Bantah Tukar Nama HSN ke MySC

Kenyataan Media Persatuan Penulis Nasional

Disiarkan: 21 Ogos 2019

Menjelang sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-62 Malaysia semakin lemah dalam mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan apabila nama Hari Sukan Negara (HSN) ditukar kepada nama baharu iaitu Malaysia Sports Challenge (MySC).

Setiap program rasmi kerajaan sepatutnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Perubahan cara sambutan MySC selama sebulan iaitu sepanjang Oktober berbanding dengan HSN yang hanya berlangsung sehari bukan alasan yang boleh diterima. Malaysia Sports Challenge boleh saja disebut Cabaran Sukan Malaysia atau Tantangan Sukan Negara atau sebarang nama lain.

Sasaran MySC sebanyak 5 juta penyertaan melibatkan semua peringkat umur berbanding HSN yang hanya melibatkan sasaran 2 juta orang tidak ada hak untuk menafikan bahasa Melayu.

Persatuan Penulis Nasional Malaysia menggesa nama ini ditukar dalam bahasa Melayu sebagai penggunaan rasmi negara manakala penggunaan bagi peringkat antarabangsa yang bukan rasmi boleh saja digunakan bahasa lain.

Dalam kegawatan suasana di Malaysia sekarang janganlah kerajaan sendiri menambahkan kehangatannya. Sedangkan pergeseran antara kaum sudah semakin tegang sangat tidak wajar kerajaan mencabar sensitiviti para nasionalis lagi.

Nampaknya kini semua regim mahu menggoncang Perlembagaan sedangkan rakyat yang setia bersusah mempertahankannya. Jika semasa regim terdahulu menggunakan nama Fit Malaysia kini regim baru pula menggunakan Malaysia Sports Challenge. Kerajaan sendiri merosakkan negara ini.

Mohamad Saleeh Rahamad

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia