Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) Ke-3

Oleh: Nimoiz TY

Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) adalah usaha untuk menghimpunkan penyair Nusantara yang melibatkan beberapa buah negara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand. Sejarah PPN bermula pada tahun 2007 apabila pertemuan kali pertama telah diadakan dengan jayanya di Medan dan Kota Kediri, Indonesia pada tahun berikutnya. Malaysia sangat bertuah kerana telah dipilih menjadi tuan rumah untuk kali ketiga ini.

Bertemakan Puisi Suara Kemanusiaan, PPN kali ke-3 telah berlangsung pada 20-22 November 2009. PPN dianjurkan oleh PENA dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Tiga lokasi utama PPN di Kuala Lumpur ialah Dewan Seminar, DBP Kuala Lumpur, Rumah PENA dan Menara Kuala Lumpur. Majlis perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah DBP. Sempena pertemuan bersejarah ini, antologi puisi Rumpun Kita terbitan PENA turut dilancarkan. Selain itu, PENA juga menerbitkan Antologi Penyair Muda Malaysia – Indonesia 2009 yang diselenggarakan oleh S.M. Zakir dan Ahmadun Yossi Herfanda.

Pertemuan di Kuala Lumpur melibatkan beberapa acara seperti forum penyair yang memfokuskan kepada puisi mancanegara dan masa hadapan hubungan penyair Nusantara, ucap tama oleh Sasterawan Negara Profesor Dr. Muhammad Haji Salleh, pembentangan kertas kerja, persidangan penyair serta baca puisi di Menara Kuala Lumpur. Antara pemakalah yang mengambil bahagian ialah Kemala (Malaysia), Acep Zam Zam Noor (Indonesia), Noridah Kamari dan Sharifah Khadijah (Singapura) serta Zefri Arif (Brunei).

Artikel ini telah disiarkan di majalah Tunas Cipta, Januari 2010

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *