PPN X11:  Puisi merentas garis wilayah dan geopolitik

PERTEMUAN  Penyair Nusantara ke 12 (PPN X11) akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Oktober ini. Seramai 210 penyair dari Malaysia, Indonesia,  Thailand, Brunei dan Singgapura bertemu dan mengambil tanggungjawab membaharui hala tuju dunia kesusasteraan dalam berdepan perubahan sosial, geopolitik dan teknologi ketika ini.

Program yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini memperlihatkan usaha menggaristebalkan peranan sasterawan  sekaligus bidang kesusasteraan.

Antara matlamatnya adalah melestarikan  peranan sasterawan supaya sentiasa relevan dengan perubahan yang berlaku dalam masyarakat.  Pada masa yang sama memberi penekanan supaya sastera menjadi pengimbang dalam pembangunan prasarana yang sangat pesat.

Matlamat membawa puisi merentas wilayah budaya dan geopolitik jelas kelihatan  dalam topik utama pembentangan kertas kerja dan juga perbincangan di pertemuan ini.  Dalam kata lain membawa sasterawan khususnya penyair turut memikirkan hal-hal yang bersifat rentas wilayah dalam persamaan budaya, bahasa dan adat resam.

Antara kertas kerja yang akan dibentangkan adalah menentukan hala tuju puisi Nusantara, peranan puisi dalam pergolakan  sosial dan politik,  kedudukan puisi dalam berdepan dengan kepesatan teknologi dan menoleh kembali denyut nadi puisi di alam Melayu.

Dr Saleeh Rahamad

Presiden PENA, Dr Saleeh Rahamad ketika dihubungi berkata, skop perbincangan dalam dalam kalangan penyair Nusantara ini mengambil kira perkembangan semasa dan kemungkinan-kemungkinan pada masa depan. Terutama sekali  yang berkaitan dengan situasi politik, kemajuan teknologi yang memberikan kesan secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat.

“Puisi khususnya, dan sastera amnya perlu diletakkan dalam ruang awam dan bertanggungjawab membahaskan hal-hal yang berkaitan kehidupan masyarakat, ia tidak wajar terkepung dalam gelanggang seni semata-mata, “ kata Dr Saleeh kepada Kayang Post.

Beliau menambah, pemencilan sastera daripada ruang awam boleh menyebabkan masyarakat enggan mendekati sastera. Hal itu  kerana  masyarakat menganggap suatu yang  sia-sia untuk melibatkan diri dalam dunia yang jauh daripada keperluan hidup mereka. Sedangkan hakikatnya karya sastera saling bertimbal balik dengan masyarakat.

Mengenai PPN X11 yang bersifat serantau dan merentas garis geopolitik dan diplomatik, Dr Saleeh menegaskan bahawa, konsep kewilayahan yang melangkaui sempadan geopolitik perlu diberi perhatian dalam kalangan sasterawan. Ini bertujuan mengangkat martabat sastera  dan sekaligus menarik perhatian pemegang punca kuasa.

Sumber: kuseman.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *