Shah Alam, 27 November 2024 – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sekali lagi mencipta sejarah dengan pelancaran koleksi buku terbaharu bertajuk “Buku PENA-Malaysia Madani”, menampilkan 32 judul yang mencerminkan keunikan dan kekayaan budaya, pemikiran, serta sastera tanah air. Koleksi ini boleh didapati di reruai Tulus Kata @ PENA sempena Selangor International Book Fair 2024 yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre dari 27 November hingga 3 Disember 2024.
Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, ketika ditemu bual tentang projek tersebut, menyifatkan penerbitan koleksi ini sebagai satu usaha menyemarakkan agenda Malaysia Madani melalui sastera dan ilmu.
“Koleksi ini bukan sekadar buku, ia adalah cerminan nilai budaya, aspirasi kebangsaan, dan kesinambungan warisan Projek penerbitan ini mengisi misi perjuangan PENA seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PENA yang antara lainnya “mengusahakan penerbitan hasil karya penulis dari semasa ke semasa; mempertinggi bakat penulis dengan jalan mengadakan latihan-latihan tersusun kepada mereka.”
Koleksi “Buku PENA-Malaysia Madani” merangkumi pelbagai genre, termasuk puisi, cerpen, buku berilustrasi, dan novel. Di reruai Tulus Kata @ PENA, pengunjung juga berpeluang bertemu dengan penulis terkemuka, menghadiri sesi bual bicara, serta mendapatkan buku-buku dengan tandatangan eksklusif. Reruai ini menjadi tumpuan pengunjung yang teruja dengan pelbagai aktiviti interaktif, termasuk Malam Baca Puisi yang dianjurkan oleh PENA.
Menurut Pengarah Projek Penerbitan Buku PENA – Malaysia MADANI, Mohd Khair Ngadiron:
Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani hadir sebagai sebuah inisiatif yang signifikan dalam upaya memartabatkan sastera tempatan. Melalui projek ini, ia membuka peluang bagi penulis-penulis tanah air untuk melihat karya mereka diterbitkan. Dengan demikian, suara dan perspektif dalam dunia sastera Malaysia menjadi semakin kaya dan beragam.
Selangor International Book Fair 2024 dijangka menarik puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negara. Dengan penyertaan lebih 500 penerbit dan reruai pameran, acara ini menyediakan platform terbaik untuk memperkenalkan koleksi “Buku PENA-Malaysia Madani” kepada khalayak yang lebih luas.
PENA mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi reruai Tulus Kata @ PENA di P50 dan P60 Setia City Convention Centre sepanjang pameran. Buku-buku dalam koleksi ini juga boleh didapati dalam talian melalui Shopee untuk memudahkan akses kepada pembaca di seluruh Malaysia.