PENA Lancar Projek Penerbitan Buku, Mendukung Kerangka Malaysia Madani

Petaling Jaya, 31 Julai 2024

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), dengan penuh bangga mengumumkan pelaksanaan projek penerbitan buku berskala besar, “Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI”. Sidang media yang berlangsung di Petaling Jaya baru-baru ini dihadiri ahli-ahli PENA, tokoh-tokoh sastera, penulis, dan rakan-rakan media.

Projek penerbitan ini mendapat dukungan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri berdasarkan pelaksanaan daripada Belanjawan 2024 yang bertujuan untuk memajukan industri kreatif, khususnya bidang penulisan di Malaysia. Melalui projek ini, PENA membuka peluang kepada penulis tempatan untuk menerbitkan karya mereka dan menyumbang ke arah memperkaya khazanah sastera bangsa.

Dalam sidang media tersebut, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Seri Anwar dan Kerajaan Malaysia atas sokongan melalui bantuan peruntukan bagi melaksanakan projek tersebut. Tambah beliau, penulis tempatan menyambut baik malah bersemangat untuk menyumbang karya melalui projek Penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI.

“Projek Penerbitan PENA-MALAYSIA MADANI ini adalah ‘angin segar’ bagi kami para penulis. Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana meyakini bahawa karya sastera merupakan kaedah terbaik ke arah pembentukan nilai kemanusiaan, memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman budaya, kesedaran sosial, dan pemikiran kreatif dalam kalangan masyarakat,” menurut Dr. Mohamad Saleeh.

Peluang Terbuka Luas

Sebanyak 100 judul buku disasarkan dapat diterbitkan melalui projek ini. PENA membuka pintu bagi pelbagai genre penulisan terutamanya sastera (novel, novel remaja, novel kanak-kanak, cerpen, dan puisi), buku umum, hingga buku bergambar kanak-kanak. Manuskrip boleh mula dihantar mulai 1 Ogos hingga 15 November 2024.

Penulis yang menyertai projek ini akan memperoleh beberapa manfaat, antaranya:
1. Royalti yang menguntungkan: Penulis akan diberikan royalti 10 peratus daripada harga jualan buku.
2. Proses penerbitan segera: PENA menyasarkan penerbitan buku dalam tempoh enam (6) bulan selepas manuskrip dipilih.
3. Edaran buku meluas: Buku yang diterbitkan akan diedarkan secara meluas melalui pelbagai saluran, sama ada secara dalam talian, perpustakaan, dan kedai buku.
4. Bimbingan editor profesional: Penulis akan mendapat bimbingan daripada editor profesional bagi meningkatkan kualiti karya.

Komitmen PENA

Sebagai persatuan yang berpengalaman luas dan diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris baru-baru ini, PENA konsisten melestarikan sastera dan budaya membaca di Malaysia. Melalui projek ini, PENA berharap dapat melahirkan generasi penulis baharu yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kami percaya setiap penulis memiliki potensi yang luar biasa. Melalui projek penerbitan ini, kami ingin memberikan mereka peluang dan kesempatan untuk mengembangkan bakat dan berkarya secara maksimum,” ujar Dr. Mohamad Saleeh.

PENA mengajak seluruh penulis di Malaysia untuk turut serta dalam projek penerbitan ini. Dengan mengirimkan karya terbaik sehingga dapat diterbitkan, PENA menganggap ia merupakan salah satu usaha ataupun sumbangan bermakna terhadap kemajuan khazanah sastera bangsa Malaysia.

Manuskrip karya boleh dikirimkan melalui e-mel projekbukupena@gmail.com, ataupun whatsapp 019-5196316. Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Mohd Khairulanuar Manshor di talian 019-2177204, atau e-mel anuarmanshor@gmail.com.