan lahir, dan masing-masing mempunyai idealisme serta tatacara kerja tersendiri secara terpisah. Sebagai penulis kepelbagaian itu perlu dilihat dengan positif juga, yakni dengan menyokong usaha mereka mengikut kemampuan kita.

Hanya dengan cara ini kita akan maju, nak kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita berderai.

Dan jika ada sebarang ancaman daripada para agitator politik yang mahu menghancurkan negara bangsa ini marilah kita bersama-sama mempertahankannya. Saya petik pantun lama yang dikumpulkan oleh Hans Overbeck sekitar tahun 1904:

Dari Selangor pergi ke Lukut,

Surat sepucuk tolong kirimkan;

Keris berpamor saya tak takut,

Besi bulat saya mahukan.

Besi bulat itu ialah peluru meriam. Dan jika orang dahulu kala sudah sedemikian berani, adakah kita sekarang mahu menjadi pengecut demi negara?

Tugas sasterawan bukan sahaja bergerak dalam bidang penulisan tetapi sepatutnya aktif dalam barisan pejuang secara strategik. PENA sangat menghargai usaha pihak lain seperti Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan UMMAH yang tidak pernah leka daripada perjuangan mempertahankan negara ini daripada serangan gencar pihak berkepentingan yang kerap mengelirukan takrif rasis dan hak bernegara.

Akhir kalam, PENA mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang selama ini telah menyokong semua kegiatan PENA, termasuk hadir dalam mesyuarat pada hari ini.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.