PENA Perluas Jaringan Antarabangsa di Persidangan Warisan Budaya Tidak Ketara

SELANGOR, 21 November 2024 – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) terus melebarkan sayapnya di peringkat antarabangsa apabila diwakili oleh Timbalan Presidennya, Mohd Khair Ngadiron dan ahli jawatankuasa, Rosman Md Shah, ke International Conference on Intangible Cultural Heritage yang berlangsung di Hotel Avante, Bandar Utama, pagi ini.

Satu sesi khas, Special Networking NGOs Session, anjuran ICHCAP UNESCO pada sebelah petang menyaksikan Timbalan Presiden PENA memperkenalkan visi dan usaha PENA kepada delegasi dari 14 negara. Dalam sesi tersebut, beliau mengetengahkan inisiatif PENA untuk menerbitkan 100 judul buku dalam tempoh enam bulan menerusi Projek Buku PENA Malaysia Madani.

“Kami mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada delegasi antarabangsa. Mrs. Bouyong dari Korea Selatan, yang turut mewakili ICHCAP, terkejut dengan skala besar penerbitan kami dan menyifatkannya sebagai ‘massive figure’,” kata Rosman.

Ketika ditanya tentang cabaran dalam era digital dan teknologi e-book, Rosman dengan penuh yakin menjawab, “If love never die from human hearts, books also never die from book lovers.” Jawapan itu menarik perhatian delegasi Korea Selatan, dan perbincangan lanjut diadakan untuk membincangkan mekanisme pengedaran buku-buku tersebut.

Menurut Rosman, sesi seperti ini amat penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama global. “Nilai sepunya yang terhasil melalui jaringan ini bukan sahaja bermanfaat untuk negara kita, malah turut menyumbang kepada pembangunan budaya dunia,” tambah beliau.

Persidangan ini membuka peluang baharu untuk PENA, termasuk jemputan rasmi dari ICHCAP ke Jeonju, Korea Selatan, pada tahun hadapan. Rosman optimis bahawa usaha dan visi PENA akan terus memberi impak yang besar, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pentas global.


Projek Buku PENA Malaysia Madani kini menjadi mercu tanda PENA dalam memartabatkan sastera Malaysia ke peringkat antarabangsa.