Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-38 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya melabuhkan tirainya pada 14 Julai 2024. Acara yang berlangsung di Dewan Usman Awang, Rumah PENA ini menyaksikan Muhammad Zamratur Rahman Yusri sekali lagi muncul johan peringkat wilayah setelah menjuarai sayembara sama tahun lalu.
Berbekalkan sajak ‘Wujud Yang Menipis’ karya Mohd Ghazali Taib, Zamratur berjaya mengatasi saingan 29 lagi peserta lain dan membawa pulang hadiah utama RM1000, piala pertandingan dan sijil penyertaan. Beliau juga akan mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ke peringkat kebangsaan yang dijangka akan diadakan pada bulan hadapan.
Tempat kedua dimenangi oleh Nuruladibah Azhar dengan puisi ‘Tawarikh Terindah’ karya Raja Rajeswari Seetha Raman. Tempat ketiga menjadi milik Nor Hafuza Muhammad Arif. Manakala tempat keempat, kelima dan keenam masing-masing dimenangi oleh Noorhisyam Razali, Mohd Norazizi Samsudain, dan Muhammad Alif Najmi Mohd Ramzi.
Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Ke-38 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Perbadanan Putrajaya dan Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
SDPK 2024 menggunakan puisi wajib dalam naskhah Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ‘Ke Sarang Cenderawasih’. Antologi ini mempunyai 45 buah puisi yang boleh dipilih oleh peserta SDPK di peringkat negeri masing-masing. Johan akan mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.