Sidang Kemuncak Penulis Malaysia Ke-2

Ucapan Dr Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia Ke-2 di Rumah PENA pada 10 April 2021

Bismillahirrahmanirrahim.

Yang Berhormat, Tan Sri TPr. Haji Annuar Musa, Menteri Wilayah Persekutuan.

Yang Berusaha, Tuan Haji Anwar Mohd. Zain, Ketua Sektretariat KLWBC, merangkap Pengarah Eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Mewakili YBhg. Datuk Seri Hj Mahadi Bin Che Ngah, Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Yang Berbahagia Datuk Seri Prof. Dr. Haji Awang Sariyan, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM, merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yang Berbahagia, Datuk Haji Abang Sallehudin Abang Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Yang Berbahagia, Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Sasterawan-Sasterawan Negara,

i. Datuk Baharudin Zainal (Baha Zain)

ii. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan

iii. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail

iv. Dato’ Dr. Zurinah Hassan

Para penulis dari seluruh negara, tuan-tuan dan puan yang dikasihi sekalian.

Pertamanya saya bagi pihak PENA merafakkan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama dalam majlis yang bersejarah ini, majlis perasmian Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ke-2 di samping majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan KLWBC 2020.

Majlis ini menjadi bertambah indah dengan kesudian Yang berhormat Tan Sri Haji Annuar Musa hadir untuk bersama-sama kita walaupun masa baginya terlalu berharga. Kesudian YB Tan Sri menghadiri majlis anjuran PENA ini dalam sela waktu yang begitu padat dengan program politik, tugas hakiki, dan tanggungjawabnya sebagai menteri untuk sangat kami hargai.

Izinkan saya menghimbau perjalanan kami sehingga berlangsungnya SKPM-2 pada hari ini. PENA tidak akan sampai ke titik pertemuan bersejarah pada hari ini sekiranya kami tidak sanggup menempuh pelbagai rintangan. Sepanjang kami menggerakkan PENA sejak 2010, bersama-sama ahli jawatankuasa, kami bertegas mengekalkan sikap nonpartisan PENA yang telah menjadi pegangan sejak awal penubuhannya, tetapi itu tidak bermakna kami tidak berpolitik.

Sikap politik kami yang nonpartisan sebenarnya lebih memudahkan kami mempertahankan pancang-pancang kenegaraan, dasar-dasar yang sejajar dengan Perlembagaan, dan memberikan pandangan secara bebas kepada mana-mana pihak yang memegang kuasa demi menegakkan prinsip teras kenegaraan.

Kami, para penulis dan PENA khususnya, sangat mengharapkan para pemimpin mengemudikan negara dengan baik dan bijaksana, mementingkan kebajikan rakyat, dan tidak mengutamakan kepentingan peribadi sehingga merosakkan ekosistem kebudayaan yang dipupuk oleh budayawan dan cendekiawan terdahulu. Dengan prinsip yang sedemikian kami terus hidup dalam suasana politik yang sentiasa berubah.

Untuk makluman YB Tan Sri dan hadirin sekalian, SKPM-2 ini merupakan lanjutan daripada SKPM yang pertama kali diadakan pada tahun 2014 anjuran bersama PENA-ITBM dengan kerjasama penuh daripada Bina Darulaman, Kerajaan Negeri Kedah dan beberapa entiti lain.

Setelah lebih tujuh tahun berlalu, baru kini kami dapat menyambungnya. Usaha telah dilakukan sebelum ini dengan mengunjungi sebuah kerajaan negeri untuk mengundang kerjasama bagi menganjurkan SKPM ini, tetapi usaha itu tidak mendapat sambutan, atau mungkin ada kesilapan pada pihak kami dalam memilih waktu.

Kini dalam tempoh masa yang sangat suntuk, kami mendapat kerjasama daripada sekretariat Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC) untuk menganjurkan SKPM-2. Namun begitu, kami tidak mahu melaksanakan program yang bernama besar ini dengan cara sambalewa kerana itu hanya akan merosakkan imej SKPM dan wibawa golongan penulis sendiri.

Berkat kerjasama kawan-kawan, kami menjadikan program ini besar walaupun berlangsung di kawasan yang serba kekurangan. Kerjasama daripada kawan-kawan yang sukarela membantu, Dewan Bahasa dan Pustaka, serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang turun membersihkan dan menceriakan kawasan telah melancarkan kerja kami.

Dengan sumber kewangan yang terhad, termasuk daripada simpanan kami yang entah cukup entah tidak, kami beranikan diri menganjurkan program ini selama dua malam dua hari. Acara baca puisi turut mendapat sokongan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Pada malam tadi Baca Puisi PENA-KASA-JKKN turut dihadiri dan dirasmikan oleh Menteri KASA, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Peristiwa itu detik bersejarah bagi kami dan sekali gus melengkapi hasrat kami untuk mencari titik penyatuan bangsa apabila mendapat sokongan daripada pelbagai parti termasuk Tan Sri pada hari ini.

Untuk makluman YB Tan Sri, hasrat penulis tidak besar, bukan untuk mencari kekayaan peribadi, tetapi cukuplah untuk hidup sebagai manusia yang sederhana. Dalam kesederhanaan itu kami mahu memberikan sumbangan kepada dunia, kepada negara, masyarakat, bangsa dan kemanusiaan.

Barangkali sebahagian besar masyarakat tidak memahami sifat dan aspirasi penulis. Para penulis sebenarnya sanggup berkorban wang ringgit demi kelestarian sastera. Dan secara peribadi saya sangat mengagumi mereka ini. Mereka sanggup tidur beralaskan tikar untuk mengisi program sastera walau di mana pun acara itu diadakan. Saya sendiri sangat ingin untuk memberikan keselesaan kepada para penulis dengan mengadakan acara di hotel sederhana, walaupun setahun sekali. Tetapi kami tidak mampu pada kali ini.

Tanpa mahu menanggung risiko dengan mengadakan program ini di hotel yang tentunya memakan belanja besar, biarlah kami berkumpul di Rumah PENA ini. Rumah PENA ini sebenarnya sangat indah, terletak di jantung kota Kuala Lumpur dikelilingi flora yang harmonis dengan rentak manusia yang rencam kehidupannya.

Rumah yang kami tumpangi ini besar dan sangat kami sayangi walaupun kami hanya meminjamnya dengan ihsan daripada kerajaan. Kami cuba sedaya upaya menjadikan Rumah PENA sebagai pusat perkumpulan seniman, sasterawan dari seluruh negara, namun kami juga menghadapi kekangan. Rumah yang sudah lebih 10 tahun dibaik pulih ini sudah seperti orang tua, sering sakit dan darahnya juga sudah tidak mengalir lancar. Rumah ini sudah diserang anai-anai, kerosakan pendawaian elektrik sering berlaku, pembersihan kawasan semakin sukar.

Dengan keadaan yang sedemikian kami tetap mahu mempertahankan Rumah PENA ini sebagai pusat sastera dan budaya. Jika ada keizinan daripada Allah, maka akan tergeraklah hati kerajaan untuk memberikan rumah ini kepada kami supaya lebih banyak program dapat kami usahakan.

Kami juga mengharapkan rahmat Allah yang disalurkan melalui kehadiran YB Tan Sri ke sini. Sekurang-kurangnya YB Tan Sri dapat melihat sendiri kesungguhan kami membantu kerajaan untuk membangunkan negara dengan cara kami. Kami sangat yakin YB Tan Sri sangat memahami aspirasi orang seni kerana YB sendiri sangat mencintai seni. Dalam persinggahan saya di Balai kartun Rossem di Peringat baru-baru ini, Sdr Rossem memberitahu bahawa YB Tan Sri telah menyokong usaha beliau membangunkan satu cabang seni yang yang ditangani. Ya, tentulah pujian terhadap YB Tan Sri yang dihamburkan oleh sahabat kami itu.

Oleh itu, dalam kunjungan YB Tan Sri ke sini pada hari ini, besarlah harapan kami agar ada berita indah dapat kami dengar, atau sekurang-kurangnya ada doa daripada YB Tan Sri agar pihak yang menjaga kek ekonomi negara dapat membantu kami.

Pada hari ini hadiah akan disampaikan kepada para pemenang Sayembara Penulisan KLWBC 2020. Tahniah kepada semua pemenang. Sudah agak lama para penulis menanti pengumuman keputusan sayembara ini dibuat. Sayembara ini terdiri daripada dua kategori, iaitu kumpulan puisi dan novel. Kami menerima 294 penyertaan bagi kategori kumpulan kumpulan puisi dan 193 penyertaan bagi kategori novel. Jumlah ini sangat besar, dan inilah tandanya negara kita mempunyai begitu ramai pencinta sastera.

Bagi menghargai mereka, kami telah menerbitkan karya pemenang utama dengan wang simpanan kami yang sedikit itu. Inilah sumbangan kami dalam menyemarakkan dunia perbukuan dan membangunkan persuratan di negara ini.

Oleh itu, besarlah harapan kami agar pihak perpustakaan di seluruh negara amnya, dan di Wilayah Persekutuan khususnya, membantu kami dengan membeli buku-buku tersebut.

Sebenarnya usaha menerbitkan buku-buku ini, termasuk kumpulan makalah SKPM-2, sangat berat disebabkan tempoh masa yang sangat singkat. Namun begitu, kami gigih untuk menggembirakan penulis dan khalayak sastera, hatta negara amnya.

Pernyataan ini bukan bertujuan memuji diri tetapi sekadar untuk mempromosikan buku terbitan kami kerana sikap suka memuji diri itu sangatlah tidak molek dalam budaya kita seperti terungkap dalam pantun ini:

Pohon cengal menjulang tinggi,
Jangan ditebang jangan ditutuh;
Orang bebal memuji diri,
Bagai bayang mengaku tubuh.

Sekali lagi kami mengucapkan terima kasih kepada YB Tan Sri dan semua pihak yang telah membantu dan menyokong usaha kami. Hanya Allah SWT dapat membalas bakti ikhlas yang diberikan. Maafkan kami atas segala kekurangan dan kesilapan.