Blok Ketiga

UCAPAN PRESIDEN PENA DALAM MESYUARAT AGUNG PENA KE-55 DI RUMAH PENA, KUALA LUMPUR PADA 24 NOVEMBER 2018

Bismillahirrahmanirrahim,

Yang dihormati Pengerusi Majlis, Dr Ibrahim Ghafar

Yang Berbahagia Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu Gapena

Yang Berusaha Dr Mohd Hanafi Ibrahim, Timbalan Presiden PENA

Yang Berusaha Saudara Saifullizan Yahaya, Setiausaha Agung PENA

Barisan Exco PENA, para AJK, dan seluruh ahli PENA yang datang dari jauh dan dekat ke Mesyuarat Agung PENA ke-55

Assalamualaikum wrt dan salam sejahtera

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya yang mengizinkan kita berhimpun pada hari ini untuk menunaikan tanggungjawab mengadakan mesyuarat agung tahunan yang ke-55.

Dengan ini juga, kita telah bersama-sama melakar sejarah perjuangan PENA sejak penubuhannya pada tahun 1961. Peristiwa ini penting kerana sejarah PENA ialah sejarah perjuangan memantapkan negara bangsa, khususnya yang berkaitan dengan Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, yakni mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Sejarah PENA ialah perjalanan memartabatkan sastera kebangsaan; sejarah PENA ialah penyebaran sastera kebangsaan ke peringkat serantau dan antarabangsa.

Bagi pihak Jawatankuasa Kerja PENA kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan puan kerana sanggup mengharung segala kepayahan untuk hadir. Kehadiran tuan puan itu tidak lain daripada bukti kesetiaan sebagai ahli PENA dan sebagai tanda kasih kepada persatuan yang besar ini.

Mengikut rekod keanggotaan PENA kini berjumlah 652 orang, iaitu ahli biasa 230, ahli seumur hidup 417, dan ahli bersekutu 5 orang. Catatan juga menunjukkan seramai 84 orang telah meninggal dunia. Kadang-kadang kami terlepas pandang tentang catatan ini kerana barangkali ada nama yang sudah meninggal dunia tetapi maklumatnya tidak kami peroleh.

Dalam buku laporan tahunan pada hari ini perlu dibuat pembetulan kerana kita kehilangan seorang lagi ahli seumur hidup iaitu Dr Rahimah Abdul Hamid yang baru sahaja meninggal dunia pada 22 November 2018. Mari kita hadiahkan surah al-Fatihah khusus kepada arwah dan semua ahli PENA serta muslimin dan muslimat yang telah kembali ke alam abadi. Al-Fatihah.

Hadirin yang budiman,

Kini kita masih seperti dekad-dekad sebelumnya, iaitu sedang diuji dengan keras. Adakah ujian yang seumpama gelombang di lautan ini dapat kita lepasi dan harungi dengan baik, tetap teguh pendirian sebagai pendukung amanah yang diwarisi daripada penjuang terdahulu, atau tewas di tengah segara.

Sesungguhnya ujian yang sedang melanda kita sangat hebat dan tidak henti-henti menggoncang bahtera perjuangan. Satu demi satu gugatan kita hadapi dari pelbagai sudut. Sekali ombak melanda, pantai akan berubah; dan kini suasana semakin kacau apabila jumlah orang yang “berkuasa” untuk mencabar legitimasi bahasa Melayu bertambah banyak.

Seyogia difahami bahawa PENA bukan sekadar berfungsi menyuburkan bakat penulis dan karya bermutu, tetapi turut berperanan mempertahankan bahasa Melayu demi pemantapan negara bangsa. Kenapa bahasa begitu dipentingkan dalam perjuangan PENA sejak dahulu sehingga kini? Peri pentingnya bahasa diujarkan dalam pantun ini:

Pondok menjadi bangsal,
Bangsal ada di hujung desa;
Usul menunjukkan asal,
Bahasa menunjukkan bangsa.

Tanpa bahasa, kewujudan sesuatu bangsa akan dinafikan dalam sejarah. Bahasa ialah kubu budaya, tempat berlindungnya suatu bangsa daripada segala badai yang boleh melenyapkan bangsa. Atas sebab itulah juga parti politik perkauman akan menggunakan bahasa sebagai sasaran serangan demi menegakkan legitimasi bangsa mereka.

Kedudukan bahasa Melayu sering sangat dijadikan sasaran serangan politik atas alasan yang direka-reka. Ahli-ahli politik yang memanggul amanah ahli mereka akan sentiasa memperjuangkan kedudukan istimewa bahasa masing-masing walaupun sudah berkali-kali dibahaskan oleh pejuang bahasa bahawa tuntutan mereka itu melanggar Perlembagaan atau Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Anehnya, apabila kita mempertahankan status bahasa Melayu di segenap lapangan kita akan dilabel sebagai rasis sedangkan kedudukan bahasa Melayu jelas termaktub dalam Perlembagaan. Sebenarnya, pencabar bahasa Melayu itulah rasis, dan mereka mahu kedudukan istimewa bahasa Melayu dihapuskan untuk memberi laluan kepada vernakular masing-masing mendapat taraf yang setara.

Kita dapati percubaan mereka datang dengan pelbagai kaedah, satu persatu. Yang terbaharu, mereka cuba membawa idea supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi oleh kerajaan. Mujurlah Pejabat Perdana Menteri semalam mengeluarkan kenyataan tegas bahawa kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD. Semoga kenyataan itu akan menghentikan sebarang usaha provokasi yang bakal menjerumuskan negara ke kancah bencana.

Ketika penentangan terhadap ICERD oleh pelbagai pihak bertumpu kepada Perkara 153, Hak Istimewa Orang Melayu, PENA melihat ratifikasi terhadap ICERD akan membahayakan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

PENA sebagai pemegang taruh (stakeholder) bahasa Melayu tidak bersetuju dengan ratifikasi ICERD kerana bimbang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 dan dalam sistem pendidikan kebangsaan akan terancam.

Apabila ICERD diterima, akan terbukalah ruang untuk pihak-pihak yang berkepentingan mengancam kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan kerana status bahasa Melayu boleh sahaja dituduh sebagai diskriminasi terhadap bahasa lain.

Sedangkan tanpa ICERD pun bahasa Melayu sering dihimpit oleh permainan politik perkauman dan dominasi komersialisme, apatah lagi setelah ICERD diratifikasi. Kelak bahasa Melayu akan menjadi bahan tawar-menawar dalam kancah politik.

Kami difahamkan, dalam undang-undang antarabangsa perlu kita bezakan “signing” dan “ratifying”. Signing membawa maksud kita bersetuju dengan untuk mematuhi terma legal instrument, dalam kes ini ialah ICERD. Ratifying bermakna kita mengesahkan bahawa undang-undang kita sedia untuk mematuhi ICERD. Ini bermakna sekarang undang-undang kita berlawanan dengan ICERD kerana ada banyak peruntukan dalam Perlembagaan bertentangan dengan ICERD. Kalau kita tandatangan, kita perlu meminda undang-undang agar selaras dengan ICERD termasuk Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Undang-undang antarabangsa tidak mempedulikan jenis sistem perundangan kita, sama ada kena rujuk Majlis Raja-Raja atau Parlimen.

Kebimbangan PENA berasas kerana ICERD boleh mengancam bahasa Melayu. Alasan “diskriminasi kaum” boleh dijadikan hujah untuk pihak tertentu mengehadkan skop undang-undang yang berkaitan dengan pemakaian bahasa Melayu, yang sekarang ini skop pemakaiannya sangat luas.

Ya benar, kita boleh membuat pelbagai reservation untuk pengecualian. Tetapi jika reservation tersebut bercanggah dengan objektif utama ICERD ditandatangani maka reservation tersebut akan menjadi tidak sah. Tafsiran ini diperuntukkan di bawah Vienna Convention Law of Treaty.

PENA terpaksa, malah perlu, bertempur dengan permasalahan ini walaupun ada risiko dituduh cuba berpolitik. Namun begitu, PENA setakat ini masih berdiri di atas prinsip nonpartisan. Sebarang pandangan yang berlawanan dengan kerajaan tidaklah bermakna PENA mendukung pembangkang; begitu juga sebaliknya, jika kita mengkritik pihak yang bertentangan, tidaklah bermakna kita berpihak kepada lawannya secara total. Inilah prinsip yang kita pegang sewaktu rejim terdahulu memerintah negara ini.

PENA tidak boleh ada agenda politik kepartian kerana parti boleh sahaja berubah sifat dan sikap, daripada musuh kepada kawan, kawan kepada musuh, sedangkan PENA hanya berpihak pada kebenaran. Berkumpul di dalam satu kotak pati politik juga akan mengakibatkan kita terpaksa akur pada semua agenda parti walaupun agenda tersebut tidak kita setujui. Ini akan membahayakan imej dan status quo PENA sebagai badan bebas.

Sejak dulu kita teguh dengan pendirian menentang PPSMI, DLP, dan UEC. Penentangan terhadap segala gejala pemandulan bahasa Melayu itu tidak lain bertujuan untuk memelihara kestabilan negara yang diasaskan oleh kontrak sosial antara penduduk asal Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu dan kaum-kaum lain. Kontrak sosial itu jugalah yang melorongkan Suruhanjaya Reid merangka Perlembagaan Persekutuan sehingga tercapainya kemerdekaan pada tahun 1957. Jika kontrak sosial itu mahu dirombak kononnya atas alasan perkembangan semasa, nescaya pergolakan bsar akan berlaku, dan cita-cita negara akan berkecai.

Jika diizinkan Allah SWT PENA akan menerbitkan sebuah buku tentang bantahan terhadap UEC. Beberapa makalah telah dikumpulkan dan sedang dalam pemurnian sebelum diterbitkan dengan bantuan Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan yang diwujudkan untuk menentang DLP asalnya dahulu. Semoga akan ada pihak lain turut membantu dari segi kos penerbitannya nanti.

Walaupun PENA tiada keupayaan untuk menganjurkan demonstrasi atau unjuk rasa yang besar, kami menyertai kumpulan lain untuk menyampaikan bantahan. Dalam bilangan yang kecil sekalipun, saya akan mewakili PENA menghadiri pertemuan dengan badan-badan lain, seperti Majlis Perundingan Melayu untuk sama-sama bergabung menyuarakan bantahan.

Dalam keadaan politik yang tegang sekarang, PENA tidak boleh duduk diam apabila soal bahasa dipermainkan oleh ahli politik sebagai barang tawar-menawar untuk mendapatkan kuasa. PENA perlu kekal sebagai blok ketiga, berdiri di atas tonggak kebenaran. Sebarang percubaan untuk meruntuhkan kontrak sosial akan dihadapi dengan ketegasan.

Saya berharap, semua ahli PENA dapat memahami prinsip perjuangan ini, dan marilah sama-sama berjuang walaupun dengan hanya memberikan sokongan moral. Dalam perjuangan penuh risiko ini tidak ramai yang mahu turun tangan. Lebih ramai yang diam daripada berani ke hadapan. Kebanyakan orang yang sanggup menyertai perbincangan dan menjadi pengemudi bagi mengemukakan bantahan terdiri daripada golongan veteran.

Sebagai sebuah organisasi yang menjadi harapan masyarakat, PENA perlu menangani gugatan itu dengan keupayaan yang masih tersisa. Sajak karya Baha Zain di bawah ini wajar diambil pengajarannya.

DALAM KEKUSUTAN
(Pesan buat anak cucu)

Galilah kebenaran
Di bawah-bawah permukaan gelombang
Antara belukar masalah
Di dalam belantara persengketaan
Di tengah-tengah kekusutan perasaan.
Setelah kau temukan
Inti segala persoalan
Kumpullah segala kekuatan
Menegakkan kebenaran.
Tetapi insafilah segala dugaan
Keris lembing dalam peperangan
Tipu helah serta fitnah
Bisa dan racun kata-kata
Menyelinap bagai peluru dan panah
Dari tempat-tempat yang tak beralamat
Dari tangan-tangan yang tak bernama.
Perahlah akalmu di atas perasaan
Pada ketika yang menuntut kebijaksanaan
Tak ada siapa yang akan mengajarmu
Tentang membilang dari esa
Tentang membilang dari alif
Engkau akan bersendirian
Menghitung dan menimbang
Dengan mata keimanan.

Baha Zain
Petaling Jaya 1998

Hadirin yang beriman,

Dari sisi yang lain, para penulis atau pengarang perlu mendepani situasi sekarang secara positif. Tribulasi dalam masyarakat yang semakin gencar ini sebenarnya dapat menjadi pemangkin pertumbuhan karya yang hebat. Penulis perlu peka menangkap tanda-tanda untuk kemudian dicernakan menjadi sebuah karya yang mampu berdialog dengan zamannya dan zaman mendatang, seperti kata Mario Vargas Lossa, kebobrokan dalam masyarakat merupakan penyubur karya sastera. Benar, dalam sejarah sastera, karya yang hebat lahir daripada rangsangan gelora zamannya.

Di samping itu, kekurangan ruang penerbitan, jangan dijadikan alasan untuk berputus asa. Kami sangat berterima kasih kepada ITBM yang telah membawa PENA bersama-sama sejak tahun 2012 menyemarakkan penerbitan buku sastera. Walaupun kerjasama penerbitan antara PENA dengan ITBM tidak dapat diteruskan, saya percaya sepanjang tempoh kerjasama kami sejarah sastera di negara ini berubah secara drastik.

Ramai penulis mendapat manfaat daripada ITBM, sehingga tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kebanyakan anugerah sastera di peringkat negeri dan kebangsaan yang diterima oleh penulis bersebab daripada penerbitan ITBM. Selepas ini, apakah yang akan berlaku?

Ya, selepas ini kita sebagai penulis perlu merangka pelan tindakan yang lain bagi memastikan dunia sastera tidak jumud. Kita perlu lebih gigih berusaha bagi memastikan penulis lebih tahan lasak dan karya mereka mengharum di pentas zaman, bukannya gah pada nama tetapi mutunya seperti yang dipantunkan:

Duduk berniaga dalam pekan,
Pakai seluar warna biru;
Jangan jadi bunga di hutan,
Nampak merah cium tak bau.

Hadirin yang terhormat,

Selain obor perjuangan yang perlu dinyalakan secara keras, organisasi PENA ini perlu diuruskan dengan baik bagi memenuhi hasrat dan harapan semua ahlinya yang terdiri daripada pelbagai golongan, generasi, dan aliran.

PENA tidak boleh menjadi persatuan penulis elitis; PENA bukan wadah untuk menegakkan gengsi yang eksklusif; PENA bukan untuk penulis kelompok tertentu sahaja. Apabila PENA menerima keahlian penulis, pintu PENA sudah terbuka untuk mereka bersama-sama dalam keluarga besar ini.

Dalam tempoh beberapa tahun ini keahlian PENA bertambah. Kami menerima banyak permohonan untuk menjadi ahli walaupun saya sering menegaskan bahawa tiada apa-apa yang dapat kami janjikan kepada orang yang bertanya tentang manfaat menganggotai PENA.

Namun begitu, mereka tetap mahu menjadi ahli, menjadi sebahagian daripada keluarga besar kita.

Oleh itu, kita mesti meraikan mereka dengan baik. Jangan dipinggirkan setiap ahli kerana mereka keluarga kita. Bagi kami tiada kasta dalam PENA. Yang ada cuma pemegang amanah (AJK) dan orang yang diamanahkan, iaitu ahli seluruhnya.

Semua ahli PENA berhak berada dalam keluarga ini, dan janganlah sesiapa pun berasa terasing (out of place) apabila berada di PENA. Jika rasa keterpinggiran sebegitu berlaku, saya percaya PENA tidak lagi akan dipandang sebagai badan yang mesra untuk didampingi.

Tuan puan yang diraikan,

Dengan sokongan rakan-rakan AJK, PENA telah memulakan strategi menyuburkan sinergi dengan pelbagai pihak. Sinergi adalah penting bagi menutup kelemahan yang kita miliki sebagai badan sukarela yang tidak menerima dana secara tetap. Ada waktunya kami memberikan sedikit bantuan kepada pihak lain yang mahu melaksanakan aktiviti sastera, dan ada waktunya kami mengajak pihak lain bersama-sama kami melaksanakan aktiviti dengan kaedah sama-sama menang (win-win situation).

Selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), kami pernah berkolaborasi dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Institut Wassatiyah Malaysia, Institut Integriti Malaysia, Pusat Kebudayaan USIM, dan pelbagai pihak lagi. Kaedah seperti ini memberikan impak yang besar dan wajar diteruskan.

Begitu juga kerjasama media sangat membantu kami untuk dilihat oleh masyarakat. Untuk itu, terima kasih kepada semua media yang selama ini telah mempromosikan kegiatan PENA seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Sinar Harian, Astro Awani, TV3, TVHijrah, Malaysiakini, Malaysia Insight, Kosmo, Loonaq TV yang saban bulan datang merakam kegiatan kami, dan media yang lain.

Secara peribadi saya sering juga mengganggu kawan-kawan untuk mencari bantuan. Untuk itu saya berterima kasih kepada beberapa rakan yang sudi menghulurkan bantuan dalam setiap program kami. Ada yang membantu dari segi kewangan, barangan, tenaga, dan malah sebagai penghubung antara PENA dengan pihak lain yang berwewenang.

Baru-baru ini juga kami menerima sumbangan daripada Menteri Luar Negeri, untuk program baca puisi tahun hadapan. Walaupun jumlah ini tidak mencukupi untuk menampung kos keseluruhannya bagi 12 kali acara sepanjang tahun, sekurang-kurangnya ini dapat menampung sebahagian perbelanjaan kami.

Di samping itu, kami membuka ruang untuk berkolaborasi dengan pihak lain yang berminat. Kami juga berharap, para ahli Parlimen yang mendapat peruntukan pembangunan wajar menyalurkan bantuan kepada NGO sastera untuk menggerakkan masyarakat dalam acuan intelektual dan seni yang bertamadun. Peruntukan yang diterima oleh mereka wajar diagihkan kepada kegiatan sastera kerana ini juga medan percambahan rasa muhibah dan ladang untuk menumbuhkan semangat patriotisme dan nasionalisme.

Hadirin yang dimuliakan,

Dalam kesempatan ini saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh AJK PENA yang sudah memberikan bakti mereka. Setiausaha Agung PENA, Saudara Saifullizan Yahaya begitu berharga kerana kecekapannya dalam soal tadbir urus organisasi.

Begitu juga rakan-rakan AJK yang lain, dengan kapasiti masing-masing, telah melancarkan gerak kerja PENA. Saudara Azalan Hussain, Zaifulnizam Wagiran, Hani Salwah Yaakup, Shamsudin Othman merupakan tonggak dalam pengurusan PENA manakala AJK lain juga telah berperanan mengikut kemampuan mereka. Mohd Hanafi Ibrahim selaku Timbalan Presiden juga telah memperlihatkan kewibawaannya sebagai penenang dan tempat kami merujuk.

Umumnya, dapat saya katakan bahawa semua sahabat, sama ada AJK mahupun bukan AJK, telah memperlihatkan kesetiaan yang luar biasa. Saya sedar bahawa sahabat yang setia bukannya mudah dicari.

Pohon temu tumbuhnya rapat,
Rapat lagi si pohon jati;
Kawan beribu mudah didapat,
Sahabat setia payah dicari.

Hadirin yang disayangi,

Sebelum mengakhiri ucapan, saya memohon maaf sekiranya saya tidak berjaya memenuhi hasrat dan harapan tuan puan selama ini. Apalah yang dapat saya berikan dalam kekerdilan diri, kekurangan tenaga, dan kesempitan modal. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, sama seperti sebelum ini saya tidak pernah memberikan senarai panjang janji untuk dilaksanakan pada masa hadapan. Cuma yang dapat saya katakan: saya akan membuka pintu kepada semua pihak untuk bersama-sama membangunkan PENA demi matlamat yang kita dukung.

Akhirul kalam,

Pokok rumbia pokok dedap,
Manakan sampai si pokok jambu;
Sedangkan lebai lagikan tersilap,
Inikan pula kurang ilmu.

Sekian.

Wabillahitaufik walhidayah, Assalamualaikum WRT.